ONN Hafiz. FOTO arkib NSTP
ONN Hafiz. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Kerajaan negeri menegaskan tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri itu.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, dengan penegasan itu, kerajaan negeri berharap isu terbabit tidak lagi dipanjang dan dimomokkan.

Menurutnya, khabar angin berkenaan mampu menjejas kerukunan dan nama baik negeri dan negara serta keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Malah beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah menerima jemputan bagi sebarang perbincangan berhubung perkara berkenaan apatah lagi terbabit atau dirujuk mengenainya.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak pernah menerima sebarang cadangan mahupun menghadiri mana-mana mesyuarat yang membincangkan perkara berkenaan.

"Berikutan tular berita kononnya kasino bakal dibuka di Forest City, kerajaan negeri ingin menegaskan bahawa tiada kasino akan dibuka atau beroperasi di negeri ini.

"Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, Kerajaan negeri yakin bahawa Forest City akan diberikan nafas baharu dan kegiatan ekonomi akan bertambah rancak dengan pembangunan Zon Kewangan Khas (SFZ) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Semua sedia maklum bahawa kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan sedang giat berusaha untuk merancak dan mempertingkatkan ekonomi Johor supaya ia memberikan impak positif seperti peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi buat Bangsa Johor.

"Justeru, khabar angin yang tular ini dilihat mempunyai unsur sabotaj dan berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor secara keseluruhannya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan menafikan kerajaan akan meluluskan sebuah lagi kasino berlesen di Forest City.

Perdana Menteri dilaporkan turut menyatakan bahawa laporan media yang memetik sumber, bahawa terdapat rancangan untuk membuka kasino berlesen kedua itu adalah tidak betul.

Sebelum ini, Bloomberg dengan memetik sumber, melaporkan Perdana Menteri bertemu dengan dua hartawan terkemuka minggu lalu bagi membincangkan rancangan membuka kasino di Forest City.

Laporan itu mendakwa Anwar, pegawai kanan kerajaan dan ahli perniagaan mengadakan makan tengah hari dan mesyuarat mengenai kemungkinan memberikan lesen kasino kedua Malaysia.

Menurut laporan itu, turut berada pada mesyuarat itu ialah Pengasas dan Penasihat Berjaya Corporation Berhad Tan Sri Vincent Tan dan bekas Pengerusi serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Genting Hong Kong Ltd Tan Sri Lim Kok Thay.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, sejarah Johor jelas membuktikan bahawa sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim lagi, tiga kasino di Johor ditutup.

"Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim juga sudah bertitah sebelum ini bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 5:07 PM