PESERTA merakam kenangan sebelum bergerak pulang.
PESERTA merakam kenangan sebelum bergerak pulang.
Zaitie Satibi


KEINDAHAN dan keaslian alam semula jadi yang menghiasi Air Terjun Gerehang berhampiran Gunung Tumang Batak, Tanjung Malim, Perak ini memang tidak dinafikan mereka yang pernah mengunjunginya. Malah, kejernihan dan kedinginan air terjunnya turut menjanjikan kepuasan buat pengunjung.

Namun, lokasi ini jarang dibicarakan sebagai tempat perkelahan, sebaliknya ia popular sebagai satu daripada pilihan terbaik untuk melakukan aktiviti ekstrem menuruni cerun air terjun menggunakan tali atau dikenali ‘water abseiling.’

‘Abseiling’ adalah satu kemahiran menggunakan tali untuk turun secara menegak dari kawasan tinggi seperti gunung, air terjun, jambatan mahupun helikopter di udara dan ia dianggap sebagai satu cara yang selamat untuk kembali ke tanah rata.

Baru-baru ini, 14 ahli kumpulan penggiat sukan lasak Outdoor Team Malaysia (OTiM) turut tidak ketinggalan merasai sendiri pengalaman yang menguji tahap keberanian diri menuruni cerun air terjun curam dan licin serta berarus deras di air terjun berkenaan yang berada pada ketinggian kira-kira 80 meter itu.

Penyelaras program, Badrul Amri Ghazali berkata, aktiviti yang mampu meningkatkan adrenalina itu dikategorikan sebagai ekstrem berikutan memerlukan kekuatan tangan untuk menuruni cerun air terjun sambil melawan kelajuan aliran yang deras.

Selain kekuatan fizikal, mental peserta turut diuji kerana mereka perlu melawan perasaan gementar berada di tempat tinggi. Malah, peserta turut berdepan cabaran seperti limpahan air yang membuak-buak dan permukaan batu yang licin.

AKTIVITI menuruni cerun air terjun guna tali semakin diminati.
AKTIVITI menuruni cerun air terjun guna tali semakin diminati.

“Kumpulan kami bergerak dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim kira-kira jam 7.30 pagi dan tiba sejam kemudian. Bagaimanapun untuk memasuki kawasan air terjun berkenaan, kami menukar kenderaan ke pacuan empat roda.

“Perjalanan ke lokasi pemula di Kampung Baru Behrang Ulu mengambil masa hampir setengah jam sebelum disambung dengan berjalan kaki kira-kira 20 minit ke kawasan air terjun. Peserta kemudian melepas lelah sambil menikmati juadah bekalan.

“Pada masa sama peserta menyediakan kelengkapan untuk aktiviti turun cerun dengan dibantu kru Delta Outdoor My (D.O.M) yang berpengalaman luas mengendalikan aktiviti sedemikian,” katanya.

Katanya, sebelum memulakan aktiviti peserta diberikan taklimat keselamatan termasuk teknik penggunaan tali. Antara langkah keselamatan yang perlu dipatuhi adalah pemakaian topi keledar, tali abah-abah yang dipasang pada badan dan kasut yang sesuai dengan aktiviti air.

“Peserta menuruni air terjun dengan membuat satu demi satu langkah perlahan pada dinding batu yang licin. Ketika berjalan atas dinding air terjun, peserta juga perlu mahir membaca kedudukan tempat berpijak berikutan permukaan dinding air terjun yang tidak rata.

“Pergerakan perlu dilakukan dengan teliti supaya tidak tergelincir dan hilang pegangan tali. Pada masa ini kekuatan tangan amat dituntut supaya tidak terlepas genggaman tali, manakala kaki perlu menahan air berikutan air terjun mula menerjah tubuh.

“Melakukan ‘abseiling’ di air terjun ini kepuasan dan cabarannya berbeza dengan menuruni gunung atau bukit kerana kita perlu ‘bermain’ dengan aliran air yang agak deras, di samping ketinggian yang hampir menegak serta permukaan berbatu licin.

“Memang akan rasa cepat letih kerana banyak menggunakan tenaga. Apapun, semua peserta gembira dan bersyukur apabila masing-masing mampu mengharung cabaran melawan air yang deras sehingga tiba ke kaki air terjun,” katanya.

Katanya, aktiviti sedemikian dapat membentuk keyakinan peserta terhadap kemampuan diri mereka berikutan terdapat segelintir yang berasa gementar ketika berada di tempat tinggi.

“Bagi peserta yang mempunyai rasa gayat, ia adalah cabaran terbesar tetapi mereka dapat mengatasinya hasil sokongan rakan-rakan yang banyak memberi galakan, di samping perasaan yakin bahawa mereka boleh melakukannya.

“Walaupun kebanyakan peserta baru pertama kali melakukan aktiviti sebegini, kami syukur tiada kejadian tidak diingini berlaku kerana masing-masing mematuhi arahan keselamatan. Malah, ada yang mengulang melakukan aktiviti ini berkali-kali kerana seronok.

“Kami menamatkan aktiviti pada jam 3 petang dan sempat mandi-manda di kolam air terjun sebelum berkemas untuk bertolak pulang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 8:59 AM