MUHAMMAD Malik Tobias. FOTO Nadim Bokhari
MUHAMMAD Malik Tobias. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi


Kota Samarahan: Prestasi atlet kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dinilai secara konsisten menerusi lebih banyak kejohanan untuk memastikan mereka mampu bersaing di peringkat lebih tinggi.

Ketua Penyelaras Teknikal Kejohanan Olahraga IPT 2022, Muhamad Malik Ahmad Tobias berkata, ini kerana sebelum ini tidak banyak kejohanan peringkat IPT diadakan untuk atlet kalangan pelajar itu.

Justeru katanya, penganjuran Sirkit Kejohanan Olahraga IPT yang kini sedang berlangsung di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) menjadi program terbaik untuk menilai pencapaian atlet secara berterusan.

"Sebelum ini kita hanya ada kejohanan olahraga Majlis Sukan Universiti Malaysia (Masum) bagi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) manakala bagi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pula mereka ada kejohanan sendiri.

"Sekarang kita ada kejohanan ini yang terbuka kepada semua IPT yang bernaung dibawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sekaligus membolehkan kita menilai pencapaian atlet IPT secara serentak," katanya ketika ditemui di Stadium Unimas, di sini, hari ini.

Menurutnya keberkesanan penilaian atlet secara berterusan itu dapat dilihat pada kejohanan Sukan Universiti Asean (AUG) 2022 yang menyaksikan atlet berjaya meraih 11 pingat emas, 24 pingat perak dan lima pingat gangsa berbanding AUG terdahulu apabila kita hanya mendpat enam pingat emas, tujuh perak dan lapan gangsa," katanya.

Muhamad Malik berkata, menerusi kejohanan itu juga prestasi atlet berprofil tinggi yang mewakili negara pada kejohanan antarabangsa seperti Sukan Sea dapat dikekalkan.

"Beberapa nama besar kalangan atlet IPT antaranya Arif Amir dan Pusat Letchumy dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Mohd Ridzuan Haizad dari Universiti Putra Malaysia (UPM) malah ramai pemenang pingat pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) baru-baru ini turut menyertai kejohanan ini," katanya.

Beliau berkata, Kejohanan Olahraga IPT 2022 diadakan dalam lima sirkit dengan pertama diadakan di Johor bagi zon selatan, di Perlis untuk zon utara dan kejohanan di Unimas hari ini dan esok adalah untuk zon Borneo.

"Selepas ini kita akan mengadakan sirkit keempat iaitu untuk zon Pantai Timur dan kemuncaknya sirkit grand final di Stadium Bukit Jalil.

"Kedua-dua sirkit itu dirancang pada November ini namun kita akan menunggu penetapan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menentukan tarikh kejohanan itu," katanya.

Sebanyak 16 IPT menyertai sirkit ketiga di Unimas itu bagi bersaing dalam lapan acara yang dipertandingkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2022 @ 4:22 PM