NABILA Razali
NABILA Razali
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Penyanyi Nabila Razali yang meraikan hari raya di kampung sebelah suami iaitu Nik Iruwan Nik Izani di Kelantan selesa dengan jolokan Mek Nab yang diberikan kepadanya.

Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, 31, berkata dia tidak kisah dengan gelaran mesra yang diberikan oleh netizen itu dan menganggap sebagai medium untuk berjenaka dengan peminat.

"Gelaran Mek Nab ni bukan saya yang mulakan, orang yang komen panggil saya Mek Nab sebab saya beraya di kampung suami di Kelantan pada Hari Raya kedua.

"Lima hari saya beraya di Kelantan, jadi bila orang tengok 'content' yang saya muat naik di media sosial ketika berada di sana, mereka mula mengusik dan berkata habislah Nabila sudah jadi Mek Nab.

"Tapi saya rasa nama itu macam 'cool' juga kan. Jadi saya pun cuba panggil diri sendiri sebagai Mek Nab. Bagi saya gelaran itu pun sebenarnya satu perkara yang bagus dan saya pun tidak kisah," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Kata Nabila lagi, dia bersyukur apabila dapat menyesuaikan diri dengan baik dengan keluarga suami. "Alhamdulillah, kerisauan saya sebelum ini untuk beraya di kampung suami sudah berkurangan. Bukan apa, pertama kali hendak beraya berjauhan daripada keluarga.

"Jujurnya saya rasa bersyukur dapat menyesuaikan diri dengan saudara mara di sebelah suami walaupun itu adalah kali pertama beraya bersama mereka di Kelantan," katanya.

Dia mengakui berdebar untuk pulang ke kampung halamannya suaminya di Kelantan untuk meraikan Hari Raya buat kali pertama.

Namun selepas melihat keselesaannya menyambut raya di sana, Nabila diberi gelaran sebagai Mek Nab, panggilan yang sinonim dengan wanita Kelantan, lantas nama itu melekat sehingga ke hari ini.

Nabila mendirikan rumah tangga bersama Nik Iruwan Nik Izani yang juga ahli perniagaan pada 18 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 12:05 PM