DR ZULKIFLI ketika menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO IHSAN JAKIM
DR ZULKIFLI ketika menerima suntikan vaksin Covid-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin Covid-19 Pejabat Kesihatan Daerah Presint 11, Putrajaya. FOTO IHSAN JAKIM
BERNAMA

Putrajaya: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 di sini, tadi.

Mereka tiba di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sekitar jam 3 petang dan melalui lima stesen yang dikhaskan untuk proses vaksinasi itu sebelum selesai menerima suntikan vaksin jenis Pfizer-BioNTech kira-kira 40 minit kemudian.

Ditemui di luar Pejabat Kesihatan Putrajaya, Zulkifli yang juga bekas pesakit Covid-19 berkata, proses suntikan vaksin itu dijalankan dengan tertib dan cermat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Alhamdulillah, suntikan ini tidak sakit dan saya yakin serta percaya kalau semua sokong kerajaan ini... kita akan menang lawan Covid-19. Tema Lindung Diri, Lindung Semua (Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) amat tepat," katanya.

Zulkifli disahkan positif Covid-19 pada 5 Oktober tahun lalu dan dibenarkan keluar dari wad hospital pada 14 Oktober selepas pulih menjalani rawatan.

Ditanya apakah nasihat terhadap mereka yang enggan menerima suntikan vaksin, Zulkifli berkata vaksin itu mampu melindungi diri daripada wabak Covid-19 dan ia terbukti apabila ramai pemimpin Islam luar negara telah mengambil vaksin berkenaan.

"Kepada sahabat yang berpandangan vaksin ini tidak perlu... (mereka) perlu lihat isu ini dengan lebih mendalam dan berlapang dada kerana (jika tidak ambil) natijahnya adalah kepada keluarga dan masyarakat," kata Zulkifli.

Sementara itu, Kiandee menyeru rakyat Malaysia untuk mendaftar dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi mendapatkan suntikan vaksin.

"Daftarlah di aplikasi MySejahtera dan tunggu giliran masing-masing kerana ia penting untuk bantu negara melawan Covid-19," katanya.

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang bertemakan Lindung Diri, Lindung Semua dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan membabitkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Februari 2021 @ 6:31 PM