AKTIVITI berkayak juga boleh dilakukan di Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh.
AKTIVITI berkayak juga boleh dilakukan di Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BERKAYAK antara aktiviti rekreasi sukan air yang semakin digemari masyarakat di negara ini.

Aktiviti rekreasi santai itu bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah dapat memberi ketenangan apabila mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Selain itu, ia juga tidak memerlukan peralatan mahal sebaliknya semua kelengkapan dan keperluan aktiviti boleh disewa dengan harga berpatutan di setiap lokasi yang menyediakan kemudahan untuk berkayak.

Ada beberapa lokasi menarik di seluruh negara yang menjadi tumpuan penggemar aktiviti berkayak dan antara yang popular adalah di sekitar Tasik Putrajaya, Putrajaya.

Dengan panorama indah pemandangan yang berlatarkan pusat pentadbiran negara, Kelab Tasik Putrajaya menjadi pilihan penggemar aktiviti kayak terutama pada hujung minggu.

Apa yang menarik, orang ramai tidak perlu membawa peralatan sendiri kerana semua itu termasuk jaket keselamatan boleh disewa mengikut jam.

Kawasan untuk berkayak yang disediakan adalah seluas kira-kira dua kilometer dengan pemandangan menarik Jambatan Seri Perdana, Bangunan Jabatan Perdana Menteri dan Masjid Putra.

PANORAMA indah pemandangan yang berlatarkan pusat pentadbiran negara, kawasan Tasik Putrajaya menjadi pilihan penggemar aktiviti kayak.
PANORAMA indah pemandangan yang berlatarkan pusat pentadbiran negara, kawasan Tasik Putrajaya menjadi pilihan penggemar aktiviti kayak.

Selain itu, Taman Tasik Shah Alam, Selangor juga antara lokasi pilihan ramai untuk melakukan aktiviti berkayak.

Ia dikelilingi kehijauan yang subur di tengah-tengah pusat bandar Shah Alam dan menjadi tumpuan penduduk setempat untuk aktiviti riadah pada sebelah petang.

Pengunjung juga berpeluang melihat haiwan yang bebas di taman itu seperti angsa dan bangau ketika berkayak.

Dalam pada itu, jika anda berada di kawasan utara Semenanjung, aktiviti berkayak juga boleh dilakukan di Terusan Lencongan Banjir Barat Kampung Y (Wai) dan Terowong Lencongan Banjir Barat Timah Tasoh, Kuala Perlis, Perlis.

Kampung Wai jaraknya sekitar tiga kilometer dari pekan Kuala Perlis sebuah perkampungan yang terletak paling hujung negeri itu dan bersempadan dengan Thailand.

Ada sebuah terusan yang dibina baru-baru ini untuk menghubungkan sehingga Empangan Timah Tasoh sejauh 22 kilometer.

Lebih istimewa, air terusan itu yang berwarna kehijauan mengalir tenang antara bukit bukau batu kapur yang menambahkan lagi keindahan pemandangan untuk aktiviti berkayak.

Di Kelantan, ada beberapa lokasi popular untuk aktiviti berkayak antaranya di Pantai Sri Tujuh dan Pantai Suri, Tumpat; Pulau Kundur, Sungai Pulau Melaka dan Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu; Lata Kashmir, Jeli; Sungai Kenerong, Kuala Krai dan banyak lagi.

SIREH Park di Iskandar Puteri menjadi daya tarikan terbaharu bagi sektor pelancongan di Johor.
SIREH Park di Iskandar Puteri menjadi daya tarikan terbaharu bagi sektor pelancongan di Johor.

Di Terengganu pula, antara lokasi popular untuk aktiviti berkayak adalah di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu; Kampung Durian Belanja dan Kampung Talong, Dungun dan sebagainya.

Selain itu, Sungai Berang juga semakin popular untuk aktiviti berkayak dan digelar 'Little Amazon of Terengganu' kerana keindahan laluan sungainya yang berlatarkan hutan menghijau, sekali gus menyingkap realiti khazanah yang masih terpelihara di negeri itu.

Panorama indah seperti itu semestinya memberikan inspirasi buat pemuja alam semula jadi dan penggemar aktiviti kayak.

Di selatan tanah air, Sireh Park di Iskandar Puteri, Johor Bahru menjadi daya tarikan terbaharu bagi sektor pelancongan di Johor.

BERKAYAK di Taman Negara Johor Endau-Rompin juga memberi pengalaman lebih mencabar untuk penggemar aktiviti berkenaan.
BERKAYAK di Taman Negara Johor Endau-Rompin juga memberi pengalaman lebih mencabar untuk penggemar aktiviti berkenaan.

Taman rekreasi itu menawarkan pelbagai aktiviti yang menarik termasuk rekreasi, berbasikal dan memancing selain aktiviti berkayak yang terbaharu diperkenalkan.

Selain itu, berkayak di Taman Negara Johor Endau-Rompin juga dapat memberi pengalaman yang lebih mencabar untuk penggemar aktiviti berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 7:00 AM