ANTARA tarikan yang terdapat di RWL. FOTO Nadim Bokhari
ANTARA tarikan yang terdapat di RWL. FOTO Nadim Bokhari
Siti Nadirah Hafidzin

TENANG dan mendamaikan. Tanyalah kepada sesiapa saja tentu semua bersetuju bercuti dan melancong antara terapi terbaik untuk melegakan tekanan dan kepenatan selepas penat dengan rutin harian padat.

Apabila menyentuh mengenai percutian, lokasi yang dilengkapi pelbagai kemudahan dan tarikan menarik menjadi antara perkara yang perlu difikirkan.

Tidak kira di dalam atau luar negara, apa yang penting lokasi yang dipilih bukan saja terbaik malah mampu mewujudkan emosi gembira ‘luar biasa’ sekali gus meningkatkan semangat tatkala memulakan kembali rutin harian bekerja selepas tamat tempoh bercuti.

Hakikatnya, soal lokasi itu adalah mengikut pilihan dan kemampuan individu itu sendiri, sekiranya mampu dan mahu bercuti dalam tempoh agak panjang bolehlah memilih destinasi percutian di luar negara namun usah menafikan Malaysia mempunyai pelbagai lokasi percutian menarik yang sangat berbaloi untuk dikunjungi.

PENULIS (lima dari kiri) bersama rakan media di atas ‘sunset cruise’ . FOTO Nadim Bokhari
PENULIS (lima dari kiri) bersama rakan media di atas ‘sunset cruise’ . FOTO Nadim Bokhari

Antara lokasi yang menjadi pilihan ramai adalah Pulau Langkawi. Umum mengetahui keindahan dan kemasyhuran pulau peranginan itu membuatkan ia sering menjadi destinasi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara sejak sekian lama.

Atas sebab itu, apabila diberitahu perlu mengikuti lawatan istimewa media ke Resorts World Langkawi (RWL) hati begitu teruja. Mana tidaknya walaupun sudah tiga kali menjejakkan kaki ke pulau penuh sejarah itu, ia tetap menjadi antara destinasi percutian paling digemari atas pelbagai faktor terutama keindahannya dan jolokannya sebagai ‘syurga beli-belah’.

Kesempatan menjejakkan kaki ke pulau indah itu buat kali keempat baru-baru ini meninggalkan memori indah yang sukar dilupakan.

Kali terakhir penulis ke Pulau Langkawi kira-kira lapan tahun lalu dan tentu saja banyak perubahan yang berlaku di sana.

Berkongsi pengalaman menarik, kumpulan media yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi selepas melalui perjalanan lebih satu jam dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang terus dibawa ke RWL yang sebelum ini dikenali sebagai Awana Porto Malai sebelum penjenamaan semula dilakukan dan kini dimiliki penuh Kumpulan Genting.

Disambut mesra oleh kakitangan dan pihak pengurusan RWL, kumpulan media diberikan penerangan ringkas sambil dihidangkan air kelapa muda yang sememangnya menghilangkan dahaga tatkala cuaca panas terik.

ANTARA bilik yang terdapat di RWL. FOTO Nadim Bokhari
ANTARA bilik yang terdapat di RWL. FOTO Nadim Bokhari

Mata penulis terpesona menyaksikan keindahan resort itu yang kelihatan sungguh mewah, unik dan selesa. Terletak di Tanjung Malai, RWL dilengkapi pelbagai kelengkapan sesuai buat semua bermula daripada bilik yang baharu dinaik taraf khusus untuk memberikan keselesaan maksimum kepada pelanggan.

Lebih menarik pengunjung boleh memilih untuk menginap di enam jenis bilik antaranya Standard, Premier, Standard Sea View, Premier Sea View, Suite juga Signature Suite mengikut keperluan serta kemampuan masing-masing dan harga bilik sangat berpatutan iaitu bermula kurang RM300 untuk satu malam.

Selesai sesi lawatan ke semua jenis bilik, kami dibawa ke Taman Sari Royal Heritage Spa untuk menikmati sesi urutan badan dan kaki dilakukan terapi berpengalaman.

SPA bertaraf lima bintang yang terdapat di RWL. FOTO Nadim Bokhari
SPA bertaraf lima bintang yang terdapat di RWL. FOTO Nadim Bokhari

Ternyata pengalaman diurut di spa bertaraf lima bintang ini sungguh mengasyikkan. Hilang seketika pelbagai masalah dan kepenatan dirasai dek urutan membelai tubuh.

Tidak lengkap percutian di RWL sekiranya tidak merasai hidangan enak dan lazat disediakan barisan cef hebat. Di RWL, pengunjung akan disajikan makanan lazat di The Seagull Coffeehouse yang menawarkan pelbagai masakan Asia dan antarabangsa yang dibuka bermula jam 7 pagi hingga 10.30 pagi setiap hari.

Sambil menjamu selera, pengunjung juga boleh menikmati pemandangan Laut Andaman yang cukup menenangkan sambil berjalan-jalan mengelilingi kawasan resort.

Untuk aktiviti petang pula, kumpulan media disajikan hidangan makan malam di Zest Boardwalk iaitu laluan pejalan kaki yang menghadap Tasik Dayang Bunting.

Ia adalah satu pengalaman tidak ternilai apabila sambil menjamu selera, anda dapat menikmati pemandangan matahari terbenam selain pihak RWL juga menyediakan roti sekiranya mahu merasai pengalaman memberi ikan makan pada jam 6.30 petang setiap hari.

KARAKTER Pikachu menemani penumpang kapal dalam pengembaraan ke Palawan.
KARAKTER Pikachu menemani penumpang kapal dalam pengembaraan ke Palawan.

Antara kemudahan lain ialah kolam renang Infiniti Pool yang baru dilancarkan tahun lalu. Uniknya kolam renang ini menggunakan air masin untuk memberikan pengalaman seperti mandi di dalam air laut sebenar kepada pengunjung.

Pada hari kedua, hati semakin teruja apabila berpeluang merasai pengalaman menaiki ‘Sunset Cruise’ yang dilengkapi pakej makan malam pada waktu petang hingga ke malam.

Sambil dihidangkan menu enak yang disediakan di atas kapal, mata penulis tidak henti menyaksikan keindahan alam dan lautan terbentang luas dari atas kapal. Ternyata ia satu detik yang mengujakan dan sukar didapati di tempat lain.

Anda juga boleh membawa pakaian bersesuaian sekiranya mahu merasai pengalaman jakuzi asli air laut yang disediakan di sini. Perjalanan lebih tiga jam mengelilingi lautan di sekitar RWL sambil menyaksikan matahari terbenam sangat mengasyikkan.

Pengunjung juga tidak perlu bimbang sekiranya mahu keluar membeli-belah di Pantai Cenang dan Pekan Kuah kerana ada kemudahan pengangkutan yang disediakan.

Penulis bersama rakan media lain tidak melepaskan peluang meninjau Pantai Cenang yang tidak jauh dari resort terbabit pada malam terakhir kami berada di sana sebelum pulang ke ibu kota keesokan harinya.

Ternyata RWL antara pilihan lokasi percutian terbaik khusus kepada individu yang merancang untuk menikmati percutian hebat di Pulau Langkawi kerana anda tidak perlu mengeluarkan kos perbelanjaan yang terlalu besar namun pengalaman dan keseronokan dirasai sangat berbaloi dan mengujakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Jun 2019 @ 10:24 AM