GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Mohamad Shakil Hameed

Serangan pandemik Covid-19 sejak akhir 2019 memberikan terlalu banyak kesan langsung terhadap kehidupan seharian anggota masyarakat kita. Ramai yang secara tiba-tiba hilang pekerjaan dan menjadi penganggur sekali gus putus pendapatan secara total dan ramai juga yang cukup terdesak dan terhimpit untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk sukar memperoleh sesuap nasi untuk seisi keluarga.

Namun, kita tetap berasa syukur kerana kesan yang dicetuskan oleh wabak ini berjaya membangkitkan satu gelombang keprihatinan dalam kalangan rakyat yang mula tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan kepada individu dan keluarga yang terkesan teruk akibat wabak ini.

Kewujudan gelombang kesukarelawanan seperti ini di samping pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan dilihat banyak membantu golongan rentan yang terkesan. Hal ini kerana mereka sebenarnya menjadi pelengkap kepada bantuan yang disediakan oleh kerajaan agar tidak ada keluarga yang tertinggal daripada memperoleh bantuan yang diperlukan serta dapat menyediakan keperluan barangan lain yang tidak disediakan oleh pihak berkuasa.

Ironinya, kita dapat melihat gelombang keprihatinan ini muncul dalam pelbagai bentuk sama ada pergerakan secara individu, kelompok kecil mahupun atas nama badan bukan kerajaan (NGO). Walau apapun cara dan kaedah modus operandi mereka, matlamat akhirnya tetap sama dan hanyalah satu iaitu secara jujur dan ikhlas mahu membantu golongan yang terkesan serta sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Mereka ini tumbuh bak cendawan selepas hujan sejurus negara dikejutkan dengan serangan pandemik. Bilangan kelompok yang prihatin ini dilihat terus meningkat dari semasa ke semasa di mana sikap dan budaya ingin membantu yang ditonjolkan oleh mereka ini wajar dipuji dan dibanggakan. Lebih menarik lagi apabila ramai anak muda kelihatan bergerak aktif dalam gelombang ini. Semangat keprihatinan dan tanggungjawab yang dizahirkan ini sewajarnya menjadi sumber inspirasi kepada belia lain untuk turut sama membantu anggota masyarakat yang sedang susah.

Satu lagi aspek yang menarik ialah idea dan kreativiti mereka dalam menyediakan bantuan yang diperlukan. Misalnya, baru-baru ini dilancarkan kempen atau program kibar bendera mahupun kain putih jika sesebuah keluarga itu terputus bekalan makanan atau memerlukan apa-apa bantuan yang terdesak. Walaupun pada awalnya mencetuskan sedikit polemik, namun kempen ini dilihat mula menguasai alam siber apabila warga maya menyertai kempen ini secara besar-besaran dengan menularkan maklumat tentang program ini dalam media sosial masing-masing. Dalam sekelip mata kempen ini menjadi sohor dan popular dalam media sosial.

Penggunaan media sosial sebagai platform utama untuk mencari maklumat tentang keluarga yang memerlukan bantuan, mempelawa individu yang mahu menghulurkan bantuan serta menghebahkan penyediaan bantuan kepada umum pula dilihat satu lagi strategi terbaik yang cukup berkesan. Akibatnya penganjur program bantuan dapat mengesan keluarga yang memerlukan bantuan dengan segera sekali gus menyediakan bantuan yang diperlukan tanpa sebarang karenah birokrasi.

Secara prinsipnya, kita dapat melihat kelompok yang bertindak sebagai sukarelawan ini bijak menggunakan strategi, iaitu bagaimana hendak mencari keluarga yang susah, bagaimana boleh mengutip sumbangan daripada orang ramai serta bagaimana hendak mengagihkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan. Paling penting semua urusan ini dapat dibuat dengan segera sehingga selesai mengagihkan bantuan kepada yang memerlukan.

Sesungguhnya apa yang dizahirkan oleh individu, kumpulan dan NGO seperti ini melambangkan semangat kekitaan yang luar biasa yang merentasi agama, bangsa dan ideologi politik. Jujurnya mereka ini bergerak aktif dengan mengorbankan masa, tenaga dan juga wang ringgit tanpa mengharapkan sebarang pujian mahupun ganjaran sebagai balasan. Tambah menarik lagi, mereka ini datang daripada pelbagai latar belakang dan sanggup berganding bahu atas tujuan dan matlamat yang sama demi membantu golongan yang terkesan dan susah.

Mutakhir ini kita dapat membaca begitu ramai anggota masyarakat berada dalam kemurungan akibat desakan hidup selepas dibuang kerja mahupun hilang pendapatan. Ramai yang hilang arah dan punca bagaimana mahu meneruskan kehidupan sehingga ada yang sanggup membunuh diri. Tuntasnya, individu yang memerlukan sesuap nasi dan bilangan perut yang lapar semakin bertambah. Ini realiti kehidupan pada hari ini yang sedang dilalui oleh sebahagian anggota masyarakat kita.

Jadi, kita berharap anggota masyarakat akan memberikan sokongan penuh kepada gelombang bantuan prihatin seperti ini yang digerakkan oleh pelbagai pihak. Kita boleh membantu mengikut kemampuan masing-masing. Misalnya, jika berkelapangan kita boleh menyertai mana-mana kumpulan yang ada untuk bergerak bersama-sama bagi mengedarkan bantuan. Manakala, yang berkemampuan dari segi kewangan pula boleh menghulurkan wang ringgit ataupun membelikan barangan keperluan yang ingin disumbangkan. Pilihan adalah di tangan kita sendiri iaitu sejauh mana kita bersedia merasai kesusahan orang lain serta sanggup menghulurkan bantuan.

Justeru, di samping bantuan kerajaan, marilah kita gerakkan bersama-sama gelombang bantuan prihatin rakyat di setiap kampung, taman dan kawasan perumahan demi memastikan tidak ada lagi individu di sekeliling kita yang terus kelaparan.


Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Julai 2021 @ 6:00 AM