Uyaina Arshad
Uyaina Arshad
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara popular, Uyaina Arshad, 31, enggan mendedahkan identiti seorang pempengaruh media sosial yang didakwa berlagak sombong seperti selebriti terkenal ketika menghadiri satu acara baru-baru ini.

Menurut Uyaina atau nama sebenarnya Saidatul Naseha Uyaina Arshad, 31, dia berharap tindakannya menyelar pempengaruh terbabit menerusi hantaran di aplikasi X miliknya sebagai satu pesanan buatnya.

"Saya tidak akan sebut nama pempengaruh media sosial yang dimaksudkan itu.

"Bagi saya perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Kalau kita pergi majlis, senyum dan bertegur sapalah dengan semua orang.

"Alhamdulillah, kalau siapa yang terasa dan boleh perbaiki diri selepas ini. Pesanan untuk diri sendiri juga," katanya ketika ditemui Harian Metro pada majlis pelancaran butik baharu jenama tempatan, Mimpi Kita di The Exchange TRX, di sini, kelmarin.

Sebagai pempengaruh, Uyaina berkata, mereka juga perlu bijak membawa diri ketika menghadiri mana-mana majlis.

"Tak kisahlah jika pempengaruh itu memiliki pengikut berjuta sekali pun tetapi perlu bersikap 'humble' (merendah diri) bila pergi majlis orang.

"Saya juga bertemu dengan ramai artis popular dalam majlis dan mereka juga tidak sombong dan mesra dengan semua orang," katanya.

Terdahulu, Uyaina menyelar seorang pempengaruh media sosial yang dikatakan berlagak seperti selebriti menerusi hantaran yang dibuat di aplikasi X miliknya, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2023 @ 11:43 AM