KON Yeow selepas menerima suntikan vaksin di Hospital Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
KON Yeow selepas menerima suntikan vaksin di Hospital Pulau Pinang. FOTO Danial Saad
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow menjadi individu terawal menerima suntikan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech di Hospital Pulau Pinang (HPP), di sini, hari ini.

Suntikan itu dilakukan Penyelia Jururawat HPP, Matron Hafizah Hamzah , 10.25 pagi tadi.

Ia sekali gus menjadi simbolik pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri yang bermula hari ini.

Mengulas pengalaman menerima suntikan itu, Kon Yeow berkata, beliau tidak gementar malah semua proses berjalan dengan lancar.

"Saya tidak berasa sakit ketika suntikan diberi dan selepas 15 minit mereka (pihak hospital) memeriksa tahap tekanan darah dan tidak menunjukkan sebarang simptom.

"Diharap perkongsian ini sedikit sebanyak memberi keyakinan kepada rakyat di Pulau Pinang bagi menerima suntikan vaksin sekali gus mencegah penularan wabak itu yang sudah setahun membelenggu kita," katanya ketika ditemui di sini.

Proses vaksinasi disusuli Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman serta Timbalan Ketua Menteri II, Dr P Ramasamy.

Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Asmayani Khalib dan Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan turut menerima suntikan vaksin pada sesi sama.

Kon Yeow berkata, program suntikan vaksin fasa pertama membabitkan 31,000 petugas barisan hadapan di negeri ini dan diharap dapat disempurnakan dalam tiga bulan.

Katanya, Pulau Pinang akan menerima lima lagi penghantaran vaksin dalam masa terdekat sebagai dos kedua kepada 31,000 penerima fasa pertama yang perlu disuntik dalam tempoh 21 hari.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2021 @ 4:11 PM