Kuala Lumpur: Penyanyi Nabila Razali, 30, dihujani ucapan tahniah dan doa daripada rakan dan pengikutnya di Instagram selepas dia memuat naik gambar cincin di jari kanannya yang dikatakan cincin pertunangannya.

Walaupun hantaran itu sebenarnya bertujuan untuk mempromosikan lagunya Aku Terluka yang memasuki program Muzik Muzik 38, namun ruangan komennya dipenuhi cerita dia yang dikatakan sudah bertunang dengan ahli perniagaan, Nik Iruwan Nik Izani, Jumaat lalu.

"Alhamdulillah. Akhirnya yang ditunggu. Lagu tercalon, hati pun sudah dimiliki. Tahniah sekali lagi si cantik," demikian antara komen peminat.

Beberapa rakan artis turut menitipkan komen-komen manis antaranya Nora Danish dan Wani Kayrie.

Media semalam melaporkan penyanyi yang popular dengan lagu Peluang Kedua ini sudah melangsungkan pertunangan.

Difahamkan, majlis pertunangan Nabila diadakan di rumah barunya di Selayang, di sini, Jumaat lalu.

Nabila dan Nik Iruwan yang juga terbabit dalam sukan go-kart dikatakan sudah menjalin hubungan cinta sejak beberapa bulan lalu.

Tinjauan di Instagram Nabila juga mendapati penyanyi itu tidak memuat naik apa-apa mengenai majlis pertunangan itu.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Nabila tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 1:23 PM