JIKA ada kekuatan rohani, maka akan memberi impak besar kepada kekuatan jasmani. FOTO AFP
JIKA ada kekuatan rohani, maka akan memberi impak besar kepada kekuatan jasmani. FOTO AFP
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Ramadan yang tiba setiap tahun menjanjikan peluang yang besar kepada umat Islam untuk meraih sebanyak-banyaknya kelebihan yang disediakan Allah SWT. Ramadan bukan sahaja bulan untuk berpuasa dan menggandakan amal ibadat semata-mata. Dalam sejarah Islam, bulan Ramadan juga adalah bulan perjuangan.

Pada bulan Ramadan yang mulia ini, sejarah telah mencatatkan tentera Islam memenangi peperangan Badar al-Kubra dengan penuh gemilang. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu)." (Surah Ali-Imran, ayat 123)

Hikmah daripada Ramadan yang mulia ini juga boleh dilihat daripada aspek kekuatan dan perjuangan. Ramadan yang biasanya dianggap bulan untuk berehat lantaran keletihan berpuasa dan menumpukan kepada amal ibadat semata-mata sebenarnya mampu menghasilkan kekuatan kepada umat Islam sama ada kekuatan jasmani atau rohani.

Kekuatan jasmani adalah dengan kelebihan kesihatan hasil daripada ibadat puasa. Begitu juga kekuatan rohani yang terhasil natijah daripada peningkatan ibadat dalam bulan Ramadan. Namun, kekuatan ini kurang disedari umat Islam kerana lebih menumpukan kepada hanya mengejar fadilat dalam bulan yang mulia ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Telah datang kepadamu bulan Ramadan, bulan keberkahan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapus dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik daripada dirimu, kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapatkan rahmat Allah di bulan ini." (Riwayat al-Tabarani)

Kekuatan daripada perspektif Islam bukanlah semata-mata diukur dengan kekuatan jasmani. Malah, kekuatan akhlak terpuji lebih utama sebagaimana sifat sabar, berani dan dapat mengekang marah sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: "Bukanlah orang yang kuat itu yang pandai bergusti, tapi orang yang kuat adalah orang yang dapat menahan nafsunya ketika ia marah." (Riwayat Bukhari)

Daripada mafhum hadis di atas, dapat kita ambil pengajaran bahawa Islam bukan sahaja melihat kepada kekuatan jasmani semata-mata. Bahkan kekuatan rohani itulah kekuatan sebenar berbanding kekuatan jasmani. Oleh itu, seseorang yang mempunyai kekuatan jasmani tidak semestinya kuat dari segi rohani. Sebaliknya, jika ada kekuatan rohani, maka akan memberi impak besar kepada kekuatan jasmani. Inilah yang sebenarnya kekuatan tentera Islam apabila mereka berjihad mempertahankan agama Islam.

Selain rekod kemenangan umat Islam semasa peperangan Badar al-Kubra pada bulan Ramadan, kekuatan tentera Sultan Muhammad al-Fateh juga mencerminkan kepentingan kekuatan rohani untuk mencapai kemenangan. Tentera Islam yang dipilih oleh Sultan Muhammad al-Fateh untuk berjuang adalah daripada kalangan mereka yang kuat dan konsisten beribadat kepada Allah SWT. Rasulullah SAW memberi isyarat kepada perkara ini dengan sabdanya: "Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera." (Riwayat Ahmad)

Berdasarkan pernyataan ini, jelas membuktikan bahawa kekuatan sebenar yang diperlukan umat Islam ialah kekuatan rohani lebih daripada hanya kekuatan jasmani. Tanpa mengabaikan kepentingan kekuatan jasmani dalam aspek tertentu.

Dalam Ramadan yang mulia ini, tawaran besar disediakan Allah SWT kepada umat Islam untuk membina kekuatan rohani. Antaranya ialah gandaan pahala besar kepada amal ibadat yang dilaksanakan dalam bulan yang mulia ini. Rasulullah SAW bersabda: "Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuk-Nya dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipatnya bahkan sampai tujuh ratus kali lipat. Allah berfirman: "Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. la telah meninggalkan syahwat, makan dan minumnya kerana-Ku." Orang yang berpuasa mendapat dua kesenangan iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi." (Riwayat Bukhari & Muslim)

Berdasarkan hadis ini, jelas Rasulullah SAW menggariskan amalan yang sepatutnya diberi keutamaan. Untuk membina kekuatan rohani semestinya memerlukan kepada kesabaran.

Berpuasa secara langsung sebenarnya adalah latihan yang paling agresif untuk membentuk kesabaran. Ibadat puasa sebenarnya manifestasi kepada sifat sabar. Ketika berpuasa, kita diuji dan sentiasa berhadapan dengan situasi yang memerlukan kesabaran tinggi. Berasa lapar dahaga kerana tidak makan dan minum sepanjang hari, menjaga kata-kata dan hanya melakukan perbuatan baik sepanjang hari, tidak melakukan perkara dilarang, menjaga seluruh pancaindera daripada melakukan perkara berdosa dan banyak lagi situasi yang sangat menuntut kesabaran. Maka, layaklah orang yang berpuasa mendapat ganjaran tidak terkira daripada Allah SWT.

Pada masa kini, umat Islam sangat memerlukan kekuatan ini untuk terus memartabatkan Islam. Dalam zaman serba mencabar bukan sahaja kekuatan jasmani diperlukan, tetapi lebih daripada itu ialah kekuatan rohani. Pembinaan kekuatan rohani yang sepatutnya diperolehi hasil daripada ibadat puasa pada Ramadan ini sepatutnya direbut oleh setiap Muslim agar dapat meningkatkan kualiti diri. Kekuatan yang sebenar ini akan menjadi nilai paling besar bagi setiap Muslim. Dengan kekuatan rohani, akan memberikan keyakinan kepada setiap Muslim untuk mengharungi cabaran dalam hidup.

Sekiranya setiap Muslim menggunakan peluang keemasan ini untuk betul-betul mencapai hikmah ibadat puasa, pastinya akan melahirkan generasi kuat peribadi dan hebat jasmani.

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 7:00 AM