GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Profesor Dr Mohar Kassim

Seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19 yang bermula pada awal 2020. Banyak kesan negatif kepada pertumbuhan sosioekonomi sesebuah negara.

Banyak perniagaan berdepan kerugian atau terpaksa ditutup termasuk sektor pelancongan, penerbangan, perhotelan, perkilangan dan tidak ketinggalan juga pengusaha restoran serta peniaga kecil yang mengakibatkan ramai orang hilang pekerjaan.

Namun, ketika kita membincangkan berkaitan masalah yang melanda sektor ekonomi dan pemasalahan sosial, tidak ketinggalan kesan pandemik ini juga memberi kesan kepada pembangunan dan prestasi atlet negara kita sama ada di peringkat sekolah mahupun di peringkat negara dan antarabangsa.

Apabila pandemik Covid-19 melanda dunia, banyak temasya sukan dan acara sukan terpaksa ditangguhkan. Keadaan itu sebenarnya memberi kesan negatif kepada pembangunan dan prestasi atlet.

Sebagai contoh, dalam konteks negara kita, atlet di peringkat sekolah tidak dapat bertanding di temasya sukan di peringkat sekolah, daerah dan negeri. Paling ketara sekali bakat atlet sekolah tidak dapat ditonjolkan kerana mereka tidak boleh lagi bertanding di kejohanan sukan yang besar seperti di Kejohanan Sukan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) atau Sukan Malaysia (Sukma).

Oleh itu, secara tidak langsung beberapa fasa latihan terjejas atau tidak boleh dilaksanakan. Permasalahan atlet sekolah akan berpanjangan apabila mereka gagal menyambung pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) kerana tidak dapat membuktikan kecemerlangan dalam bidang sukan dalam keadaan pencapaian akademik di peringkat SPM tidak mencapai syarat minimum.

Oleh itu, apabila fenomena ini berlaku maka atlet sekolah yang berbakat dalam sukan akan tercicir. Keadaan ini sudah tentu memberi kesan kepada pengambilan atlet lepasan sekolah untuk dipilih memasuki IPT. Ini kerana apabila atlet lepasan sekolah tidak dapat bertanding dalam mana-mana kejohanan maka IPT menghadapi masalah untuk memilih calon atlet yang bukan sahaja berdasarkan kepada syarat minimum kelayakan akademik, tetapi pembabitan dan tahap pencapaian mereka dalam sukan.

Kesannya berkemungkinan calon yang dipilih untuk memasuki IPT hanya berdasarkan kepada kelayakan akademik dan bukan daripada mereka yang benar-benar cemerlang dalam sukan. Keadaan ini akan memberi kesan kepada kualiti pencapaian atlet IPT dalam kejohanan sukan di peringkat IPT seperti di kejohanan sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) dan kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT).

Jika ia berlaku, peluang IPT untuk melahirkan atlet di peringkat negara akan terjejas disebabkan kualiti mereka tidak mencapai tahap dikehendaki.

Kita tidak boleh mengambil mudah keadaan ini kerana selama ini atlet IPT menyumbang 42.1 peratus pungutan pingat emas pada sukan SEA 2017. Peratusan pelajar IPT yang berjaya mewakili negara dalam Temasya Sukan SEA pada tahun 2019 meningkat 63 peratus iaitu seramai 233 atlet IPT daripada 773 atlet.

Pencapaian atlet dalam temasya itu juga meningkat dengan menyumbang 29 pingat emas, 29 pingat perak dan 27 pingat gangsa daripada keseluruhan pungutan pingat negara 55-58-71 butir pingat yang dimiliki oleh negara.

Sementara itu, pada tahun sama 107 pelajar IPT yang terpilih mewakili Malaysia dalam Temasya Sukan Asia di Jakarta-Palembang, di mana ia membabitkan penuntut tujuh institusi pendidikan tinggi awam, 12 institusi pengajian tinggi swasta dan masing-masing daripada kolej komuniti dan politeknik.

Ini membuktikan penuntut IPT bukan sekadar cemerlang dalam pengajian sebaliknya mampu melonjakkan potensi diri melalui pencapaian sukan. Bertitik tolak daripada sinilah beberapa skim insentif untuk atlet negara diperkenalkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) untuk memberi motivasi kepada atlet negara supaya berlatih bersungguh- sungguh ke arah meningkatkan prestasi sukan negara. Bukan itu sahaja, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga melaksanakan skim insentif dan biasiswa sukan penuntut IPT agar kebajikan pelajar atlet sentiasa terpelihara.

Paling istimewa ialah apabila buat kali pertama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada 24 September 2020 memberi penghormatan kepada lima atlet IPT yang layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sekiranya melepasi rintangan pandemik Covid-19 yang menyebabkannya ditunda dan kemungkinan akan dilangsungkan pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 ini.

Persoalannya kini, adakah atlet IPT untuk jangka masa lima tahun akan datang menghadapi masalah untuk menonjolkan bakat sukan mereka dan seterusnya gagal mewakili negara kerana prestasi mereka tidak sebaik mana jika dibandingkan dengan atlet sedia ada disebabkan oleh keadaan pandemik yang memaksa mereka tidak dapat berlatih dan bertanding dalam kejohanan.

Perlu difikirkan juga, atlet sedia ada sebahagian daripada mereka akan melalui proses persaraan sebagai atlet, maka ia perlu dicari pengganti mulai sekarang. Oleh itu, kita perlu memikirkan di luar kotak minda kita, apabila alternatif atau penyesuaian latihan ketika musim pandemik.

Bukan itu sahaja, keadaan akan menjadi lebih teruk apabila ia menjejaskan kebolehpasaran graduan sukan. Kemungkinan sukan individu seperti acara olahraga, boling padang, tenpin boling, skuasy, badminton, golf, memanah dan menembak tidak menghadapi masalah untuk meneruskan latihan dan menyertai kejohanan.

Bagaimana pula dengan sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, renang, futsal dan bola tampar? Negara juga berkemungkinan besar akan menghadapi masalah melahirkan atlet bertaraf antarabangsa pada masa akan datang, jika kita tidak serius memikirkan untuk mengatasi masalah yang sedang melanda sukan negara.

Kini jelaslah betapa signifikan keadaan pandemik dengan pembangunan dan prestasi sukan atlet bermula peringkat akar umbi sehinggalah ke peringkat antarabangsa.

Memandangkan kita tidak tahu bila Covid-19 akan berakhir, maka perlu satu mekanisme supaya pemasalahan ketandusan atlet, khususnya di peringkat IPT dapat diatasi.

Penulis Pengarah Akademi Kecergasan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 7:00 AM