NABILA ambil pendekatan tidak berkongsi secara peribadi mengenai jejaka pilihan.
NABILA ambil pendekatan tidak berkongsi secara peribadi mengenai jejaka pilihan.
Najiy Jefri


BIARPUN melalui fasa perkenalan singkat, kebahagiaan jelas terpancar di wajah jelita penyanyi Nabila Razali saat bersatu di atas jenjang pelamin bersama jejaka pilihan hatinya, Nir Iruwan Nik Izani.

Mengukir cinta abadi tanggal 18 November lalu, pasangan sama cantik sama padan ini diraikan dalam majlis resepsi bertemakan Batik Jawa pada Ahad lalu yang dihadiri ahli keluarga, teman rapat, rakan selebriti dan media.

Meninggalkan status 'cik' dan melangkah penuh gaya dengan gelaran 'puan' saat cincin tersarung di jari, Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali mengakui bekas pelumba kereta litar Formula itu adalah cinta pertamanya sepanjang membabitkan diri dalam industri seni.

Nabila berkata, segala gosip percintaan dengan beberapa selebriti lelaki sebelum ini hanyalah atas urusan kerja dan tidak pernah wujud perasaan istimewa antara mereka.

"Kalau ada pun saya tak tahulah (perasaan), tapi macam saya sendiri tidak ada yang serius.

"Saya berkawan dengan ramai lelaki, tapi tidak bermaksud ada hubungan secara serius. Tapi hubungan yang istimewa itu Nik Iruwan adalah yang pertama," katanya yang memegang erat tangan suaminya ketika sesi temu bual berlangsung.

Melihat perjalanan cinta pasangan ini, kedua-duanya mengunci rapat kisah cinta mereka sehingga tiada yang dapat menghidu.

Malah ketika mereka dikatakan sudah bertunang sekitar Ogos lalu, Nabila mahupun Nik Iruwan tidak mengesahkan atau menafikan berita itu sebaliknya membiarkan gosip itu terus berlalu pergi.

Lebih mengejutkan, berita pernikahannya juga masih kekal menjadi rahsia apabila wujud beberapa dakwaan yang mengatakan Nabila memilih tarikh ulang tahun ke-31 yang disambut pada 13 November lalu sebagai tarikh rasmi pernikahan mereka.

Bagaimanapun, tanpa disedari pasangan itu akhirnya memilih 18 November lalu sebagai tarikh keramat hari bahagia mereka yang berlangsung di sebuah resort di Bukit Tinggi, Pahang.

KEHADIRAN Nabila curi tumpuan apabila muncul di dewan menaiki tandu sambil diiringi muzik gamelan.
KEHADIRAN Nabila curi tumpuan apabila muncul di dewan menaiki tandu sambil diiringi muzik gamelan.

Pada majlis pernikahan, Nabila menerima mas kahwin bernilai RM22.50, manakala wang hantaran dirahsiakan.

Ditanya mengenai sebab dia merahsiakan kisah cintanya daripada pengetahuan umum, Nabila berkata, dia enggan berkongsi hubungan yang masih baharu dan belum cukup kuat.

"Kata orang, seelok-eloknya dirahsiakan dahulu jika bertunang. Jadi, saya kongsi berita selepas nikah.

"Saya percaya itulah yang sebaik-baiknya sebab dalam perkenalan, hanya kami dan tidak perlu pembabitan orang lain.

"Sebagai selebriti, sudah tentu ramai yang nak tahu gerak-geri dan kehidupan seharian saya.

"Ramai bertanyakan kisah peribadi saya, tapi waktu itu belum masanya saya berkongsi perkara ini kepada orang ramai, katanya.

Ditanya mengenai perkenalan singkat antara mereka, Nabila berkata, dia memilih untuk tidak mengulas mengenai jangka masa perkenalan sehingga mereka nekad untuk melangkah ke fasa perkahwinan.

NABILA dan  Nir Iruwan pada majlis resepsi bertemakan Batik Jawa.
NABILA dan Nir Iruwan pada majlis resepsi bertemakan Batik Jawa.

"Bagi saya, apa lebih yang berharga adalah momen bersama. Sepanjang perkenalan, tidaklah sempurna segala-galanya.

"Sudah pasti ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Jadi, saya percaya kelebihan dan kekurangan melengkapi hubungan kami.

"Jadi, saya harap yang baik-baik sahaja, insya-Allah," katanya.

Nabila yang ditemui pada majlis resepsi bertemakan Batik Jawa yang diadakan di sebuah hotel mewah di Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini mencuri tumpuan 250 tetamu yang hadir apabila muncul di dewan menaiki tandu, sambil diiringi muzik gamelan bersesuaian dengan konsep dipilih.

Nabila berkata, pemilihan tema itu dibuat kerana bapanya berketurunan Jawa dan ingin memberi penghormatan kepada budaya yang dekat di hati keluarganya.

"Ayah saya berketurunan Jawa. Malah di rumah pun kadang-kadang kami bercakap dalam bahasa Jawa, lebih-lebih lagi kalau pulang ke kampung.

"Jadi sebagai kelainan untuk hari resepsi saya pilih tema ini memandangkan sebelum ini saya tampil dengan tema 'English Garden' sewaktu majlis pernikahan," katanya.

Majlis resepsi terbabit turut diselangi dengan persembahan demi persembahan daripada rakan selebriti rapat Nabila seperti Hael Husaini, Aisha Retno dan Amira Othman.

Lebih bermakna apabila pengantin perempuan turut mendendangkan single baharu, Hanya Kamu yang menceritakan semula detik manis perkenalan dengan ahli perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2023 @ 6:21 AM