KEMUDAHAN jeti untuk melakukan pelbagai aktiviti air.
KEMUDAHAN jeti untuk melakukan pelbagai aktiviti air.
Hafiz Ithnin


PRODUK pelancongan membabitkan komuniti setempat sememangnya sesuatu yang menarik untuk diaplikasi dalam kalangan masyarakat setempat.

Apatah lagi ketika ini, keadaan ekonomi yang sukar diramal akibat tamparan pandemik Covid-19 memberi cabaran kepada pemain industri tempatan dalam sektor pelancongan.

Bertempat di Kampung Pulau Manis Serada, Kuala Terengganu, Terengganu, belia kampung berkenaan yang diterajui Muhammad Rafi Kori melaksanakan projek pelancongan komuniti setempat yang dikenali sebagai Kalang Warisan.

Muhammad Rafi berkata, projek berkenaan yang dilaksanakan sejak pertengahan tahun lalu selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Terengganu dilaksanakan ia dilihat dapat membantu penduduk setempat menjana pendapatan menerusi aktiviti pelancongan di kampung berkenaan.

Katanya, di Kampung Pulau Manis Serada terdapat banyak tarikan utama apatah lagi lokasinya terletak di tepi Sungai Terengganu.

"Sungai Terengganu ini masih cantik dan bersih kerana airnya mengalir dari Tasik Kenyir dan terdapat pelbagai aktiviti air yang boleh dilakukan.

"Jadi, kami golongan belia di sini melaksanakan pelbagai tawaran aktiviti pelancongan kepada pengunjung yang gemar melancong sambil menikmati keindahan alam semula jadi sepanjang Sungai Terengganu," katanya.

Tambahnya, Sungai Pesisir Pulau Manis Serada adalah warisan zaman berzaman dari satu generasi terdahulu hingga kini.

MENIKMATI juadah tempatan menjadi satu kemestian.
MENIKMATI juadah tempatan menjadi satu kemestian.

"Sehingga zaman 90-an, warisan sungai Pulau Manis Serada sangat indah dan terkenal yang mempunyai keunikan jajaran sungai yang cantik, jernih, hamparan pasir seperti pantai membabitkan keluasan sehingga enam padang bola, iaitu membabitkan separuh sungai keluasannya.

"Dahulu, boleh dikatakan sebahagian besar rumah orang kampung yang didirikan di pesisir tebing sungai mempunyai jeti atau 'kalang' sendiri.

"Ia berkonsep kayu dan terdapat juga konkrit. Hubungan yang akrab turut terbina antara perkampungan seberang sungai dari Kampung Telemong hingga Kampung Beladau Kolam kerana mempunyai talian kekeluargaan.

TURUT menawarkan aktiviti memanah kepada pengunjung.
TURUT menawarkan aktiviti memanah kepada pengunjung.

"Dahulu juga, 'kalang' paling utama atau sohor adalah Kalang Masjid, memandangkan itu laluan utama untuk ke masjid serta ke Makam Tok Pulau Manis. Ia juga adalah persinggahan wajib Sultan Terengganu, Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Syah," katanya.

Katanya, terdapat pelbagai aktiviti riadah air yang boleh dilakukan pengunjung menerusi kemudahan yang disediakan seperti berkayak.

Tambahnya, pengunjung akan dibawa menaiki pengangkutan air seperti kayak untuk perjalanan selama tiga jam hingga empat jam setengah.

PASTI menarik jika dapat melakukan aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan.
PASTI menarik jika dapat melakukan aktiviti bersama keluarga atau rakan-rakan.

"Sepanjang menaiki kayak itu menuju ke Muzium Terengganu, pengunjung akan dapat singgah ke beberapa destinasi lain seperti Dataran Banggol Chempedak, Sangkar Ikan Kampung Beladau Kepong dan Loji Air Lama Pulau Musang. Semua destinasi ini mempunyai tarikan tersendiri," katanya.

Muhammad Rafi berkata, pengunjung juga dapat menikmati pemandangan melalui bawah Jambatan Pulau Sekati yang begitu sinonim dengan lokasi tarikan untuk mengambil gambar jika berkunjung ke Kuala Terengganu.

PANORAMA indah di jeti.
PANORAMA indah di jeti.

Jelasnya, pengunjung juga akan dapat bermalam secara berkhemah di kawasan Kampung Pulau Manis Serada dan menikmati masakan masyarakat setempat.

"Bagi mereka yang gemarkan aktiviti melancong terutama dalam segmen ekopelancongan dan sejarah, mengunjungi Kalang Warisan adalah salah satu yang boleh dijadikan pilihan.

"Di sini, kami amat menggalakkan golongan belia turut dalam kegiatan pelancongan setempat. Malah, bagi aktiviti rekreasi seperti berkayak, ia turut diuruskan golongan yang mempunyai pengalaman demi menjaga keselamatan pelancong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 7:01 AM