BERGAMBAR kenangan di salah satu lokasi menarik di Sungai Pisang.
BERGAMBAR kenangan di salah satu lokasi menarik di Sungai Pisang.
Hanifah Nazira Mohamed Hanafiah


'ABSEILING' antara salah satu aktiviti ekstrem yang diakui mampu memberikan cabaran lasak dari segi ketahanan fizikal, stamina dan mental.

Begitu pun, bukan semua penggemar aktiviti ekstrem sanggup melakukannya kerana ia menuntut keberanian dan keyakinan diri yang tinggi.

Namun, alah bisa tegal biasa bagi Hanizah Abd Hamid, 42, yang sudah lama aktif dalam aktiviti berkenaan di negara ini.

Hanizah yang mesra dengan panggilan Leez berkata, apabila memperkatakan mengenai 'waterfall abseiling' atau 'canyoning,' kepuasan dan cabarannya berganda apabila perlu melawan arus kederasan air terjun, ketinggiannya serta permukaan batu yang sangat licin.

Katanya, aktiviti itu agak rumit kerana lebih banyak tenaga diperlukan, namun ia digemari ramai khususnya golongan muda yang sukakan cabaran.

"Abseiling lebih sinonim sebagai penggunaan peralatan terutama tali tinggi yang memerlukan seseorang untuk turun dari tempat tinggi ke tempat yang rendah.

"Dalam situasi ini kemahiran imbangan badan dan daya ketahanan pergerakan otot, tangan serta kaki perlu dititikberatkan.

"Ini kerana, jika silap langkah boleh mengundang kecederaan pada diri sendiri dan perlu menjalani latihan khas serta tunjuk ajar daripada jurulatih profesional," katanya.

Berkongsi pengalamannya, Leez sebelum ini pernah menganjurkan trip ekspedisi 'abseiling' air gabungan Selangor Hikers dan Jebon Adventure di Sungai Pisang, Gombak, Selangor sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

PESERTA berpaut pada tali ketika menyeberangi anak sungai yang deras.
PESERTA berpaut pada tali ketika menyeberangi anak sungai yang deras.

Program itu membabitkan 64 peserta termasuk kru dan dibahagi kepada lapan kumpulan.

Katanya, semua peserta berkumpul seawal jam 7 pagi di hadapan pintu masuk di Sungai Pisang.

Sebelum memulakan aktiviti, peserta diberikan taklimat termasuk juga pendedahan mengenai aspek keselamatan dan halangan yang disampaikan ketua kumpulan Azrul Fahmi Ramli, 36, dan juru pandu trip Mohd Riza Hanif, 35.

"Tepat jam 9 pagi, kami memulakan perjalanan menuju Sungai Pisang dengan melalui laluan sungai yang menyajikan pemandangan indah.

"Selepas hampir sejam berdepan cabaran laluan berbatu, berakar dan berbukit, semua peserta akhirnya tiba ke destinasi air terjun Sungai Pisang.

"Peserta diberikan taklimat sekali lagi berkenaan tentatif aktiviti 'abseiling

' air, ciri-ciri keselamatan dan kaedah untuk melakukan aktiviti yang disampaikan tenaga pengajar berpengalaman," katanya.

Menurut Leez lagi, cabaran pertama adalah mengatasi ketakutan peserta pada ketinggian yang sukar dijangkakan.

Ini kerana peserta mengharungi arus air yang kuat ketika menuruni air terjun terbabit.

BEREHAT sebentar sambil mengalas perut dengan bekalan yang dibawa.
BEREHAT sebentar sambil mengalas perut dengan bekalan yang dibawa.

"Untuk itu, peserta perlu bijak menggunakan segala kemahiran dan ilmu yang dikongsi tenaga pengajar.

"Namun, ketika itu kru keselamatan akan turun juga bersama peserta bagi memberi keyakinan," katanya.

Jelas Leez lagi, peserta bukan sahaja perlu mempelajari teknik penggunaan dan penurunan tali dengan menggunakan peralatan khas malah perlu menguasai cara turun ke lembah curam.

Selain itu, peserta juga diajar bagaimana menjaga dan menyimpan tali terbabit.

Kata Leez, menerusi aktiviti lasak seperti itu, ia sedikit sebanyak dapat mengajar kita untuk berfikir bahawa tidak ada yang mustahil dilakukan.

Katanya, bagi peserta yang buat pertama kali atau tidak pernah langsung terbabit dalam aktiviti lasak seperti itu pasti akan berasa takut untuk mencuba.

"Namun, apabila sudah berjaya melakukannya dengan bimbingan jurulatih, kita akan beroleh kepuasan yang sukar digambarkan.

"Ia dapat membentuk sifat jati diri dan kepemimpinan, selain itu aktiviti ini juga boleh dilakukan bersama rakan mahupun ahli keluarga.

"Pada masa sama, aktiviti lasak sebegini memberi peluang kepada kita untuk mendekatkan diri dengan alam sekitar dan menikmati keindahan ciptaan Allah SWT," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Jun 2021 @ 6:45 AM