Anggota penguatkuasa Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah merampas bubu naga dalam operasi yang dilakukan semalam. FOTO IHSAN Maritim Malaysia
Anggota penguatkuasa Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah merampas bubu naga dalam operasi yang dilakukan semalam. FOTO IHSAN Maritim Malaysia
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kerap kali amaran diberikan namun masih ramai nelayan dikesan menggunakan peralatan bubu kambang atau dikenali sebagai bubu naga yang diharamkan untuk menangkap ikan.

Terbaru empat nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Kuala Kedah selepas didapati menggunakan bubu naga, petang semalam.

Kesemua mereka ditahan hasil operasi khas Op Mardof bersama Jabatan Perikanan Malaysia di tiga lokasi berbeza berhampiran Tanjung Dawai di sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kesemua lelaki itu ditahan ketika sedang mengangkat bubu naga berkenaan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan di tiga bot milik nelayan terbabit menemui 43 set bubu naga yang baru sahaja diangkat ke atas bot.

"Keempat-empat lelaki berusia 25 hingga 51 tahun ditahan manakala hasil tangkapan, bubu naga, peralatan dan tiga bot beserta enjin dianggarkan bernilai RM 124,680 dirampas.

"Kesemua barang rampasan dan tangkapan itu dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 8(a) dan 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan tanpa lesen sah dan menggunakan peralatan tidak dibenarkan," katanya.

Noor Azreyanti berkata, dalam kes berasingan, 121 unit bubu naga turut dirampas di lima lokasi berasingan di pesisir Teluk Sungai Pial selepas pemantauan lanjut dilaksanakan oleh kru bot ronda PERKASA 1224.

Beliau berkata, bubu kambang atau bubu naga diharamkan penggunaannya berikutan mampu memerangkap serta mengancam hidupan laut yang lebih kecil dan benih udang selain merosakkan ekosistem dasar laut negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 January 2024 @ 2:11 PM