BEKALAN ketam nipah  Abdullah habis selepas mendapat permintaan tinggi.
BEKALAN ketam nipah Abdullah habis selepas mendapat permintaan tinggi.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: Peningkatan kes denggi kebelakangan ini menyebabkan permintaan terhadap ketam nipah meningkat sehingga lima kali ganda.

Keadaan itu menyebabkan penangkap ketam nipah di Kampung Laut, di sini, tidak mampu memenuhi permintaan orang ramai.

Penangkap ketam nipah, Abdullah Hamzah, 64, berkata, ketam itu sering digunakan secara tradisional bagi merawat demam denggi menyebabkan hidupan sungai berkenaan menjadi tumpuan termasuk peniaga dan orang ramai.

“Saya menangkap ketam nipah sejak berusia tujuh tahun dan sepanjang tempoh itu, belum pernah menerima sambutan luar biasa sehingga harganya meningkat berbanding kebiasaannya.

“Ketika ini, harga ketam nipah mampu menjangkau RM35 sekilogram,” katanya.

Menurut Abdullah, sebelum ini, dia mampu memperoleh sehingga lima kilogram ketam nipah sehari, namun berbeza kali ini.

Katanya, adakala dia hanya memperoleh setengah kilogram, malah pernah menangkap hanya dua ketam nipah sehari.

“Sehingga kini, saya ada lapan tempahan yang belum tertunai kerana kekurangan hasil tangkapan. Biasanya saya akan ke sungai menahan bubu ketika air pasang dan memungut hasil keesokan harinya,” katanya.

Seorang lagi pencari ketam nipah, Ahmad Syarif Abdullah, 27, berkata, permintaan tinggi menyebabkan penduduk yang memiliki sampan atau bot gentian kaca turun ke sungai menangkap ketam itu.

“Ini kali pertama ketam nipah mampu dijual pada harga RM35 sekilogram berbanding sebelum ini iaitu hanya RM15 hingga RM25 sekilogram,” katanya.

Menurut Ahmad Syarif, ketam nipah yang ditangkap bukan hanya dibeli penduduk setempat, malah orang luar yang menghidap demam denggi.

Dekan Pusat Pengajian Sains Perikanan dan Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Dr Mazlan Ab Ghafar berkata, ketam nipah digunakan secara tradisional untuk merawat denggi kerana ia dipercayai mampu meningkatkan platelet dalam darah.

Bagaimanapun, katanya, kajian secara klinikal membuktikan kemujaraban ketam nipah bagi merawat penyakit itu masih belum terbukti.

“Kajian pernah dan masih dijalankan terhadap ketam nipah dan buat masa ini, hasilnya mendapati terlalu banyak protein atau sebatian bio-aktif yang masih belum berjaya dicirikan melalui proses penapisan.

“Kajian masih gagal mengenal pasti jenis sebatian yang bertanggungjawab atau berperanan meningkatkan platelet dalam darah penghidap demam denggi dan secara kesimpulannya, kajian mengenai pencirian bahan sebatian bio-aktif daripada ketam nipah belum berjaya sehingga hari ini,” katanya.

Menurutnya, penghidap demam denggi boleh terus mengamalkan petua memakan sup ketam nipah, tetapi tidak dapat dipastikan jumlah sukatan sup ketam nipah yang perlu dimakan untuk menambah platelet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:17 AM