ANTARA sudut pandangan dalam gua.
ANTARA sudut pandangan dalam gua.
Nor Amalina Alias


ASALNYA Gua Kami Anak Felda (KAF) Chiku 2, Gua Musang, Kelantan ini menjadi tarikan kerana keindahan batu kapur yang tersergam indah, sesuai untuk tujuan bergambar bagi pengantin atau rekreasi keluarga.

Namun baru-baru ini selepas gua berkenaan mula diberi kebenaran untuk diterokai, orang ramai mulai kagum dengan kejutan yang terdapat di dalamnya.

Terdapat 15 arca unik yang menyerupai pelbagai jenis haiwan, perabot, alat muzik dan manusia ditemui dalam gua berkenaan.

Arca yang terbentuk secara semula jadi itu adalah batuan stalagmit dan stalaktit yang membentuk haiwan seperti ular, katak, cicak, gajah, ikan, buaya, penyu, sotong kurita dan tapak kaki kuda.

Manakala kebanyakan stalagmit iaitu batu-batuan di dasar gua pula membentuk alat muzik seperti rebana, sofa, kasut, kolam mandi, keris dan monumen manusia iaitu seakan bentuk askar sedang berperang.

Keunikan batu-batuan ini memberi keterujaan kepada orang ramai yang menerokai gua batu kapur berusia ratusan juta tahun ini yang berketinggian anggaran 105 meter.

GUA KAF Chiku 2 punyai tarikan tersendiri.
GUA KAF Chiku 2 punyai tarikan tersendiri.

Bagi melihat arca semula jadi itu pula, orang ramai hanya perlu memanjat gua seluas 0.8 hektar itu yang kini dibekalkan jejambat dan tangga sesuai didaki warga emas dan kanak-kanak.

Penduduk, Mohd Nasir Mohamad,40, berkata, selain mempunyai 15 arca unik, gua itu turut memiliki air terjun bertingkat, formasi batuan yang mengagumkan.

"Dikatakan terdapat pelbagai kisah mistik dan menarik yang mana gua ini sudah terbentuk sebelum wujudnya daerah Gua Musang lagi.

"Ketika berusia lima tahun saya dan beberapa rakan pernah memasuki gua ini kerana diminta pengamal perubatan untuk tujuan mencari barangan mistik di perut bumi gua.

GUA ini sering jadi tumpuan pencinta alam.
GUA ini sering jadi tumpuan pencinta alam.

"Hasilnya, kami menemui sebilah keris emas dan beberapa barangan unik lain seperti labu kayu serta menyerahkan barangan kepada pengamal perubatan itu. Masa pegang saya perhatikan keris itu bersalut emas, namun setakat ini saya tidak tahu di mana keris itu disimpan," katanya yang mengakui selepas sekian lama, gua itu kembali dibuka kepada ramai.

Sebelum ini, dia dan penduduk hanya bergambar di hadapan gua dan setiap seminggu sekali, ada pasar minggu diadakan di depan gua ini.

"Jadi, bagi penduduk kampung, Gua KAF Chiku 2 ini adalah sebahagian sejarah hidup kami," katanya dalam ekplorasi media ke gua berkenaan.

Mohd Nasir berkata, keadaan gua yang landai dan laluan trek tidak ekstrem lebih memudahkan orang ramai dan pencinta alam menerokai alam semula jadi dalam gua yang terletak di laluan Jalan Kuala Krai ke Gua Musang itu.

MOHD ROZI
MOHD ROZI

"Bagaimanapun, untuk melihat arca batuan ini dengan lebih jelas, kita kena tengok melalui sisi tertentu, baharu kita boleh nampak jelas bentuknya, ada yang sekali lihat kita boleh nampak seperti bentuk kasut dan keris, tetapi ada juga batuan yang kena lihat dari perspektif berbeza sebab ukirannya," katanya.

Bagi Mohd Rozi Ghani, 46, pula, gua itu sering menjadi tempat dia dan rakan-rakan bermain ketika usia belasan tahun dan penduduk dahulu sememangnya sedar kewujudan arca pelik itu.

Katanya, dia sendiri berpengalaman memanjat gua itu dan menemui batu-batuan berbentuk rebana yang turut mengeluarkan bunyi apabila diketuk seperti alatan muzik yang asli.

"Selepas 30 tahun, ini kali pertama pula saya kembali ke gua ini dan saya percaya banyak lagi batu-batuan unik ada di dalamnya yang berketinggian seperti bangunan lima tingkat," katanya.

KEUNIKAN batu-batuan memberi keterujaan kepada pengunjung.
KEUNIKAN batu-batuan memberi keterujaan kepada pengunjung.

Rakannya, Amran Mamat, 45, berkata, Gua KAF Chiku 2 itu begitu dekat dengan penduduk kampung sebagai tempat menanam kulat sisir selain menjadi medan ilmu persilatan dan perubatan tradisional zaman dahulu kala.

Katanya, dengan penerokaan gua sebagai ekplorasi alam semula jadi, gua itu berpotensi menjadi tarikan pelancongan di Kelantan seiring keberadaan batu-batuan unik itu yang setiap satunya bersaiz gergasi.

Sementara itu, pengerusi KAF Felda Wilayah Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincagan bersama pengurusan di situ dan bersetuju mewartakan kawasan berkenaan sebagai tapak warisan.

"Selepas mendapat perhatian ramai, sudah pasti ada pengambilan dan sebagainya, kami pun sudah membuat permohonan secara rasmi kepada Felda untuk memohon peruntukan sewajarnya bagi menaik taraf gua ini dan kawasan sekitar," katanya.

SETIAP pengunjung pasti berminat untuk terus meneroka gua ini.
SETIAP pengunjung pasti berminat untuk terus meneroka gua ini.

Katanya, keunikan gua batu kapur dan kewujudan arca batu itu sudah pasti berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan pelancongan di negeri ini sekali gus menjadi batu loncatan untuk meningkatkan ekonomi sosial penduduk sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2020 @ 6:28 AM