BULAN Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk meningkatkan ibadah. FOTO NSTP
BULAN Ramadan adalah bulan yang terbaik untuk meningkatkan ibadah. FOTO NSTP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Manusia secara fitrahnya dilahirkan sebagai seorang yang suci daripada segala dosa. Namun, dengan bertambahnya usia daripada kecil sehinggalah dewasa, manusia melalui pelbagai ujian yang boleh mencemar fitrah asalnya, khususnya apabila seseorang itu mencapai peringkat mukallaf (menanggung kewajipan) iaitu wajib menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.

Itulah juga antara makna takwa kepada Allah SWT. Asal kejadian manusia secara fitrah ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: "Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkanya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.". [Riwayat Bukhari]

Apabila manusia melalui kehidupan, maka setiap hari akan menitiskan titik hitam dalam hatinya hingga mencemarkan kesucian hati yang asalnya tidak terdorong berbuat dosa.

Titik-titik hitam di dalam hati akan menjadikan hati itu gelap daripada melihat kebenaran dan tidak lagi sensitif dengan kejahatan dan keburukan. Lantaran, berlakulah dosa yang dilakukan oleh manusia yang akhirnya akan menyebabkan seseorang itu terjerumus kepada banyak perkara yang tidak baik. Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya menciptakan manusia dalam keadaan yang terbaik, sudah menyediakan satu peluang yang besar untuk manusia kembali kepada fitrahnya.

Antara program besar Allah SWT kepada manusia ialah dengan mewajibkan berpuasa pada bulan Ramadan. Pada bulan yang diberkati ini, bukan sahaja manusia menumpukan kepada ibadat puasa semata-mata, tetapi, sebenarnya setiap Muslim akan menggandakan segala jenis amal ibadat kepada Allah SWT. Sama ada mempertingkatkan kualiti ibadat- khusus seperti puasa itu sendiri khususnya solat sebagai ibadat utama dan tiang agama.

Begitu juga ibadat lain seperti bersedekah dan membuat kebaikan kepada orang lain. Fenomena berpesta ibadat di dalam bulan Ramadan ini adalah agenda besar yang terangkum di dalam program khas Ramadan.

Dengan melaksanakan segala ibadat tadi dengan itqan (berkualiti) dan ikhlas serta penuh iman dan yakin kepada Allah SWT pastinya akan menghasilkan satu impak yang besar kepada seseorang itu.

Oleh itu, Allah SWT menjanjikan pengampunan daripada dosa apabila dilakukan dengan sempurna. Hikmah takwa telah dinyatakan oleh Allah SWT di dalam ayat yang memerintahkan supaya berpuasa.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." [Surah al-Baqarah, ayat 183].

Berdasarkan ayat ini, jelas kita ditegaskan bahawa matlamat utama daripada puasa itu adalah mencapai nilai takwa kepada Allah SWT. Mencapai tahap tertinggi dalam ibadat puasa adalah sesuatu yang mesti diletakkan sebagai sasaran utama setiap orang yang berpuasa.

Mengikut Imam Ghazali Rahimahullah, puasa dibahagikan mengikut tiga tahap yang utama. Tahap yang asas ialah berpuasa dengan hanya tidak makan, tidak minum serta meninggalkan hubungan jenis suami isteri pada siang hari pada bulan Ramadan.

Tahap yang kedua ialah apabila seseorang itu mampu melakukan perkara yang asas tadi di samping menjaga seluruh anggota daripada melakukan perkara yang berdosa semasa berpuasa.

Manakala, tahap tertinggi ialah apabila seseorang itu berjaya menjaga hati dan mengawal hawa nafsu daripada memikirkan atau mendorong untuk melakukan perkara yang boleh membawa kepada dosa. Bermakna, puasa bukan semata-mata puasa fizikal (jasmani), tetapi juga puasa spiritual (rohani). Bahkan, inilah matlamat sebenarnya yang dikehendaki daripada tarbiyah (pendidikan) yang didapati daripada ibadat puasa. Jangka masa sebulan penuh yang diwajibkan Allah SWT ini pasti cukup untuk mengembalikan seseorang yang banyak berdosa kepada Allah SWT, kepada fitrah yang suci murni.

Digambarkan oleh Rasulullah SAW setelah menjalani ibadat puasa pada bulan Ramadan ini dan diampunkan dosa oleh Allah SWT sebagaimana hari seseorang itu baru dilahirkan ibunya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa Ramadan dan mendirikan solat malamnya dengan penuh iman dan harapan ganjaran pahala kepada Allah SWT, maka akan keluar daripada Ramadan sebagaimana hari dia dilahirkan oleh ibunya." [Riwayat Ahmad, Nasaei dan Ibn Majah]

Oleh itu, kita hendaklah merebut peluang semasa dalam bulan Ramadan yang mulia ini dengan melakukan ibadat puasa serta memperbanyakkan taubat kepada Allah SWT daripada segala dosa. Tidak dinafikan, setiap orang melakukan dosa sama ada dosa kecil atau dosa besar kecuali yang maksum (terpelihara) iaitu Rasulullah SAW. Oleh itu, tuntutan untuk bertaubat sangat relevan dan menepati masa khususnya dalam bulan Ramadan yang mulia ini. Allah SWT pula menganjurkan supaya seseorang itu sentiasa bertaubat daripada dosa. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan "Taubat Nasuha", mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai." [Surah al-Tahrim, ayat 8]

Dosa-dosa yang kecil boleh terhapus dengan melakukan kebaikan-kebaikan. Maka, segala hasanah ataupun kebaikan yang dijalankan dalam bulan Ramadan ini pastinya akan menghapuskan dosa kecil. Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.

Perintah-perintah Allah yang demikian menjadi peringatan bagi orang-orang yang mahu beringat". [Surah Hud, ayat 114] Adapun dosa-dosa yang besar, maka perlukan kepada taubat nasuha sebagaimana dinyatakan dalam ayat terdahulu.

Taubat nasuha mesti dilakukan dengan perasaan menyesal, meninggalkan dosa itu dan berazam tidak melakukannya lagi. Jika memenuhi syarat itu, maka pastinya diterima Allah SWT.

Apabila kita juga sudah bersih daripada dosa-dosa besar, di samping sudah tiada dosa-dosa kecil, maka sebenarnya kita sudah kembali kepada fitrah.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 April 2022 @ 7:00 AM