MENDAKI tebing batu di dalam gua antara yang menarik perhatian peminat aktiviti ekstrim.
MENDAKI tebing batu di dalam gua antara yang menarik perhatian peminat aktiviti ekstrim.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


Bagi penggemar aktiviti mendaki tebing batu, nama seperti Gunung Nenek Semukut di Tioman, Gua Damai di Batu Caves dan Bukit Takun di Rawang antara†yang popular.

Sebenarnya di utara Semenanjung, Bukit Keteri yang terletak di Kangar, Perlis juga antara yang menjadi sebutan kerana ia mempunyai keunikan tersendiri dan memberi cabaran kepada peminat aktiviti berkenaan.

Bukit Keteri mempunyai permukaan batu kapur formasi 'chuping' dianggarkan berusia 250 juta tahun dan sememangnya menjadi tarikan pelancong di negeri berkenaan terutama untuk peminat aktiviti ekstrim.

Bagi penggiat rekreasi, Mohd Daniel Azizan, Bukit Keteri adalah destinasi terkenal untuk aktiviti pendakian tebing batu bukan sahaja dalam kalangan rakyat Malaysia malah antarabangsa.

Jelasnya, ia dibuktikan apabila pendaki profesional tebing batu dunia, mendiang David Lama turut mengunjungi destinasi itu bagi mencuba sendiri laluan pendakian di Bukit Keteri.

"Di sini terdapat lebih 50 laluan pendakian dan hanya boleh digunakan ketika ini sekitar 40 sahaja kerana selebihnya dalam proses dinaik taraf penggunaannya.

"Selain itu, Bukit Keteri juga mempunyai sebuah gua yang membolehkan pendaki menerokai laluan pendakian di dalamnya," katanya.

PERLU menggunakan khidmat jurupandu arah.
PERLU menggunakan khidmat jurupandu arah.

Anak kelahiran Perlis itu berkata, Bukit Keteri turut menjadi destinasi penggiat pendaki tebing profesional tempatan termasuk atlet

untuk berlatih kerana ia menawarkan laluan yang mencabar sehingga ke gred 8B+.

Jelasnya, Bukit Keteri yang dikawal selia Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Perlis dan diuruskan Perlis Climbers turut menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengunjung.

"Ketika ini dari segi kemudahan asas untuk pengunjung hanyalah tempat parkir dan saya dimaklumkan mereka dalam proses menyediakan kemudahan lain seperti tandas.

"Bagaimanapun untuk aktiviti pendakian, pengunjung tidak perlu risau kerana pihak Perlis Climbers menyediakan kemudahan seperti jurupandu arah, sewaan peralatan dan membantu menjadi penjaga tali di bawah untuk pendaki (belay) dengan kadar bayaran yang ditetapkan," katanya.

BUKIT Keteri mempunyai pelbagai laluan pendakian.
BUKIT Keteri mempunyai pelbagai laluan pendakian.

Sebenarnya di Bukit Keteri bukan sahaja menjadi destinasi sukan itu tetapi turut disediakan ialah aktiviti menerokai gua dan turun cenuram.

Mohd Daniel berkata, jika pengunjung ingin melakukan semua aktiviti mendaki tebing batu, menerokai gua dan turun cenuram, terdapat pakej yang menggabungkannya dengan kadar bayaran RM90 seorang.

Jelasnya, mengenai aktiviti mendaki tebing batu, ia juga boleh dilakukan mereka yang tidak mempunyai pengalaman dan dibantu jurupandu arah profesional dalam kalangan Perlis Climbers.

"Di sini, sebenarnya tidak khusus untuk aktiviti kepada mereka yang bergelar profesional sahaja kerana ia menjadi destinasi memupuk orang ramai menceburkan diri dengan aktiviti lasak terutama kanak-kanak.

MENDAPAT perhatian pengunjung tempatan dan luar negara.
MENDAPAT perhatian pengunjung tempatan dan luar negara.

"Disebabkan itu, pihak Perlis Climbers menawarkan perkhidmatan mereka untukcpengunjung dan menjaga keselamatan pendaki termasuk sentiasa memastikan laluan pendakian dalam keadaan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 7:00 AM