PEMANDANGAN indah Pulau Langkawi dari Sky Bridge dan kereta kabel antara tarikan utama kepada pelancong. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
PEMANDANGAN indah Pulau Langkawi dari Sky Bridge dan kereta kabel antara tarikan utama kepada pelancong. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 5,000 pelancong antarabangsa dijangka mengunjungi pulau ini di bawah program Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi, bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, program itu dijangka mampu menjana pendapatan kira-kira RM24.4 juta setakat hujung tahun ini.

Beliau berkata, pelancong antarabangsa yang merancang masuk ke Langkawi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk melakukan ujian saringan RT-PCR di pintu masuk negara.

"Pelancong menggunakan penerbangan terus ke Langkawi perlu menjalani ujian RT-PCR sebaik tiba di pulau ini, manakala mereka yang transit melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) perlu melakukannya sebelum menaiki pesawat domestik di KLIA.

"Bagaimanapun, jika penerbangan terus tiba pada waktu malam, mereka boleh terus mendaftar masuk di hotel dan ujian pengesanan boleh dilakukan keesokan hari di tempat penginapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Lada di sini, hari ini.

Gelembung Pelancongan Antarabangsa Projek Rintis Pulau Langkawi dilaksanakan selepas kejayaan program sama membabitkan pelancong tempatan bermula 16 September lalu.

Nasaruddin berkata, pelancong antarabangsa perlu menggunakan khidmat pemandu pelancong yang bertanggungjawab membantu mereka mematuhi SOP ditetapkan sepanjang berada di negara ini.

"Sebanyak 118 bilik di 20 hotel dikenal pasti untuk dijadikan pusat kuarantin kepada pelancong asing yang dikesan positif Covid-19 tahap satu dan dua.

"Selain itu, tempoh minimum mereka perlu menginap di Langkawi adalah tiga hari dan jika pelancong asing terbabit berhasrat mengunjungi destinasi lain dalam negara, perlu menginap tujuh hari," katanya.

Pada 22 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Langkawi mula dibuka kepada pelancong antarabangsa bermula 15 November dengan pematuhan beberapa SOP.

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu adalah pelancong berkualiti dan individu yang lengkap vaksinasi Covid-19.


Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 10:44 AM