PIPI Aisyah menunjukkan ketam bunga yang ditangkapnya.
PIPI Aisyah menunjukkan ketam bunga yang ditangkapnya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


SETIAP hari pada jam 4.30 petang, Pipi Aisyah Kopi, 25, membawa 90 bubu dan umpan untuk memulakan rutin 'memburu' ketam bunga di pinggir laut.

Dia memandu bot bersendirian menuju lubuk ketam bunga yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari rumahnya di Kampung Sungai Papan Tanjung Serindit, Kota Tinggi, Johor.

Tiada istilah takut bagi Pipi Aisyah kerana dia sudah didedahkan dengan aktiviti ini sejak usia sembilan tahun oleh bapanya yang juga nelayan.

Dia juga sudah melakukan kerja itu sejak tujuh tahun lalu sebagai sumber pencarian untuk membantu ekonomi keluarga.

Kelincahannya mengendalikan bot dan ketangkasan menarik bubu yang dipenuhi ketam bunga begitu mengagumkan.

Ibu dua cahaya mata ini berkata, momen menarik ketika menangkap ketam bunga apabila setiap bubu yang ditarik ke atas bot berjaya memerangkap banyak haiwan laut itu terutama bersaiz besar.

Menurutnya, bubu mengandungi umpan ikan tamban atau belukang yang dipotong dua atau lima diletakkan dalam laut dan ditinggalkan semalaman.

"Pada jam 4.30 petang ke pinggir laut untuk menarik naik bubu ke atas bot dan mengutip ketam yang terperangkap.

"Bubu ini tidak boleh dibiarkan melebihi semalaman kerana akan dipenuhi lumpur yang mengotorkan ketam bunga.

"Lazimnya saya melakukan aktiviti ini sehingga jam 6 petang dan pulang ke rumah untuk dijual kepada peraih," katanya.

Katanya, jumlah tangkapan ketam bunga tidak menentu, tetapi dia tidak pernah pulang dengan tangan kosong.

Jelasnya, paling sedikit tangkapan ialah enam ekor ketam bunga dan sekiranya bernasib baik, memperoleh banyak tangkapan yang pernah mencecah sembilan kilogram.

"Setiap Mac adalah musim ketam bunga betina dan pada masa ini hasil tangkapan banyak spesies ini.

"Perbezaan antara ketam bunga betina dan jantan adalah berdasarkan saiznya yang mana ketam jantan mempunyai saiz lebih besar," katanya.

Meskipun saiz ketam bunga betina kecil, tetapi mempunyai isi lebih padat, sedap, rasa manis dan terdapat telur.

"Perkara penting untuk menjadi penangkap ketam bunga ialah perlu mempunyai keberanian diri dan penyabar kerana ada kalanya hasil tangkapan tidak seperti diharapkan.

"Dua perkara ini yang saya amalkan sejak 16 tahun menjadi penangkap ketam bunga pinggir laut," katanya.

Pipi Aisyah berkongsi pengalaman tidak boleh dilupakan sepanjang menjadi pemburu ketam bunga ialah membantu seorang pemancing meninggal dunia kerana lemas dalam laut.

"Lelaki itu memancing ikan di rakit bersama lima rakannya dan dia tergelincir dalam laut kerana cuba mengambil seliparnya yang terjatuh.

"Rakan lelaki ini menjerit meminta pertolongan dan apabila menghampiri tempat kejadian didapati hanya kepala mangsa yang timbul serta sudah meninggal dunia.

"Saya dibantu rakan pemancing itu menariknya naik ke atas rakit," katanya.

Selain itu katanya, dia juga pernah terlihat buaya di kawasan menangkap ketam bunga, tetapi pada jarak jauh.

Katanya lagi, dia akan terus melakukan aktiviti menangkap ketam bunga selagi mampu kerana sudah sebati dengan jiwanya.

"Saya pernah melakukan pekerjaan lain selama setahun, tetapi jiwa meronta untuk kembali ke laut hingga hari ini,"

katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2024 @ 7:00 AM