Kylie Jenner
Kylie Jenner
Syah Rul Aswari Abdullah

Pada awal 2021, CNBC melaporkan pempengaruh (influencer) di Instagram yang mempunyai lebih sejuta pengikut boleh meraih kira-kira AS$250,000 (kira-kira RM1 juta) untuk setiap hantaran yang mempromosikan jenama di akaun media sosial itu.

Tidak juga mengejutkan bahawa semakin banyak pengikut bermakna caj setiap hantaran boleh menjadi lebih mahal. Sebagai contoh, bintang realiti, Kylie Jenner yang kini mempunyai 374 juta pengikut dilaporkan mengenakan caj kira-kira AS$1 juta (RM4.39 juta) untuk setiap hantaran ditaja jenama yang dimuat naik di akaunnya.

Bagi kebanyakan orang, angka ini seperti tidak masuk akal. Ia jauh lebih tinggi daripada gaji tahunan Presiden Amerika Syarikat. Namun, itulah harga yang perlu dibayar jika mana-mana jenama mahu bekerjasama dengan individu popular seperti Kylie.

Jadi, tidak hairanlah semakin ramai orang kini menyimpan idea untuk menjadi pempengaruh. Logik akal mereka, populariti di media sosial adalah jalan mudah untuk menjadi kaya. Apabila popular, seseorang akan memiliki ramai pengikut, jadi nama mereka akan menjadi pilihan kepada pilihan jenama. Ini sekali gus boleh memberikan pendapatan lumayan.

Untuk meraih perhatian, golongan ini berlumba-lumba untuk menayangkan gaya hidup yang mewah di media sosial. Senang cerita, semuanya yang indah dan mahal-mahal belaka. Ini dipaparkan menerusi foto dan video di media sosial. Pada masa sama, pemilik akaun ini juga gemar menguar-uarkan jumlah pengikut bagi menarik perhatian jenama.

Namun, ini tidak bermakna apa yang dipaparkan di media sosial itu adalah kehidupan sebenar mereka.

Hakikatnya, sesiapa pun boleh jadi popular di media sosial, jika tahu caranya. Ini dibuktikan menerusi satu program ditayangkan di HBO pada tahun lalu iaitu Fake Famous. Program ini menampilkan eksperimen sosial apabila mengubah individu biasa kepada pempengaruh.

Bagi menaikkan jumlah pengikut untuk individu ini, penerbit rancangan itu menggunakan kad kredit untuk membeli ribuan pengikut palsu (fake follower) atau bots di media sosial. Tidak perlu melayari dark web, banyak laman di Internet yang menawarkan bots ini. Sebagai contoh, penerbit berkenaan membayar AS$119.60 (kira-kira RM525) untuk membeli 7,500 'pengikut' dan 2,500 like (tanda suka) untuk salah satu bahan eksperimennya, 'pempengaruh' yang dikenali sebagai Dominique Druckman.

Jumlah pengikut ini akan berkurangan sedikit demi sedikit apabila Instagram melakukan 'pembersihan' akaun palsu. Namun, penerbitnya aktif tetap membeli bots ini untuk menaikkan jumlah pengikut dan like (tanda suka) terhadap dua lagi bahan eksperimen iaitu seorang pelajar dan seorang pereka - sehingga jumlah pengikut seorang daripadanya mencecah 250,0000.

Program sama terus merungkai 'dunia tipu-tipu ini' apabila memaparkan gaya hidup palsu pempengaruh. Sebagai contoh, penerbit memuat naik gambar salah seorang pempengaruhnya yang kononnya bersantai di hotel mewah dan pusat peranginan di Santa Monica, California. Hakikatnya, sesi fotografi itu hanya diadakan di laman belakang rumah penerbit berkenaan.

Bagi menguatkan lagi naratif gaya hidup mewah ini, penerbit program itu turut menyewa rumah agam dan studio yang menunjukkan seolah-olah pempengaruh ini berada di dalam jet peribadi. Usaha ini memakan kos yang besar, namun ternyata memberi pulangan apabila hantaran mengenainya menarik perhatian pengguna Instagram.

Ini seakan-akan mengimbas isu yang tular apabila seorang TikToker di Malaysia yang baru-baru ini didakwa menggunakan kereta mewah yang disewa sebagai 'props' dalam setiap videonya. Netizen di Malaysia juga pastinya sudah lali dengan gimik murahan pelbagai pihak - sama ada individu yang belum, mahu atau sudah popular - demi menarik jumlah pengikut di media sosial. Ada juga gimik ini yang sudah berakhir dengan individu berkenaan berdepan pendakwaan di mahkamah.

Daripada satu segi, gimik untuk perhatian ini adalah amalan biasa. Ini memandangkan bagi golongan pempengaruh, media sosial adalah satu cabang 'perniagaan' atau 'lubuk' pendapatan mereka. Jadi, mereka perlu sentiasa memaparkan sisi kehidupan yang indah untuk pengikut. Ini bagi memastikan mereka kekal memiliki jumlah pengikut tertentu untuk melakukan reviu berbayar atau menarik kerjasama jenama.

Realitinya - seperti yang dipaparkan dalam program HBO berkenaan - tidak semua yang dipaparkan oleh pempengaruh di media sosial itu adalah benar. Jika benar pun, pempengaruh ini - sama ada selebriti, atlet atau orang biasa sebenarnya individu atau syarikat yang dibayar untuk mempromosikan mana-mana jenama. Jadi, mereka perlu memenuhi tuntutan kontrak termasuk perlu meletakkan tanda pagar (hashtag) yang merujuk kepada jenama tertentu bagi setiap hantaran berbayar di media sosial seperti Instagram.

Atas alasan sama, anda tidak akan melihat selebriti seperti Kim Kardashian senang-senang memuat naik hantaran dengan tanda pagar yang merujuk kepada mana-mana jenama. Kim juga mempunyai pasukan khas yang menyelia setiap hantaran dimuat naik di media sosialnya.

Namun, kehidupan 'tipu-tipu' ini boleh menjadi masalah kepada golongan kanak-kanak dan remaja yang sedang 'mengenal dunia'. Mereka mungkin sukar untuk membezakan gaya hidup dipaparkan pempengaruh di media sosial dengan menganggap ia adalah cermin kehidupan sebenar individu berkenaan.

Lebih malang, golongan ini pula gemar meniru pempengaruh dengan mudah meletakkan tanda pagar jenama di hantaran di media sosial. Pada mereka, ia mungkin menyebabkan mereka kelihatan lebih 'cool' atau bergaya. Walhal - secara tidak sedar - mereka sudah terpengaruh dalam memberikan promosi percuma kepada mana-mana pempengaruh dan jenama. Ingat, anda 'terpengaruh' - tetapi mereka yang terus kaya-raya.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2022 @ 5:59 AM