TAKLIMAT ringkas daripada Suzilan.
TAKLIMAT ringkas daripada Suzilan.
MEMERIKSA keadaan kayak sebelum memulakan ekspedisi .
MEMERIKSA keadaan kayak sebelum memulakan ekspedisi .
PESERTA memasang jalur gemilang di kayak.
PESERTA memasang jalur gemilang di kayak.
JALUR gemilang berkibar megah.
JALUR gemilang berkibar megah.
Syaherah Mustafa


Berkayak adalah aktiviti rekreasi di air yang bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah memberi ketenangan apabila dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

Baru-baru ini, selepas kerajaan membenarkan individu yang lengkap vaksinasi Covid-19 menjalankan aktiviti sukan, Pusat Latihan Kayak Negeri Kelantan bersama SR Outdoor Gear Centre menganjurkan aktiviti berkayak sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

Program Kayak Merdeka dijalankan pada 31 Ogos lalu itu disertai 22 peserta dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat selain setiap peserta perlu lengkap divaksin.

Bagi menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan, setiap kayak turut dipasang bendera Jalur Gemilang.

Peserta perlu menempuh perjalanan sejauh 6.4 kilometer (km) untuk pergi dan balik dengan menyusuri Sungai Datu bermula dari Pulau Melaka sehingga ke Min House Camp, Kota Bharu sebagai simbolik 64 tahun kemerdekaan negara.

Penulis yang sudah sekian lama 'berehat' daripada sebarang aktiviti sukan berikutan pandemik Covid-19, tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti ini.

Semua peserta mula berkumpul seawal jam 7.30 pagi di Pusat Latihan Kayak Negeri Kelantan yang bertempat di bawah Jambatan Pulau Melaka, Kota Bharu.

Program dimulakan dengan taklimat ringkas daripada Perunding Rekreasi Semulajadi, Suzilan Mohd Salleh. Kami juga diajar teknik asas mendayung dan mengawal kayak.

Tepat jam 8.30 pagi, lengkap memakai jaket keselamatan, kami mula berkayak. Kibaran Jalur Gemilang yang dipasang di setiap kayak bagaikan memberi satu semangat luar biasa untuk mendayung.

PENULIS (hadapan) teruja dapat menyertai Program Kayak Merdeka.
PENULIS (hadapan) teruja dapat menyertai Program Kayak Merdeka.

Pada mulanya, penulis berdepan kesukaran untuk mengawal kayak, namun lama-kelamaan dapat membiasakan diri dan mendayung dengan baik hasil bantuan rakan.

Sepanjang perjalanan, penulis dapat menikmati keindahan alam semula jadi dengan ditemani bunyi kicauan burung, selain melihat pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan di tebing sungai seperti pokok nipah, bakau, beremban, nibong dan kiambang.

Sebelum sampai ke destinasi yang dituju, kami berhenti di sebuah pulau kecil untuk berehat sambil pihak penganjur mengambil peluang meraikan hari lahir pemilik syarikat Perunding Rekreasi Alam Semula jadi, Rozana Muhamad.

Kemudian, ekspedisi diteruskan lagi dengan baki jarak perjalanan lebih satu kilometer ke destinasi yang dituju.

Kami selamat tiba di Min House Camp pada 9.30 pagi. Sempena program ini, kami turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan makanan kepada Food Bank yang disediakan di lokasi berkenaan sejajar dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu Malaysia Prihatin.

PESERTA bersemangat mendayung kayak.
PESERTA bersemangat mendayung kayak.

Selepas hampir satu jam berehat, kami kembali berkayak pulang ke Pulau Melaka untuk menamatkan ekspedisi.

Perjalanan kali ini lebih lancar dan semua peserta selamat tiba di Jambatan Pulau Melaka, sekitar jam 11.45 pagi.

Rata-rata peserta melahirkan rasa teruja dan memberi maklum balas positif dengan aktiviti berkayak ini.

Penulis sendiri mula 'jatuh cinta' pada aktiviti berkenaan dan berjanji untuk kembali melakukan sukan air ini pada masa akan datang.

Pada masa sama, berkayak dapat membantu penulis menghilangkan rasa takut apabila berada di dalam air.

MENYAMBUT Hari Kebangsaan ke-64 dengan berkayak.
MENYAMBUT Hari Kebangsaan ke-64 dengan berkayak.

Menurut informasi yang diberikan Presiden Persatuan Kayak Kelantan, Johari Idris , pihaknya membuka peluang untuk orang awam berkayak pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula 8 pagi sehingga 12 tengah hari sepanjang musim pandemik Covid-19.

Caj RM5 seorang dikenakan yang mana jika aktiviti berkenaan dijalankan dalam jumlah yang ramai, jurulatih kayak akan turut serta bagi memastikan keselamatan terjamin.

PESERTA bekerjasama menurunkan kayak.
PESERTA bekerjasama menurunkan kayak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 6:20 AM