Penunjuk perasaan membantah rampasan kuasa dilakukan tentera Myanmar. FOTO AFP
Penunjuk perasaan membantah rampasan kuasa dilakukan tentera Myanmar. FOTO AFP
AFP

Yangon: Ribuan rakyat menyertai tunjuk perasaan antirampasan kuasa oleh tentera Myanmar hari ini ketika pekerja melancarkan mogok di seluruh negara bagi menuntut pembebasan pemimpin yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dan demokarasi dikembalikan ke negara itu.

Lebih 1,000 orang berkumpul di sebuah taman di ibu kota bagi memulakan demonstrasi hari ketiga berturut-turut berikutan rampasan kuasa minggu lalu.

"Ini adalah hari kerja, tetapi kami tidak akan bekerja walaupun gaji kami akan dipotong," kata pekerja kilang pakaian, Hnin Thazin, 28, kepada AFP.

Di kota kedua terbesar di Myanmar, Mandalay, lebih 1,000 juga berkumpul, manakala di ibu negara Naypyidaw pula beratus-ratus orang keluar dengan menunggang motosikal dan membunyikan hon kereta dan demonstrasi besar turut dilaporkan di bandar lain.

Sepanjang hujung minggu, puluhan ribu orang berkumpul di jalanan di Myanmar dalam tunjuk perasaan terbesar sejak rampasan kuasa.

Jeneral Myanmar melancarkan rampasan kuasa dengan menahan Suu Kyi dan puluhan anggota Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dalam serbuan awal pagi Isnin minggu lalu.

Jeneral tentera menjustifikasikan rampasan kuasa itu dengan mendakwa berlakunya penipuan dalam pilihan raya November tahun lalu, yang menyaksikan NLD menang besar.

Berikutan rampasan kuasa itu, junta mengisytiharkan darurat selama setahun dan berjanji akan mengadakan pilihan raya baru, tanpa menetapkan jangka waktu.

Rampasan kuasa berkenaan mencetuskan kecaman antarabangsa, walaupun China enggan mengkritik jeneral tentera.

Presiden Amerika Syarikat Joe Biden menyeru supaya jeneral melepaskan kuasanya.

Ketika bantahan semakin meningkat, junta memerintahkan rangkaian telekomunikasi membekukan akses ke Facebook, iaitu perkhidmatan yang sangat popular di negara itu dan boleh dikatakan kaedah komunikasi utamanya.

Bagaimanapun semalam, siri siaran langsung di Facebook dari beberapa bandar terus menunjukkan penunjuk perasaan berarak di jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 2:04 PM