PERMULAAN laluan masuk ke Gua Kelam 2.
PERMULAAN laluan masuk ke Gua Kelam 2.
Hafiz Ithnin

PERLIS sememangnya terkenal dengan keindahan alam semula jadinya. Kepelbagaian daya tarikan juga mampu memukau pandangan pengunjung terutama produk ekopelancongan.

Tidak sekadar melihat keindahan sawah padi yang terbentang luas dari aras mata burung apabila mendaki bukit atau gunung di sekitarnya, tetapi Perlis juga amat terkenal dengan pelbagai jenis gua.

Baru-baru ini, penulis diberi kesempatan untuk menerokai salah satu gua yang terkenal di negeri berkenaan iaitu Gua Kelam 2 yang terletak dalam Banjaran Nakawan.

Menurut penunjuk arah aktiviti mendaki gua dari Hikers Perlis, Mohd Daniel Azizan, banjaran itu sendiri mempunyai keunikan kerana ia adalah banjaran batu kapur yang terpanjang di Malaysia yang merentasi sehingga ke Thailand.

Mohd Daniel berkata, dalam Gua Kelam dapat dilihat dengan jelas peninggalan aktiviti perlombongan berusia lebih 100 tahun.

"Apabila kita memasuki Gua Kelam, terdapat banyak perkara yang dapat dipelajari kerana bukan sahaja dapat mendekatkan diri dengan aktiviti alam semula jadi, malah melihat dengan dekat sejarah pelombongan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

ANTARA laluan mencabar perlu dilalui ketika menerokai Gua Kelam 2.
ANTARA laluan mencabar perlu dilalui ketika menerokai Gua Kelam 2.

"Di Gua Kelam ini terdapat dua bahagian iaitu Gua Kelam 1 dan 2. Gua Kelam 2 antara tarikan terbaharu dan ia mempunyai laluan yang agak mencabar. Begitu sesuai bagi mereka yang gemarkan aktiviti lasak," katanya.

Merasai pengalaman menerokai Gua Kelam 2 sejauh 900 meter dan keluar melalui Gua Kelam 1 sejauh 370 meter tanpa disedari hampir empat jam berada dalam lokasi itu.

Ketika berada di dalamnya penulis sendiri teruja dengan keindahan Gua Kelam yang mempunyai formasi batuan yang menarik.

Bermula dari laluan panjang yang ibarat tiada penghujung bertemankan lampu jingga di sekelilingnya sehingga melalui jalan air sememangnya menawarkan panorama menarik.

Terdapat beberapa lokasi yang menjadikan anda seolah-olah berada dalam Antelope Canyon terletak nun di Arizona, Amerika Syarikat.

Dalam hati penulis selepas mengambil merakam pelbagai foto dalam gua itu terdetik, tidak perlu berkelana sehingga ke luar negara untuk merakam panorama indah perbatuan semula jadi kerana di Perlis juga ada pemandangan itu.

BUNGA batu antara tarikan dalam Gua Kelam 2.
BUNGA batu antara tarikan dalam Gua Kelam 2.

DANIEL memberi penerangan mengenai batuan yang terdapat dalam gua.
DANIEL memberi penerangan mengenai batuan yang terdapat dalam gua.

Bagi mereka yang tidak membawa kamera canggih untuk merakam gambar di dalamnya juga tidak mengapa kerana dengan bantuan lampu yang dipasang di dalam gua itu memudahkan anda merakam foto.

Malah, sepanjang aktiviti penerokaan itu, Mohd Daniel yang berpengalaman mengenai sejarah dalam gua itu sentiasa memberikan pelbagai maklumat.

Antara yang menarik perhatian penulis ketika Mohd Daniel memberikan penerangan ialah tinggalan tulisan buruh lombong yang meluahkan perasaan mereka terpaksa meninggalkan keluarga kerana menjadi buruh. Tulisan itu masih utuh sehingga hari ini.

Tidak sekadar itu, pelbagai barangan perlombongan lama juga dikekalkan dalam gua itu bagi membolehkan pengunjung melihat lebih dekat peralatan digunakan buruh bagi mendapatkan bijih timah di dalamnya.

Mohd Daniel berkata, orang ramai perlu melihat sendiri tinggalan sejarah itu yang membuktikan bahawa Perlis adalah sebuah lokasi yang penting bagi British untuk mendapatkan hasil bumi di negeri itu.

"Jika ke sini anda perlu menggunakan khidmat penunjuk arah kerana golongan itu mempunyai pengalaman bukan sahaja mengenai maklumat, tetapi mampu mengurangkan risiko sesat ketika aktiviti meneroka," katanya.

BEKAS makanan dipercayai tinggalan pelombong.
BEKAS makanan dipercayai tinggalan pelombong.

BENTUK muka batuan atas gua yang menarik.
BENTUK muka batuan atas gua yang menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 7:00 AM