Aniza Zainudin

Segelintir masyarakat menuding jari ke arah golongan wanita bekerjaya, yang rata-rata memulakan kehidupan berumah tangga pada usia 33 tahun ke atas sebagai punca masalah menimang zuriat, sedangkan sebenarnya lelaki turut menyumbang ke arah itu.

Presiden CARE Fertility, United Kingdom (UK) Prof Simon Fishel mendedahkan bahawa golongan lelaki turut mempunyai ‘jam biologi’ bagi tahap kesihatan reproduktif.

“Ramai tidak menyedari bahawa lelaki mempunyai ‘jam biologi’ tetapi ini tidak bermaksud lelaki sukar mendapat anak pada usia lewat.

“Sebaliknya, semakin seseorang lelaki itu berusia, wujudnya peningkatan risiko kesihatan akan berlaku terhadap anak yang bakal dilahirkan seperti masalah autisme dan leukemia.

“Melihat perkembangan hari ini, wanita bekerjaya tidak memikirkan soal memulakan kehidupan berkeluarga sehingga usia mencecah 33 atau 34 tahun.

“Justeru, faktor kesuburan yang berkurangan akibat daripada perkahwinan lewat ini membuatkan pasangan berdepan masalah memiliki zuriat atau bilangan anak yang kecil.

PROF Fishel
PROF Fishel

“Situasi ini menyumbang kepada penurunan kadar kelahiran dan ia terbukti apabila banyak negara maju seperti UK dan Jepun mencatatkan kadar kelahiran yang rendah iaitu sekitar 1.7 atau 1.8 anak saja.

“Jadi, usaha memperkenalkan program mengekalkan telur (wanita) dan sperma (lelaki) pada peringkat kebangsaan ketika mereka masih muda perlu dilaksanakan.

“Malah syarikat korporat seperti Facebook dan Apple sudah memulakan inisiatif ini apabila memberi insentif kepada kakitangan wanita mereka untuk membekukan telur,” katanya ketika ditemui.

Sempena ulang tahun ke-40 rawatan kesuburan persenyawaan in-vitro (IVF) diperkenalkan, Simon mengakui berlakunya revolusi teknologi terkini dalam rawatan kesuburan alternatif popular itu untuk mendapatkan zuriat.

LOUISE Brown bayi tabung uji pertama di dunia.
LOUISE Brown bayi tabung uji pertama di dunia.

Bermula daripada teknologi primitif yang memaksa pesakit berada di hospital sehingga 10 hari bagi prosedur laparoskopi, Simon berkata, teknologi terkini membolehkan pakar embriologi memantau perkembangan embrio menerusi aplikasi telefon pintar setiap 10 minit tanpa menyentuhnya selama lima hari.

“Rawatan IVF tidak sahaja membantu mempertingkatkan kesuburan pasangan, malah kami memperkenalkan teknologi genetik dalam rawatan ini.

“Sebagai contoh, sekiranya pasangan tidak mengalami masalah kesuburan tetapi mempunyai penyakit genetik yang boleh menjejaskan keturunan, teknologi ini membolehkan kita mengeluarkan penyakit berkenaan daripada embrio.

PROSES rawatan IVF.
PROSES rawatan IVF.

“Teknologi ini juga mampu menghentikan penyakit keturunan yang diwarisi daripada generasi terdahulu.

“Rawatan IVF mempunyai potensi dan manfaat terhadap kesihatan dalam jangka panjang. Ia boleh menangani isu penurunan populasi dan mengurangkan kos penjagaan kesihatan berkaitan genetik.

“Justeru, saya berpandangan bahawa setiap kerajaan dan negara seharusnya melihat IVF dalam konteks berbeza,” jelasnya lagi.

Presiden Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia (OGSM), Dr Eeson Sinthamoney berkata, rawatan IVF di Malaysia menjadi teknologi yang sudah diterima khalayak.

“Cabaran utama rawatan IVF di Malaysia adalah kos. Meskipun ramai pasangan memerlukannya, mereka tidak berkemampuan untuk menampung perbelanjaan yang tinggi.

