GABUNGAN pasar karat, gerai makan dan tempat riadah seisi keluarga.
GABUNGAN pasar karat, gerai makan dan tempat riadah seisi keluarga.
Zaitie Satibi


SEMAKIN larut malam tempat santai, lepak dan menjamu selera di Jalan Gombak di ibu negara ini semakin dikunjungi ramai. Biarpun baru dibuka awal April lalu, Kantin Setor Gombak yang menggabungkan pasar karat dan gerai makan mampu menggamit kehadiran warga kota terutama pada hujung minggu.

Berkeluasan kira-kira 2,314 meter persegi, lokasi ini direka untuk pelbagai lapisan usia termasuk pasangan yang ingin membawa anak kecil. Ia yang beroperasi setiap hari mulai jam 5 petang hingga 3 pagi menyediakan 18 gerai yang menawarkan pelbagai hidangan popular tempatan, Barat dan Nusantara.

Sementara itu, anggaran 20 hingga 30 peniaga bebas pula terbabit menjayakan pasar karat di lorong ‘Bazar Karat Special’ dengan menjual pelbagai produk antik, vintaj dan terpakai seperti pakaian, kasut, aksesori diri dan perhiasan rumah. Barangan lama yang membangkitkan nostalgia ini juga boleh didapati di tapak kekal dikenali Gudang Lima.

PUSAT jualan barangan antik dan vintaj.
PUSAT jualan barangan antik dan vintaj.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Kantin Setor Gombak, Putera Al Matin Mohd Zain berkata, pihaknya mengambil masa hampir setahun untuk mengubah suai lokasi berkenaan daripada medan selera biasa kepada tempat santai yang kondusif kepada pengunjung.

“Tempat riadah berkonsepkan seisi keluarga dan sesuai untuk semua golongan semakin mendapat permintaan tinggi dalam kalangan warga kota. Ini berikutan warga kota lazimnya sibuk bekerja pada sebelah siang, oleh itu mereka mahu memanfaatkan waktu malam untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan.

“Bagi yang ingin meluangkan masa hujung minggu bersama keluarga, pastinya mahukan satu tempat yang lengkap dengan segala kemudahan dan paling penting berbaloi serta sesuai untuk anak-anak. Oleh itu, kami turut menyediakan kawasan permainan termasuk perkakas permainan seperti papan gelungsor dan buaian.

JADI lokasi santai hujung minggu.
JADI lokasi santai hujung minggu.

“Suasana persekitaran yang moden dan bercirikan ‘urban’ dan terbuka menjadikan ia destinasi popular untuk golongan muda. Malah, kami juga turut menyediakan dewan serba guna bagi penganjuran pelbagai acara dan ruang persembahan busker,” katanya.

Katanya, pihaknya menggunakan nama kantin berikutan ia sinonim dengan tempat makan yang menawarkan harga makanan berpatutan, di samping konsep jualannya juga seperti kantin iaitu pembeli perlu membeli makanan di gerai sebelum menjamahnya di ruang makan disediakan.

“Kami sengaja menggunakan nama kantin kerana mahu mengembalikan nostalgia ketika zaman persekolahan. Nama ini juga simbolik kepada tempat makan layan diri.

“Terdapat beberapa jenama makanan popular dan mempunyai peminat tersendiri. Oleh itu, kami yakin ia mampu menjadi daya tarikan kepada pengunjung yang mampu memuatkan seramai 400 orang pada satu-satu masa,” katanya.

Selepas menjamu selera, pengunjung boleh bersiar ke lorong pasar karat untuk menjamu mata pelbagai barangan lama dan boleh membelinya jika berminat. Lorong yang disinari lampu limpah kuning suram memberikan suasana klasik, selain lukisan mural untuk mencantikkan lokasi.

Pengunjung juga mempunyai banyak pilihan membeli pakaian, aksesori atau barangan rumah lama serta terpakai dalam menyediakan kelengkapan menjelang hari raya. Harga boleh ditawar, malah ada peniaga membuat jualan murah sempena musim perayaan ini.

SUASANA tempat makan yang selesa untuk seisi keluarga.
SUASANA tempat makan yang selesa untuk seisi keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2019 @ 9:47 AM