GUA Pinang mempunyai keunikan tersendiri.
GUA Pinang mempunyai keunikan tersendiri.
MEMULAKAN perjalanan di Jeti Kubang Badak.
MEMULAKAN perjalanan di Jeti Kubang Badak.
AKTIVITI snokel turut boleh dilakukan di Pulau Dangli.
AKTIVITI snokel turut boleh dilakukan di Pulau Dangli.
Hafiz Ithnin


"TERNYATA tidak lengkap sekiranya bertandang ke Pulau Langkawi, tetapi tidak berkunjung ke Biogeotrail Kubang Badak," kata pemandu pelancong, Nur Iqramullah Othman, 21, atau mesra disapa Uda.

Kata Nur Iqramullah, lokasi itu yang dilancarkan sekitar 2018 atau 2019 adalah destinasi yang membawa pengunjung mengenali Langkawi dengan lebih dekat daripada segi budaya, sejarah dan keunikan sainsnya.

Penulis bersama delegasi media dari Kuala Lumpur yang berpeluang ke sana anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama syarikat penerbangan, AirAsia sememangnya teruja kira-kira tiga jam melawat Biogeotrail Kubang Badak.

Memulakan perjalanan menaiki bot dari Jeti Kubang Badak, kami dijadualkan menerokai lima lokasi menarik di sekitar Biogeotrail Kubang Badak.

Bermula dengan Bukit Manora, Bukit Pinang, Pulau Jemuruk, Pulau Dangli hingga Tanjung Didih. Masing-masing mempunyai keunikan dan penceritaannya tersendiri.

Mukadimah perjalanan menyusuri Sungai Kubang Badak untuk ke Bukit Manora yang mengambil masa sekitar 10 minit perjalanan, kami dihidangkan dengan pemandangan kira-kira 20 hingga 25 spesies pokok bakau antaranya Rhizophora Mucronata, bakau kurap Rhizophora Apiculata dan bakau minyak.

Sebenarnya Langkawi antara 'dunia' utama pokok bakau di Malaysia kerana ia mempunyai antara 40 hingga 42 spesies daripada 52 spesis yang ada di negara ini. Malah, Malaysia menduduki negara dalam carta lima teratas di Asia Tenggara bagi taburan spesies pokok bakau.

MENELUSURI Sungai Kubang Badak yang mempunyai panorama menarik.
MENELUSURI Sungai Kubang Badak yang mempunyai panorama menarik.

Nur Iqramullah berkata, Bukit Manora pada era penjajahan Siam sekitar 1841 juga antara lubuk emas yang menjadi perhatian negara itu kerana kedudukan strategik untuk perdagangan dan industri kayu arang.

"Di Bukit Manora ini, kita masih boleh lihat secara dekat peninggalan industri arang kayu yang berusia antara 130 hingga 150 tahun.

"Malah di bukit ini masih terdapat 15 'kilang' memproses arang kayu tradisional yang dikenali sebagai kebuk arang. Jadi di sini, kita boleh mengetahui mengenai Langkawi ini sebagai destinasi laluan perdagangan penting yang menjadi rebutan di bahagian utara negara pada era penjajahan," katanya.

Meneruskan perjalanan ke Bukit Pinang juga membawa pengalaman baharu kepada penulis kerana di sini terdapat gua paling tua di Malaysia iaitu Gua Pinang yang berusia antara 400 hingga 490 juta tahun.

Nur Iqramullah berkata, Gua Pinang adalah destinasi untuk membawa pengunjung melihat batuan bukit yang dahulunya kawasan laut kerana masih terdapat cangkerang kuno yang berusia sekitar 4,000 hingga 6,000 tahun melekat di sekitarnya.

"Jika pengunjung ke sini, mereka juga boleh melakukan aktiviti menerokai Gua Pinang yang mengambil kira-kira 30 minit untuk melihat pelbagai formasi stalaktit dan stalagmit.

UDA menunjukkan tinggalan kebuk arang.
UDA menunjukkan tinggalan kebuk arang.

"Tidak sekadar itu, gua batu kapur ini juga mempunyai populasi 6,000 hingga 7,000 kelawar jenis buah dan serangga yang menghuninya. Jadi, apabila masuk ke dalamnya kita dapat melihat dengan lebih dekat haiwan liar itu yang berada hanya di atas kepala sahaja," katanya.

Namun, penulis difahamkan untuk mengunjung Bukit Pinang mempunyai waktu tertentu ditetapkan kerana ia terletak berhampiran dengan kawasan industri kuari yang masih aktif.

Malah, penulis turut difahamkan Gua Pinang juga gua yang diselamatkan pelbagai pihak untuk dijadikan antara warisan pelancongan penting Pulau Langkawi.

Dari Bukit Pinang, kami dibawa melalui Pulau Jemuruk iaitu pulau baki bersaiz kecil yang menjadi sebahagian daripada batuan tertua di pulau itu.

Sementara itu, kata Nur Iqramullah, batuan sediman di pulau itu pula mewakili lapisan teratas formasi Machincang. Antara Pulau Jemuruk dan Bukit Pinang terletak sempadan antara formasi Machincang serta formasi setul.

"Selain kepentingan geologi, pulau baki Jemuruk menunjukkan keindahan lapisan batuan seakan-akan kek lapis.

KEMUDAHAN laluan yang selesa untuk ke setiap destinasi.
KEMUDAHAN laluan yang selesa untuk ke setiap destinasi.

"Di sini juga menjadi destinasi penting masyarakat setempat mencari pelbagai siput dan tiram sebagai sumber makanan," katanya.

Di Pulau Dagli pula biasanya menjadi destinasi pengunjung untuk bersantai menikmati pemandangan dunia marin dengan melakukan aktiviti snokel.

Destinasi terakhir yang dilawati kami ialah Tanjung Didih. Ia tidak kurang menariknya kerana jika anda ke Telaga Ayer Hangat, mata air panas itu terletak di Tanjung Didih.

Perkara itu dikongsikan Nur Iqramullah yang menurutnya, menerusi kajian dilakukan penyelidik mendapati berlaku geoterma menyebabkan pengaliran air masin panas ke Telaga Ayer Hangat sejauh 10 kilometer!

Begitu juga dengan Biogeotrail Kubang Badak yang menjadi destinasi pelancongan bukan sekadar berkonsep santai, tetapi ia penuh dengan pengisian pendidikan.

"Dengan bayaran RM450 untuk satu bot yang boleh memuatkan lapan penumpang, pengunjung tidak terasa 'kosong' dengan aktiviti menerokai Biogeotrail Kubang Badak kerana ia sarat penceritaan fakta dan sejarah.

BUKIT Pinang yang memukau.
BUKIT Pinang yang memukau.

"Jadi, ia amat sesuai untuk dikunjungi pelbagai lapisan umur bagi mengenai sendiri dunia Pulau Langkawi yang sememangnya unik," katanya.

Lantaran itu, pada hemat penulis, tidak rugi untuk menerokai dunia Biogeotrail Kubang Badak. Apatah lagi, membawa anak supaya mereka dapat mempelajari dunia sains dan sejarah dengan lebih dekat.

FORMASI batuan yang unik di dinding Gua Pinang.
FORMASI batuan yang unik di dinding Gua Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 6:22 AM