SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Kursus Pengurusan Perikanan Rekreasi anjuran Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO ihsan Jabatan Perikanan
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai Kursus Pengurusan Perikanan Rekreasi anjuran Jabatan Perikanan Negeri Sembilan di Bagan Pinang, Port Dickson. FOTO ihsan Jabatan Perikanan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Bukan mudah mengendalikan dayung sambil memancing ikan. Namun aktiviti memancing menggunakan kayak kian popular dikalangan kaki pancing sejak kebelakangan ini.

Pegawai Perikanan Kanan Jabatan Perikanan Putrajaya, Osman Mohamed berkata, pihaknya menganjur satu Kursus Pengurusan Perikanan Rekreasi untuk mempelajari teknik pancingan berkayak (kayak fishing) di Jeti Nelayan Bagan Pinang.

"Memancing menggunakan kayak semakin diminati dikalangan kaki pancing menyebabkan pihak kami mengadakan kursus khas.

"Seramai 20 peserta menyertai kursus ini yang diadakan kepada mereka (pemancing) untuk mempelajari teknik pancing berkayak bermula semalam.

"Peserta diberi tunjuk ajar teknikal oleh pakar, Mazuan Mohd Noor bertempat di pantai Bagan Pinang, Port Dickson," katanya.

Katanya, sebelum itu, satu taklimat berkenaan teknik ikatan perambut disampaikan bagi membolehkan peserta mempelajarinya.

"Bagan Pinang juga adalah antara pangkalan nelayan utama di Port Dickson dan komuniti nelayannya akrab dengan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

"Di sinilah satu-satunya kawasan yang terdapat unjam diusahakan oleh komuniti nelayan sebagai 'magnet' untuk menarik ikan dan juga kepada peminat sukan memancing berkayak.

"Selain mengetahui lubuk ikan, peserta juga diajar aspek keselamatan di air dan peralatan yang perlu disediakan sebelum turun ke laut untuk memancing," katanya.

Osman berkata, bagi yang tiada kayak, perkhidmatan sewaan kayak untuk memancing serta fasiliti lengkap juga disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Jun 2022 @ 4:13 PM