“Tidak dinafikan ada sokongan daripada kerajaan tetapi sangat terhad. Selain itu, di Malaysia wujud peraturan dan garis panduan disediakan namun ia tidak diperbaharui mengikut perkembangan teknologi malah terlalu ringkas.

“Jadi, kita memerlukan garis panduan baru mengikut keperluan masyarakat setempat,” katanya sambil mengakui ada kira-kira 5,000 kitaran IVF dilakukan di Malaysia setiap tahun.

DR Eeson
DR Eeson

Berkongsi masa depan rawatan IVF di Malaysia, Dr Eeson menjelaskan, sudah banyak pusat IVF dibuka tetapi tidak semua menawarkan fasiliti yang sama.

Ujarnya, konsep biasa implan embrio IVF tidak semestinya menjamin persenyawaan dan dipercayai banyak embrio dihasilkan mengalami masalah genetik yang tidak normal.

“Disebabkan masalah genetik tidak normal, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini kita berusaha melakukan penyelidikan bagi mengenal pasti dan fokus terhadap pemilihan embrio terbaik.

“Tidak semua pusat yang menjalankan IVF mempunyai kemudahan teknologi pemilihan embrio ini. Merujuk pada kekangan teknologi ini, secara realistik Malaysia masih jauh keciciran berbanding negara lain.

“Membangun ke fasa seterusnya, saya yakin kewujudan makmal penyelidikan dan perkhidmatan penjagaan yang berkualiti adalah antara perkara yang perlu dilaksanakan segera,” katanya.

PERLU perkenalkan program mengekalkan telur dan sperma pada peringkat nasional.
PERLU perkenalkan program mengekalkan telur dan sperma pada peringkat nasional.

IVF

i) Proses telur dikeluarkan daripada ovari dan disenyawakan dengan sperma di luar rahim iaitu di makmal.

ii) ‘In-vitro’ adalah bekas kaca yang digunakan bagi proses persenyawaan telur.

iii) Kaedah ini disarankan untuk mereka yang mengalami masalah kesuburan, termasuk:

• Wanita yang mengalami masalah tiub Fallopio tersumbat atau bermasalah seperti fibroid, sindrom ovari polisistik (PCOS) atau endometriosis.

• Lelaki yang mengalami masalah sperma.

• Pernah mengambil ubatan kesuburan seperti clomephine.

• Pernah melakukan rawatan kesuburan permanian beradas (IUI) sebanyak tiga hingga empat kali tetapi gagal.

• Tidak hamil selepas mencuba selama dua tahun dan belum dikenal pasti puncanya.

Langkah/peringkat prosedur IVF

1. Pengambilan ubat kesuburan bagi merangsang ovari mematangkan telur sebagai persiapan proses persenyawaan.

2. Suntikan hormon (hormon perangsang folikel) diberikan selama 12 hari berturut-turut untuk merangsang ovari membebaskan lebih banyak telur matang.

3. Imbasan ultra bunyi diguna untuk mengesan waktu telur anda bersedia untuk dikeluarkan.

4. Telur dikeluarkan dari ovari menggunakan jarum halus dan berongga.

5. Serentak itu, suami memberi sampel air mani segar untuk digabungkan dengan telur dalam ceper makmal dan dibiarkan berkembang dalam inkubator.

6. Dalam tempoh satu hari selepas penggabungan telur dan sperma, ceper diperiksa untuk memastikan telur sudah disenyawakan.

7. Jika ia sudah disenyawakan dan membentuk blastosis, ia disimpan selama dua hingga lima hari sebelum dipindahkan ke dalam uterus (rahim).

8. Bagi memastikan rahim bersedia menerima embrio, anda perlu mengambil hormon progesteron yang membantu tebalkan lapisan rahim.

9. Jumlah embrio dipindahkan bergantung pada umur dan kebarangkalian untuk berjaya.

10. Selepas proses pemindahan, anda sudah boleh melakukan aktiviti biasa.

11. Ujian kehamilan akan dilakukan selepas dua minggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 12:15 AM