BEREHAT sebentar sebelum memulakan perjalanan.
BEREHAT sebentar sebelum memulakan perjalanan.
Hafiz Ithnin


BERKAYAK arus deras sudah semestinya satu daripada aktiviti rekreasi yang menarik untuk dilakukan bersama rakan-rakan. Mana tidaknya, ia membabitkan kerjasama berkumpulan bagi memastikan pergerakan bot lancar meranduk air sungai deras yang kadangkala terdapat rintangan batu.

Meskipun aktiviti itu bukan asing dalam peminat rekreasi, tetapi di Malaysia terdapat banyak lokasi yang boleh melakukan kegiatan itu. Maklum sahaja, Malaysia mempunyai pelbagai sungai huluan yang masih dara dan jernih airnya.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan menyertai berkayak arus deras di Kampung Ulu Slim, Slim River, Perak iaitu satu daripada destinasi popular di Malaysia bagi aktiviti itu.

Pada asalnya, penulis dan rakan-rakan ingin cuba berkayak arus deras di Kuala Kubu Bahru, bagaimanapun niat itu terpaksa dibatalkan memandangkan air Sungai Selangor tidak begitu ‘cantik’ untuk melakukan aktiviti itu.

PESERTA memakai jaket keselamatan sebelum memulakan aktiviti berkayak arus deras.
PESERTA memakai jaket keselamatan sebelum memulakan aktiviti berkayak arus deras.

Jadi, dari Pekan Kuala Kubu Bahru kami perlu memandu sekitar 45 minit untuk tiba di Resort Pulau Tibang yang menjadi satu daripada destinasi berkumpul bagi mereka yang ingin melakukan kayak arus deras di Sungai Ulu Slim.

Di lokasi itu juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti kedai runcit yang diusahakan penduduk setempat, tempat untuk menyalin pakaian dan ruang makan berbumbung.

Seperti biasa bagi melakukan aktiviti itu, pastinya setiap peserta perlu diberi taklimat mengenai cara berkayak arus deras yang boleh memuatkan lapan orang di dalam sebuah bot.

Ketua pengemudi bot memaklumkan peserta

perlu memahami arahan yang diberikan seperti mendayung ke hadapan atau ke depan, bergerak ke belakang atau ke hadapan dan cara menyelamatkan diri sekiranya terjatuh dalam sungai.

Memahami arahan yang diberikan jurumudi amat penting bagi memastikan bot bergerak dengan baik terutama jika tersangkut di celah batu atau perlu menuruni jeram lebih rendah.

Selepas mendengar taklimat sekitar 30 minit, semua peserta mula masuk dalam bot masing-masing dan satu persatu bot yang ‘beratur’ mengisi penumpang dibenarkan untuk berkayak.

TAKLIMAT keselamatan
TAKLIMAT keselamatan

Pada hari itu, kami dimaklumkan keadaan air agak baik kerana berada pada tahap empat iaitu arus laju dan tidak cetek. Jika tidak dalam keadaan itu, pastinya pergerakan bot berdepan cabaran untuk berkayak.

Penulis dimaklumkan aktiviti berkayak arus deras kali ini sejauh tujuh kilometer yang mengambil masa sekitar tiga jam perjalanannya. Kedengaran masa itu agak panjang, tetapi apabila berada di atas bot sememangnya tidak terasa angka itu.

Mana tidaknya, sepanjang laluan, terdapat pelbagai batu sungai yang menjadi penghalang untuk bot terus berjalan. Ketika itu semua peserta di dalam bot perlu memainkan peranan mereka masing-masing.

PESERTA teruja untuk memulakan aktiviti.
PESERTA teruja untuk memulakan aktiviti.

Sekiranya bot tersekat di celah batu, semua peserta perlu mendengar jurumudi untuk memberatkan bot di bahagian tertentu. Tidak sekadar itu, sekiranya laluan air ‘tenang’ peserta di dalam bot juga perlu bersama-sama jurumudi untuk menggerakkannya sama ada ke kiri atau ke kanan.

Dalam melakukan aktiviti itu, pasti terasa tidak lengkap untuk jatuh dalam air kerana di situ dapat merasai nikmat cabaran berkayak yang sebenar. Pastinya jika terjatuh jangan khuatir kerana langkah keselamatan sudah diambil seperti setiap peserta perlu memakai topi keselamatan dan jaket keselamatan tidak boleh dibuka. Malah, setiap ahli di dalam bot juga diberikan taklimat cara menyelamatkan rakan jika terjatuh.

Sekitar sejam berkayak, nampaknya laluan sungai semakin mencabar dan kemuncaknya apabila perlu menuruni laluan jeram yang agak tinggi sekitar lapan meter. Jeram itu dikenali sebagai Jeram Kotak.

Untuk melalui Jeram Kotak bukan mudah kerana semua peserta perlu mengimbangkan bot dan memegang pada tali yang terdapat di tepinya supaya tidak jatuh. Ada juga rakan-rakan di bot lain terjatuh ketika melalui jeram berkenaan.

Sebaik melepasi laluan kemuncak itu, tiba masanya untuk berehat seketika di tepi sungai. Perkara yang dapat dipuji ialah operator yang menawarkan perkhidmatan itu amat peka kepada sampah kerana mereka akan mengutip setiap sampah di kawasan berehat.

Ketika menghampiri kawasan penamat laluan, menariknya kami dibenarkan untuk menghanyutkan diri ke tempat berkumpul terakhir. Untuk melakukannya tidak perlu khuatir kerana terdapat jaket keselamatan yang mengapungkan diri dan airnya juga cetek. Dalam kata lain, jika berdiri pun boleh.

Berkayak arus deras di Sungai Ulu Slim menarik kerana di sini bukan sahaja terdapat sungai yang menarik untuk melakukan aktiviti itu, malah kemudahan asas yang memberi keselesaan kepada pengunjung juga disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mac 2020 @ 7:00 AM