MOHAMMAD Yusof Apdal menghadiri majlis penyerahan insentif kecemerlangan sukan atlet IPT di Dewan Za'ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya hari ini.
MOHAMMAD Yusof Apdal menghadiri majlis penyerahan insentif kecemerlangan sukan atlet IPT di Dewan Za'ba, Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya hari ini.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kejayaan menamatkan penantian lebih tiga dekad untuk negara meraih pingat emas pertama Malaysia di Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Chengdu, China Julai lepas membawa tuah buat atlet Wushu, Tammy Tan Hui Ling apabila menerima isentif tertinggi daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebanyak RM15,000.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, kejayaan atlet di peringkat dunia membuktikan segala perancangan dan pembangunan sukan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) menunjukkan impak berkesan.

Tambahnya, Dasar Pembangunan Sukan Insitusi Pengajian Tinggi (DPSIPT) yang seiring dengan Dasar Sukan Negara (DSN) untuk menjadikan IPT sebagai pemangkin kepada kecemerlangan sukan negara serta mewujudkan budaya bersukan di IPT berjaya mencapai objektifnya menerusi pencapaian atlet universiti di peringkat antarabangsa.

"Universiade kali ini menjadi sejarah baru kepada penanda aras prestasi atlet IPT di pentas tertinggi dunia apabila kontinjen negara memenangi pingat emas pertama di temasya ini setelah menanti selama 38 tahun sejak temasya pertama Universiade di Kobe, Jepun pada 1985.

"Saya amat berbangga kerana kejayaan pingat emas pertama ini seumpamanya kita berjaya memenangi pingat emas pertama di Olimpik kerana Universiade merupakan sukan Olimpik kepada atlet yang berada di IPT," katanya ketika majlis penyerahan isentif kecemerlangan sukan atlet IPT, hari ini.

Terdahulu, KPT memperuntukkan insentif sebanyak RM35,500 untuk atlet IPT yang berjaya memenangi pingat pada temasya Universiade di China yang menyaksikan Malaysia berjaya membawa pulang satu pingat emas, satu perak (sukan terjun) dan lima gangsa (tiga dari sukan wushu dan dua daripada badminton).

Setiap atlet IPT yang berjaya akan menerima isentif sebanyak RM15,000 untuk pingat emas, pingat perak ( RM5,000) dan gangsa (RM1,500) tetapi untuk acara berpasukan badminton campuran menerima RM5,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 7:56 PM