Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19,  Pfizer-BioNTech. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya selepas menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Noor Mohamad Shakil Hameed

Teruja, terharu dan lega. Itulah antara perasaan rakyat Malaysia ketika menyaksikan detik bersejarah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 di negara ini pada 24 Februari yang lalu.

Ia sekali gus menandakan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Kita rasa teruja kerana menjadi saksi kepada program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara ini.

Perasaan terharu muncul apabila melihat Perdana Menteri sendiri sanggup menjadi individu pertama yang menerima suntikan ini demi memberi keyakinan kepada seluruh rakyat supaya turut sama mengikuti jejak langkah beliau.

Jujurnya kita berasa lega apabila akhirnya negara dapat menerima vaksin yang ditunggu-tunggu untuk mencegah dan mengawal pandemik yang menghantui seluruh umat manusia.

Ironinya, selepas lebih setahun penularan wabak ini, akhirnya Malaysia kini boleh dikatakan berada dalam fasa terakhir melawan pandemik melalui vaksin yang dikenali sebagai Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech.

Program imunisasi kebangsaan bertemakan Lindungi Diri, Lindungi Semua ini dilaksanakan dalam tiga fasa dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitkan kira-kira 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya (OKU) membabitkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas baik warganegara mahupun bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Ringkasnya, kita menjangkakan program imunisasi yang sudah bermula ini boleh memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.

Sejak kes pertama Covid-19 dilaporkan di negara ini pada 25 Januari 2020, pandemik yang menggegar seluruh dunia sudah menjangkiti lebih 300,000 orang di negara kita selain mencatatkan angka kematian lebih 1,000 orang.

Jelas sekali wabak ini mengubah keseluruhan cara hidup kita dengan mencetuskan trauma dan fobia dalam kalangan rakyat yang 'dipaksa' terperuk di rumah untuk satu jangka masa yang cukup panjang di samping perlu mematuhi pelbagai kawalan dan sekatan berpaksikan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dilazimi sebagai budaya dan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Justeru, kehadiran vaksin ini sangat dinanti-nantikan dengan harapan kita boleh menamatkan ancaman pandemik sekali gus meneruskan kehidupan seperti biasa.

Untuk itu, rakyat perlu memikul tanggungjawab bersama supaya pada akhirnya program imunisasi ini mencapai kejayaan yang dihasratkan.

Paling penting, yakin dan percayalah dengan usaha kerajaan melalui program imunisasi ini agar kita dapat memutuskan rantaian penularan wabak.

Sebagai warganegara yang prihatin dan bertanggungjawab, segeralah mendaftarkan diri dan anggota keluarga yang layak menerusi aplikasi MySejahtera bagi membolehkan giliran penerimaan suntikan vaksin dapat ditentukan.

Pendaftaran juga boleh dibuat melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my dan talian hotline yang akan bermula pada 5 Mac depan, di samping pendaftaran secara manual di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.

Dalam hal ini juga, janganlah kita mudah terpengaruh dengan dakyah serta tohmahan pihak tidak bertanggungjawab mengenai vaksin dan kita berharap sangat agar golongan antivaksin tidak mengganggu lagi usaha kerajaan ini.

Cukup-cukuplah mengelirukan dan meracuni pemikiran rakyat dengan fakta dan dalil yang tidak tepat.

Kita perlu yakin vaksin ini telah diluluskan setelah melalui pelbagai proses saringan dan uji kaji, sekali gus mengurangkan kesan sampingan yang membimbangkan.

Misalnya, kajian sekumpulan penyelidik di England membuktikan, penerima vaksin Pfizer-BioNTech yang sudah menerima dua dos suntikan menunjukkan tindak balas antibodi yang kuat, sekali gus memberi keyakinan amat tinggi terhadap keberkesanan vaksin ini.

Malah, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam juga sudah mengambil ketetapan bahawa hukum penggunaan vaksin Covid-19 ini adalah harus dan wajib diambil bagi golongan yang ditetapkan kerajaan.

Ironinya, usaha memberikan vaksin adalah antara ikhtiar yang bertepatan dengan maqasid syariah. Malah, lebih daripada 98 negara di dunia sudah memulakan program vaksinasi seperti ini.

Lantaran itu, harus diingat, suntikan vaksin ini bukan saja untuk perlindungan diri sendiri, malah kita juga akan membantu melindungi ahli keluarga dan juga anggota masyarakat yang lain melalui cara memutuskan rantaian penularan wabak.

Pada masa sama, kita juga perlu meneruskan amalan norma baharu dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Harus diingat, gabungan suntikan vaksin dan pematuhan SOP akan menjadi senjata yang paling berkesan dalam memerangi dan menamatkan ancaman wabak ini.

Jadi bila sudah menerima suntikan, jangan pula kita alpa dan memandang ringan keperluan untuk mematuhi SOP yang berkuat kuasa.

Tuntasnya, kita sedang berada pada fasa yang cukup penting, iaitu fasa terakhir dalam melawan dan menamatkan ancaman pandemik Covid-19.

Justeru, sahutlah seruan kerajaan untuk mendaftar dan menerima suntikan dengan segera, sekali gus bersama-sama kita membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini.

Semoga program imunisasi ini dapat menamatkan krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda negara. Yakinlah dengan program imunisasi, Lindungi Diri, Lindungi Semua.

Penulis pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 6:15 AM