Afrina Az-Zahra (kanan) berkongsi bekal makanan dengan kawan baiknya, Syazafilza  di kantin SK Kampung Tun Razak, Bukit Katil.  FOTO Khairunisah Lokman
Afrina Az-Zahra (kanan) berkongsi bekal makanan dengan kawan baiknya, Syazafilza di kantin SK Kampung Tun Razak, Bukit Katil. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin


MEMBAWA bekal makanan disediakan ibu di rumah ke sekolah masih tidak ketinggalan zaman ketika ini, bahkan ada antara murid dan pelajar itu dalam kalangan anak golongan profesional dan berkemampuan.

Tinjauan Harian Metro di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tun Razak, Bukit Katil mendapati kebanyakan murid masih membimbit bekas makanan berisi hidangan yang disediakan keluarga mereka ke kantin sekolah.

Rata-rata murid membawa bekal makanan masing-masing meskipun juadah di kantin sekolah itu cukup menyelerakan dan murah.

Antara murid yang membawa bekal makanan itu adalah anak kepada doktor dan pensyarah, Afrina Az-Zahra Kamarul Arifin, 10.

Murid Tahun Empat itu ketika ditemui berkata, bekal makanan dari rumah dibawa setiap hari kerana ibunya yang juga seorang pensyarah akan memasak dengan jumlah banyak.

“Ibu juga bawa bekal ke tempat kerjanya, saya suka berkongsi makanan dengan rakan kerana jumlah bekalan saya bawa agak banyak.

“Begitupun, setiap hari saya bawa RM3 ke sekolah, tetapi saya tidak pernah membelanjakannya (wang) kerana air juga saya bawa dari rumah.

“Hujung tahun lalu, wang simpanan RM3 yang diberi saya masukkan ke tabung Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN),” katanya yang berkongsi makanan dengan rakan baiknya, Syazafilza Shaharudin, 10.

Sementara itu, murid Tahun Enam, Haikal Mukhlis Abdullah, 12, pula berkata, dia membawa bekal makanan dari rumah dan hanya membelanjakan wang poket RM3 untuk membeli juadah kegemarannya nasi impit bersambalkan rendang ayam berharga RM1.

“Apa nak malu bawa bekal, mak dah masak nasi, duit poket pula saya beli apa yang perlu,” katanya.

Tinjauan juga mendapati, pihak sekolah yang mempunyai lebih 1,000 murid itu turut menyediakan tikar di ruang khas untuk murid menjamu selera jika mengalami kekurangan kerusi dan meja di kantin.

Harga makanan pula murah dengan rata-ratanya berharga RM1 dan lebih menarik, hidangan ‘chicken chop’ hanya RM2.50, manakala nasi ayam RM3.

Murid menikmati bekal makanan masing-masing di kantin SK Kampung Tun Razak, Bukit Katil. FOTO Khairunisah Lokman
Murid menikmati bekal makanan masing-masing di kantin SK Kampung Tun Razak, Bukit Katil. FOTO Khairunisah Lokman

Haikal Mukhlis  (kiri) menikmati bekal yang dibawa dari rumah berserta nasi impit dan rendang yang dibeli di kantin. FOTO Khairunisah Lokman
Haikal Mukhlis (kiri) menikmati bekal yang dibawa dari rumah berserta nasi impit dan rendang yang dibeli di kantin. FOTO Khairunisah Lokman

Haikal Mukhlis menikmati bekal makanan yang dibawa dari rumah. FOTO Khairunisah Lokman
Haikal Mukhlis menikmati bekal makanan yang dibawa dari rumah. FOTO Khairunisah Lokman

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 5:20 PM