SITI NurHaliza
SITI NurHaliza

Kuala Lumpur: Penjelasan penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, mengenai suasana belakang pentas untuk Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza menuai pujian netizen yang menyifatkan dia seorang 'perfectionist'.

Siti membxuat penjelasan itu selepas tercetus dakwaan bahawa dia kedengaran seolah memarahi kakitangan belakang pentas walhal dia cemas sewaktu kejadian berlaku.

 

"Suasana di belakang pentas ada 1001 cerita, hanya mereka yang bekerja sahaja yang mengetahui setiap debar memberikan yang terbaik, mengejar masa, memastikan semuanya tepat masa dan tentunya mahu semua hal teknikal berjalan sempurna.

"Saya tak sangka pula, momen belakang pentas yang disiarkan dalam Konsert Sebuah Epitome, Saya Siti Nurhaliza mendapat perhatian dan dijadikan berita serta dikongsikan, ada yang kata saya marah (reaksi dan mimik muka dalam video tersebut tanpa suara).

"Bila baca komen, alaaa..janganlah ambil serius sangat tau, saya tak marah pun, tu muka saya cuak atau cemas, anda boleh tengok berapa saat je LED tu akan terbuka dan saya kena menyanyi. Bayangkan kalau ear monitor yang saya pakai tak on atau dibuka. Ear monitor ini sangat penting kepada seseorang penyanyi untuk mendengar suara dan muzik," katanya.

Menurutnya, dia muat naik video sebenar supaya tiada spekulasi lagi kerana dia pun benarkan video terbabit disiarkan dalam siaran Astro sebab tahu, ada peminat mahu menonton situasi di belakang pentas.

"Saya tak marah pun, itu nada suara saya yang mahu memastikan 'ear monitor' saya dibuka dengan segera...dan berjalan secara profesional ke depan pentas, terus menghayati dan menghiburkan penonton.

"Setiap persembahan dan konsert ada cabaran dan pengalaman, kena cekap dan pantas menangani. Saya sendiri ada bermacam-macam pengalaman di belakang pentas dalam konsert-konsert sebelum ini," katanya.

Menjengah komen peminat, mereka percaya apa yang berlaku semestinya kerana penyanyi Bukan Cinta Biasa itu sangat ambil berat terhadap kelancaran perjalanan konsertnya.

"Sebab komited. Orang datang tonton konsert dia berbayar, jadi dia kena sediakan yang terbaik untuk pelanggan. Sebagai 'public figure' yang bawa nama besar dalam industri, sedikit kesilapan pasti jadi perhatian media dan masyarakat. Maka dia kena pastikan segalanya sesempurna yang mampu dan semua pihak berpuas hati setimpal harga," kata seorang netizen.

"Apa pun tetap suka Siti Nurhaliza, hanya yang duduk belakang pentas saja tahu debaran macam mana. Yang tak duduk 'best'lah komen negatif. Apa pun janganlah pandanga negatif bila dalam bekerja ini. Semua kita nak yang terbaik dan main peranan," kata netizen lain.

Dalam pada itu, ada juga yang menyifatkan keperibadian Siti terlihat tetap menyenangkan walaupun dalam keadaan marah.

"Tak. Tiba-tiba rasa 'love' dengar Tokti marah. Macam teruja pertama kali dengar. Rupanya ada sisi lain yang kita belum pernah tengok," kata komen itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2024 @ 11:22 AM