NABILA Razali
NABILA Razali
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Tidak mengiyakan dan tidak juga menafikan.

Itu jawapan penyanyi dan pelakon popular, Nabila Razali apabila ditanya mengenai dakwaan dia sudah bertunang dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani.

"Ada benda yang kita kena simpan dan ada benda yang boleh dikongsi. Namun, saya tidak menidakkan atau mengiyakan".

Nabila yang mesra disapa Bella berkata, urusan jodoh adalah aturan Allah SWT.

"Kalau bercakap soal jodoh, siapalah kita untuk menentukan apa yang ya, apa yang tidak. Bagi saya, lalui saja apa yang sudah diaturkan oleh Allah dan sekiranya dipermudahkan maksudnya diizinkan.

"Tetapi apa yang penting ketika ini saya menikmati setiap detik perjalanan hidup saya. Baru saja selesai melakukan persembahan pertama yang lama saya idamkan selama berkecimpung dalam bidang seni.

"Malah, saya juga baru saja melancarkan single terbaru bersama kumpulan Insomniacks yang berjudul Cerita Kita. Mereka secara tidak langsung memberi nafas baru kepada kerjaya seni saya.

"Itu satu kepuasan juga buat saya kerana akhirnya ada kerjasama dengan band pula. Jadi, saya tidak mahu kerjaya seni saya terhenti di sini saja, banyak lagi benda baru yang ingin saya teroka," katanya.

Sebelum ini, Nabila berharap semua pihak dapat memberi ruang dan menghormati privasi dirinya berhubung dakwaan dia sudah bertunang. Malah, dia akan mengumumkan apabila tiba masanya nanti.

Terdahulu, tular cerita Nabila didakwa sudah bertunang dengan Nik Iruwan dalam satu majlis di kediaman barunya di Selayang, Selangor serta dihadiri ahli keluarga terdekat saja.

Nabila juga dikatakan sudah menjalin hubungan cinta dengan Nik Iruwan yang terbabit dalam sukan go-kart itu sejak beberapa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 1:22 PM