TEKANAN antara faktor kesukaran wanita gagal ketika menjalani rawatan IVF.
TEKANAN antara faktor kesukaran wanita gagal ketika menjalani rawatan IVF.
Hafiz Ithnin

SINDROM ovari polisitik (PCOS) dan masalah endometriosis yang menyebabkan tiub fallopio tersumbat adalah masalah lazimnya dijumpai di Malaysia yang menyebabkan seseorang wanita itu mengalami kesukaran untuk mengandung.

Dalam masa sama, keadaan air mani suami seperti sperma cacat, kekurangan bilangan sperma dan pergerakannya juga antara faktor menyebabkan kesukaran telur (ovum) isteri memberi tindak balas untuk membentuk embrio.

Pakar Obstrektrik & Ginekologi dan Kesuburan Metro IVF, Dr Pravin Peraba yang memaklumkan perkara itu berkata, PCOS yang dianggarkan berlaku kepada 20 hingga 30 peratus wanita di negara ini.

Beliau berkata, PCOS bukan disebabkan keturunan, tetapi boleh berlaku secara semula jadi yang menyebabkan telur pada wanita itu sukar menjadi matang.

PASANGAN yang mengalami masalah kesuburan perlu menjalani saringan sebelum memulakan rawatan.
PASANGAN yang mengalami masalah kesuburan perlu menjalani saringan sebelum memulakan rawatan.

“Antara ciri-ciri wanita yang mengalami PCOS mengalami penambahan berat badan dengan senang, kitaran haid tidak menentu dan tumbuh rambut di kawasan biasanya untuk lelaki seperti misai.

“Dalam kata lain PCOS adalah disebabkan hormon tidak seimbang dalam badan seseorang wanita itu dan tidak tepat untuk mengatakan ia disebabkan keturunan,” katanya.

Manakala bagi endometriosis biasanya berlaku antara 15 hingga 25 peratus wanita di Malaysia. Antara ciri-ciri individu itu mempunyai masalah berkenaan ialah apabila kerap mengalami sengugut, menurut pakar itu.

Jelasnya, dalam rawatan kesuburan membabitkan tiga perkara iaitu biasanya diberi pil kesuburan bagi membantu mematangkan telur wanita sekiranya isteri mengalami masalah berkenaan.

“Pil itu biasanya diberikan untuk lima hari sahaja bagi membantu wanita yang mengalami PCOS misalnya mematangkan telur mereka. Doktor juga akan memaklumkan keadaan yang sesuai untuk pasangan bersama bagi membantu mereka mendapat anak secara normal.

“Bagaimanapun, peratusan kejayaan mengandung secara normal selepas mengambil pil kesuburan itu tidak terlalu tinggi iaitu pada kadar 10 hingga 15 peratus sahaja.

“Pada tahap kedua bagi suami yang mengalami masalah air mani mereka akan menjalani rawatan ‘Intra Uterine Insemination’ (IUI) iaitu pakar akan memberi suntikan kepada isteri untuk mematangkan telur dan air mani suami dibersihkan untuk mengambil sperma terbaik bagi dimasuk terus dalam rahim,” katanya yang melihat kejayaan IUI hanya pada kadar sekitar 20 peratus.

Manakala, rawatan ketiga iaitu persenyawaan ‘in vitro’ (IVF) mempunyai beberapa prosedur antaranya hari kedua hingga ke 11 haid, wanita akan mengambil suntikan sekali sehari bagi mematangkan telur.

PEMILIHAN telur dan sperma terbaik dilakukan sebelum memindahkan ke dalam rahim dilakukan penuh berhati-hati ketika rawatan IVF.
PEMILIHAN telur dan sperma terbaik dilakukan sebelum memindahkan ke dalam rahim dilakukan penuh berhati-hati ketika rawatan IVF.

Jelasnya, apabila telur sudah matang pada hari ke 13 wanita itu akan masuk ke makmal untuk disedut telur-telurnya dari bawah untuk dikutip dan disuntik dengan satu air mani terbaik dalam proses ICSI bagi membentuk embrio di luar badan pesakit.

“Selepas mendapat embrio, pakar akan memindahkannya ke dalam rahim. Semua prosedur klinikal ini dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan pembentukan embrio itu tidak terganggu ketika di luar rahim.

“Kejayaan IVF ini secara umumnya antara 40 hingga 50 peratus untuk membantu wanita mengandung. Bagaimanapun, ia bergantung juga kepada faktor usia pesakit,” katanya.

Dr Pravin menambah, meskipun ada yang melontarkan persoalan mengenai sudah mengambil elemen terbaik dari suami dan isteri bagi membentuk embrio, tetapi 50 peratus kebarangkalian untuk negatif masih ada disebabkan beberapa faktor.

Katanya, selain faktor usia, pesakit yang mengalami tekanan perasaan juga menyumbang kepada masalah implantasi embrio pada rahim pesakit itu sendiri.

“Disebabkan itu selepas embrio dimasukkan kami menyarankan pesakit untuk mengambil cuti kerja selama dua minggu bagi mereka boleh mencari tempat yang tenang.

“Selain itu, mereka juga perlu banyak berehat yang bererti bukan 24 jam di atas katil, tetapi tidak melakukan aktiviti seperti joging, senaman berat dan mengangkat barang lebih 10 kilogram. Semua perkara kecil ini boleh beri kesan kepada implantasi,” katanya.

PAKAR memeriksa tahap telur wanita dan sperma terbaik dalam rawatan IVF.
PAKAR memeriksa tahap telur wanita dan sperma terbaik dalam rawatan IVF.

Biasanya keputusan untuk mengetahui seseorang itu mengandung atau tidak diketahui selepas 15 hari prosedur memasukkan telur dalam rahim.

Malah, kebiasaanya hanya dua embrio dimasukkan dalam rahim walaupun boleh memasukan lebih banyak, tetapi ia memberi risiko kepada wanita mengalami masalah seperti keguguran, kencing manis dan perlu dibedah jika anak kembar lebih daripada dua.

“Selain itu, kebiasaannya bagi wanita yang mengalami masalah kesuburan mereka tidak dapat mengandung secara normal melainkan melalui rawatan yang diterangkan tadi,” kata Dr Pravin.

Katanya, kos bagi IVF dicaj pusat perubatan swasta di Kuala Lumpur dianggarkan RM18,000 hingga RM25,000 untuk keseluruhan prosedur kali pertama.

PROSEDUR mengeluarkan telur (ovum) antara yang perlu dilalui wanita yang melakukan IVF.
PROSEDUR mengeluarkan telur (ovum) antara yang perlu dilalui wanita yang melakukan IVF.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 6:15 AM