Sanofy

Kuala Lumpur: Golongan dewasa mempunyai kemungkinan lebih tinggi meninggal dunia akibat penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin berbanding kanak-kanak.

Satu daripada penyakit boleh dicegah melalui vaksin yang paling kurang diberi perhatian ialah influenza atau flu. Malah ramai menganggap mereka mengalami flu atau selesema apabila sakit dengan sangkaan kedua-duanya penyakit yang sama.

Walaupun beberapa tanda awalnya serupa dan kedua penyakit ini berpunca daripada virus, menurut pakar, influenza boleh membawa mudarat kepada dewasa yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai masalah paru-paru seperti pesakit sekatan pulmonari kronik (COPD).

Sekiranya dijangkiti, influenza boleh merumitkan lagi masalah paru-paru sedia ada mereka dan menyebabkan komplikasi sekunder seperti radang paru-paru.

Hal ini menyebabkan pelbagai badan perubatan di seluruh dunia dan Malaysia menyarankan vaksinasi influenza tahunan untuk golongan berisiko tinggi ini.

Dalam populasi umum, vaksinasi influenza tahunan menunjukkan tahap keberkesanan sebanyak 60 peratus dalam mencegah jangkitan influenza.

Tambahan pula, kebarangkalian untuk kemasukan ke unit rawatan rapi (ICU) menurun sebanyak 37 peratus bagi mereka yang menerima vaksin berbanding tidak mendapatkan vaksin.

Risiko kematian juga berkurang sebanyak 52 hingga 79 peratus bagi mereka yang mengambil vaksin berbanding golongan yang tidak mendapatkan vaksin.

Kira-kira setengah juta rakyat negara ini menghidap COPD pada tahap sederhana atau teruk, di mana aliran udara mereka sentiasa tersekat.

Antara jenis COPD yang lazim berlaku ialah emfisema (kerosakan sel paru-paru) dan bronkitis kronik (keradangan sekunder hingga jangka panjang pada saluran udara).

Biasanya, pesakit COPD akan mengalami sesak nafas, berdehit, dada berasa ketat dan batuk kronik beserta kahak.

Namun, keadaan ini hanya menjadi ketara apabila lebih daripada separuh sel paru-paru sudah rosak. Pada tahap ini, mereka akan mengalami kesukaran walaupun hanya melakukan tugas harian seterusnya menjejaskan kualiti kehidupan apabila 23 peratus pesakit tidak dapat bekerja manakala 42 peratus hanya mampu melakukan kerja atau aktiviti yang terhad sahaja.

Influenza adalah ancaman serius kepada pesakit COPD di mana sehingga satu daripada 10 kemasukan ke hospital adalah akibat influenza.

Lebih membimbangkan, pesakit COPD akut dan teruk yang dijangkiti influenza adalah tiga kali lebih berisiko untuk meninggal dunia semasa dirawat di hospital.

Vaksinasi influenza dapat mengurangkan kadar kemasukan ke hospital bagi pesakit penyakit paru-paru kronik sehingga 50 peratus dan mengurangkan risiko kematian sebanyak 70 peratus.

Sehubungan itu, Garis Panduan Amalan Klinikal bagi Pengurusan COPD (edisi kedua) menyarankan supaya pesakit COPD mendapatkan vaksin tahunan untuk melindungi mereka daripada komplikasi akibat influenza dan simptom-simptom COPD yang lebih teruk.

Selain itu, flu juga boleh mencetuskan serangan asma atau lelah iaitu masalah respiratori kronik yang paling lazim berlaku di dunia.

Di Malaysia, sekitar 7.1 peratus kanak-kanak dan 4.5 peratus dewasa menghidap penyakit ini yang membuatkan pesakit sesak nafas, dada berasa ketat, batuk dan berdehit akibat saluran udara menjadi sempit kerana keradangan, penghasilan mukus berlebihan serta pengecilan saluran udara.

Serangan asma juga boleh dicetuskan oleh pelbagai faktor seperti debu, bulu haiwan dan debunga.

Kanak-kanak pesakit asma yang dijangkiti influenza mungkin memerlukan dua kali ganda preskripsi antibiotik untuk merawat asma dan kunjungan ke hospital yang lebih kerap berbanding mereka yang normal.

Ini kerana risiko kegagalan bagi rawatan asma boleh meningkat sebanyak 24.9 peratus jika adanya jangkitan influenza.

Menyedari bahaya influenza, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat menyarankan vaksinasi influenza tahunan kepada kanak-kanak yang menghidap asma supaya penyakit mereka tidak menjadi teruk atau simptom-simptomnya terkawal.

Ahli keluarga juga perlu memainkan peranan aktif dalam pencegahan influenza dan menggalakkan vaksinasi untuk pesakit serta diri sendiri.

Caranya, ambil tahu dan belajar dengan lebih lanjut lagi mengenai influenza yang pastinya akan membantu penularannya di rumah di samping mengelakkan kos atau bebanan berkaitan komplikasinya.

Kira-kira 33 hingga 42% peratus individu yang berisiko tinggi tidak mengambil vaksin untuk influenza kerana ada dalam kalangan mereka percaya boleh mengelakkan jangkitan itu manakala yang lain pula menyangka influenza hanya demam selesema biasa.

Malah, semasa wabak influenza H1N1 menyerang pada 2009, 41 peratus dewasa di negara ini percaya ia sekadar penyakit ringan dan tidak perlu mendapatkan vaksin untuk melindungi diri.

Ironinya, persepsi salah seperti ini masih wujud sehingga hari ini walaupun kajian sebaliknya menunjukkan bahawa galakan peribadi boleh menghasilkan perbezaan yang besar.

Nasihat daripada pakar penjagaan kesihatan dan ahli keluarga juga menunjukkan ia boleh meningkatkan liputan vaksinasi sebanyak 25 hingga 48 peratus.

Ternyata, perubahan boleh diwujudkan daripada sikap prihatin dan golongan dewasa boleh membuat pilihan gaya hidup yang membawa kepada perlindungan kesihatan lebih baik untuk diri sendiri, keluarga dan penjaga menerusi perbincangan bersama doktor serta menambah ilmu pemvaksinan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 September 2018 @ 10:53 AM