JASLIN berada di Wang Kelian View Point.
JASLIN berada di Wang Kelian View Point.
Hafiz Ithnin


PERLIS Indera Kayangan sememangnya sebuah negeri yang mempunyai keunikan tersendiri kerana bukan sahaja mempunyai keunikan budaya, malah turut kaya dengan keindahan alam semula jadi.

Bagi Jaslin Puasa yang berkesempatan mengunjungi negeri paling utara di Semenanjung Malaysia itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perlis dilihat semakin menyerlah dari segi memajukan produk pelancongan domestiknya.

Katanya, dia bersama rakan-rakan yang mengunjungi beberapa produk pelancongan di negeri itu terpesona dengan keindahan alam semula jadinya yang semakin dikomersialkan penduduk setempat.

Jelasnya, meskipun perjalanan dari Kuala Lumpur ke negeri itu mengambil masa pemanduan lebih lima jam tetapi cukup puas sebaik sahaja tiba.

"Jika dahulu, mungkin orang melihat Perlis sebuah negeri yang aktif dalam bidang pertanian tetapi sebenarnya alam semula jadi yang masih dara memberi kepuasan kepada pengembara yang gemarkan pelancongan dalam segmen ekopelancongan.

"Saya melihat, sendiri beberapa lokasi yang dinaik taraf keindahannya misalnya, Jambatan Tuanku Syed Putra yang kini berwarna-warni dan pasti dapat memikat pelancong untuk mengambil gambar di sana," katanya.

Tambahnya, Jambatan Tuanku Syed Putra mempunyai keunikan tersendiri kerana pengunjung dapat melihat panorama perkampungan nelayan.

"Jambatan itu yang kini sudah menjadi seperti 'pelangi' sebenarnya menghubungkan antara Kampung Seberang Tok Pi di sebelah Pekan Kuala Perlis ke penempatan asal Kuala Perlis di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Ramai.

"Malah, jika berkunjung pada sebelah petang, kita juga dapat menikmati pemandangan matahari terbenam yang cukup mempesonakan kerana jambatan ini terletak berhampiran dengan laut," katanya.

 PELBAGAI formasi batuan di dalam Gua Wang Burma.
PELBAGAI formasi batuan di dalam Gua Wang Burma.

Selain itu, Jaslin turut mengunjungi Wang Kelian View Point yang dikelilingi dengan panorama gunung dan bukit. Malah, ia menjadi destinasi wajib bagi mereka yang berkunjung ke negeri itu.

Terletak hanya 30 minit dari Bandar Kangar, panorama aras tinggi Wang Kelian View Point sememangnya menjadi destinasi ramai pengunjung untuk menikmati suasana alam semula jadi terutama pada sebelah pagi yang begitu menenangkan.

Katanya, Wang Kelian View Point bukan sahaja menjadi destinasi penduduk setempat untuk beriadah dan bersantai, malah turut menarik perhatian si kaki lensa.

"Dari ketinggian sekitar 303 meter dari aras laut itu saya dapat menikmati pemandangan pelbagai bukit bukau dan keindahan gunung yang serba kehijauan.

"Jika mengunjungi pada awal pagi kita dapat menikmati kabus yang masih segar menjadi 'sulaman' keindahan," katanya.

KAMPUNG Hujung Tanjung, Kuala Perlis yang berwarna-warni.
KAMPUNG Hujung Tanjung, Kuala Perlis yang berwarna-warni.

Jaslin berkata, di lokasi itu juga terdapat pelantar untuk orang ramai merakam pemandangan yang menarik selain tidak dilitupi sebarang objek.

"Di pelantar itu sentiasa menjadi lokasi pilihan orang ramai untuk merakam memori di Wang Kelian View Point kerana ia mempunyai latar belakang alam semula jadi yang menarik.

"Kemudahan pelantar untuk orang ramai merakam memori di lokasi itu sememangnya satu inisiatif yang baik untuk pengunjung," katanya.

Tidak sekadar itu, jika bertandang ke Perlis dan tidak mengunjungi Tasik Timah Tasoh ibarat tidak lengkap kerana ia juga menjadi destinasi wajib bagi mereka yang gemarkan percutian alam semula jadi.

Tasik Timah Tasoh juga mempunyai ceritanya tersendiri kerana ia menjadi nadi penting air di Perlis selain aktiviti masyarakat di negeri itu.

PEMANDANGAN kampung nelayan di Jambatan Tuanku Syed Putra.
PEMANDANGAN kampung nelayan di Jambatan Tuanku Syed Putra.

Malah tasik itu adalah pertemuan dua sungai iaitu Sungai Timah dan Sungai Tasoh. Sebelum dijadikan empangan ia adalah sebuah kampung yang bernama 'Tasoh' namun ditenggelamkan bagi mewujudkan empangan.

Kampung itu terpaksa ditenggelamkan untuk membentuk takungan air bagi menyediakan bekalan air domestik atau perindustrian yang mencukupi. Selain memenuhi keperluan untuk mengairi 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.

Jaslin berkata, Tasik Timah Tasoh juga menjadi destinasi penginapan dan percutian keluarga kerana terdapat resort yang menguruskan kawasan berkenaan.

Selain Tasik Timah Tasoh, Jaslin juga melakukan aktiviti menerokai Gua Wang Burma yang menjadi destinasi tumpuan bagi mereka yang gemarkan kegiatan lasak.

ANTARA lokasi menarik di Tasik Timah Tasoh untuk bergambar.
ANTARA lokasi menarik di Tasik Timah Tasoh untuk bergambar.

Katanya, menerokai Gua Wang Burma sememangnya menarik kerana pengunjung dapat melihat sejarah perlombongan negara yang berlaku di dalamnya.

"Ketika menerokai gua ini, perlu menggunakan khidmat penunjuk arah demi memastikan keselamatan pengunjung terjamin.

"Selain itu, dengan menggunakan penunjuk arah, kita juga dapat mengetahui kegiatan perlombongan yang pernah berlaku di dalamnya," katanya.

Jelasnya, meskipun Perlis sebuah negeri yang kecil tetapi ia cukup kaya dengan pelbagai aktiviti eko pelancongan dan budaya yang membawa pengunjung ke sebuah dunia pelancongan cukup menarik dan tidak dapat dilupakan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 7:01 AM