DR Mohd Syuhaimi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Kampung Mambong. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
DR Mohd Syuhaimi (dua kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk di Kampung Mambong. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: Pengagihan bantuan barang keperluan asas kepada penduduk di kawasan pedalaman di daerah Kuala Krai berhadapan kesukaran apabila sukarelawan terpaksa mengharungi arus Sungai Kelantan yang deras selama 45 minit dengan menaiki bot.

Program Misi Bantuan Kasih yang dilaksanakan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Task Force Kuala Krai, Pengerak Komuniti Negara (PKN), serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah bertujuan untuk mengagihkan bantuan kepada 250 keluarga membabitkan 1,000 penduduk dari 10 kampung.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UKM, Prof Ir Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman, berkata, di peringkat universiti, banyak program yang dianjurkan bagi menyantuni masyarakat di segenap pelusuk negara.

"Sebelum ini kami membantu mereka yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pada kali ini kami berklobarasi dengan NGO dan agensi bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di negeri Pantai Timur dan juga Johor.

"Sebelum misi bantuan ini dilaksanakan, kami mengumpul dana selama dua minggu yang digerakkan oleh pusat pembangunan alumni bersama fakulti dan juga pusat pentadbiran yang lain bagi membantu mangsa banjir.

"Dalam misi bantuan yang diadakan di Kuala Krai pada hari ini, pasukan kami yang terdiri daripada pensyarah dan juga kakitangan sokongan merasai pengalaman menaiki bot ketika mengagihkan bantuan ini.

"Kami mengagihkan 500 pek beras termasuk barang keperluan asas dan juga bayi untuk diagihkan kepada masyarakat di sini bagi meringankan beban mereka yang terkesan akibat banjir,"katanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersiap siaga untuk menghulurkan bantuan kepada mana-mana negeri yang terkesan akibat banjir.

"Pada hujung bulan ini, kita akan ke negeri Pahang pula bagi menyantuni mangsa banjir dan menghulurkan barang keperluan asas kepada mereka," katanya ketika ditemui ketika Program Misi Bantuan Kasih UKM, di Kuala Krai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil, Hilmi Abdullah.

Sementara itu, Hilmi berkata, menyedari kesukaran dihadapi penduduk di kawasan yang terjejas banjir baru-baru ini, pihaknya menjalinkan kerjasama dengan institut pengajian tinggi awam (UA) dan agensi untuk melakukan penghantaran pek makanan menggunakan sembilan buah bot pada pagi ini.

"Seramai 1,000 penduduk yang terkesan banjir gelombang ketiga pada minggu lalu diberi perhatian kerana ada di antara mereka yang sudah terputus bekalan sejak beberapa hari lalu.

"Antara kampung yang terkesan termasuklah Kampung Bahagia, Mambong, Sungai Rimau, Johar, Keluat, Batuan, Pasir Jinggi, Raba, Berhala dan Pichong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 7:13 PM