SET meja dan kerusi makan praktikal ini sering kali menarik perhatian pelangga hingga ada berminat membuat tempahan.
SET meja dan kerusi makan praktikal ini sering kali menarik perhatian pelangga hingga ada berminat membuat tempahan.
Hartini Mohd Nawi


Kekuatan produk kayu palet tidak hanya terhad sebagai hiasan atau pelengkap taman semata-mata.

Elemen ini juga menarik dan membawa keindahan tersendiri dalam menyerikan ruang dalaman.

Tidak terkecuali ruang kafe yang menerapkan konsep dekorasi tertentu berasaskan kayu palet untuk diselarikan dengan menu sajian ditawarkan.

Malah siapa yang tidak teruja sebaik berpeluang menjamu selera dalam persekitaran mesra alam dan natural.

Terletak Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor, TeknoKafe@goat2gofarm menyingkap seribu satu keunikan.

KEWUJUDAN ruang makan khas seperti Laman jamnapari - kambing ini memberikan suasana menjamu selera yang berbeza.
KEWUJUDAN ruang makan khas seperti Laman jamnapari - kambing ini memberikan suasana menjamu selera yang berbeza.

Bukan sekadar kelainan menu, malah tarikannya turut terletak pada dekorasi ruangnya yang diserikan dengan perabot kayu palet.

Di kelilingi kehijauan alam merangkumi ladang, kebun dan laman pertanian, kunjungan ke kafe itu nyata berbaloi.

Melangkah masuk, tumpuan pertama pasti terarah kepada susun atur menarik set kerusi dan meja makan berasaskan kayu palet.

Didekorasikan dalam suasana santai dan praktikal untuk keselesaan anda, hakikatnya ia menawarkan konsep menarik.

Menurut salah seorang pemiliknya Hamidon Tambih, kafe berlatarkan keunikan kayu palet itu antara pelengkap kepada konsep dari ladang ke pinggan (‘from farm to plate’).

PENGALAMAN di TeknoKafe@goat2gofarm bagaikan membawa ke ‘ladang.’
PENGALAMAN di TeknoKafe@goat2gofarm bagaikan membawa ke ‘ladang.’

“Ia sebagai pelengkap suasana menjamu selera dalam suasana ‘ladang’ dan kehijauan.

“Daripada rekaan, pilihan produk hingga susun atur kayu palet ini semuanya kami ilhamkan sendiri supaya ia lebih eksklusif,” katanya yang sama-sama membangunkan kafe berkenaan bersama dua lagi pemilik iaitu Dr P Azhar Zakaria dan Nordin Mat.

Bermula dengan ruang utamanya reka letak meja dan kerusi makan kelihatan tampil dengan rekaan praktikal serta santai.

Perancangan ruang yang sempurna menambahkan keselesaan menjamu selera dan pergerakan.

RUANG utama menarik dengan susun letak set meja dan kerusi makan kayu palet.
RUANG utama menarik dengan susun letak set meja dan kerusi makan kayu palet.

Dalam melengkapkan keunikannya, beberapa ruang kecil diwujudkan bersebelahan ruang makan utama.

“Ia lebih kepada ruang privasi untuk anda yang bercadang mengadakan perbincangan, ‘brainstorming’ atau menjana idea dan perjumpaan yang membabitkan kumpulan kecil.

“Bermula dengan Laman katjang - kambing, Laman dorper- biri-biri, Laman jamnapari - kambing, Laman damara- biri-biri hingga Laman boer - kambing, semuanya direka mengikut keperluan dan kesesuaian anda,” kata Hamidon yang mengakui kafe berkenaan menyajikan masakan istimewa berasaskan daging segar seperti kambing, lembu serta ayam kampung.

Tidak ketinggalan set sajian untuk daging panggang juga ditawarkan.

SETIAP rekaan kayu palet ini membuatkan anda lebih selesa dan santai dalam persekitaran semula jadi.
SETIAP rekaan kayu palet ini membuatkan anda lebih selesa dan santai dalam persekitaran semula jadi.

Malah setiap laman itu diserikan pelbagai tanaman hijau untuk mencetuskan suasana semula jadi.

Menariknya, anda turut berpeluang menjamu selera di kawasan taman dan ladang yang menempatkan ternakan termasuk kambing dan biri-biri.

TeknoKafe@goat2gofarm dibuka setiap hari kecuali Selasa dari 10 pagi hingga 7 malam, Jumaat dan Sabtu pula dibuka hingga 10 malam.

Anda juga boleh membuat tempahan. Layari Facebook Goot2Go Farm - MAEPS untuk keterangan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 7:12 AM