Siti Nurhaliza pada program Master Class: Evolution Expert. Foto Rohanis Shukri
Siti Nurhaliza pada program Master Class: Evolution Expert. Foto Rohanis Shukri
Norhayati Nordin


Cyberjaya : Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza, 44, mengakui pemilihan Axiata Arena sebagai lokasi penganjuran Konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza yang akan berlangsung pada 9 Mac depan, sudah dibuatnya lebih awal sejak beberapa bulan lalu.

Siti ditemui berkata, tiada isu pun sebenarnya dengan lokasi konsert akan datangnya itu dan apa yang tercetus baru-baru ini membabitkan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) adalah daripada pihak luar.

"Pada saya, soal lokasi berkaitan konsert hanya dibangkitkan oleh orang luar saja yang kononnya berasa ia patut diadakan di tempat yang lebih luas dan cuba membandingkan dengan konsert sebelum ini (konsert Coldplay).

"Apapun, daripada pihak saya sendiri memang kami sudah merencanakan konsert ini (Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza) bakal berlangsung di Axiata Arena dan keputusan muktamad pun dibuat sejak beberapa bulan lalu.

"Jadi, tiada apa-apa isu pun dan tiket pula akan dijual bermula esok," katanya kepada Harian Metro dengan memaklumkan perincian lanjut akan dikongsi pada satu sidang media khas nanti.

Sebelum itu, Siti hadir menjayakan program Master Class: Evolution Expert anjuran Pusat Pendidikan Berterusan Universiti Malaya (UM) di Kampus Universiti Malaya Cyberjaya, hari ini.

Datuk Seri Siti Nurhaliza
Datuk Seri Siti Nurhaliza

Terdahulu, ada pihak cuba mengaitkan Siti dengan penganjuran acara besar membabitkan hiburan yang berlangsung di SNBJ baru-baru ini bagi mencetus perbandingan.

Ia akhirnya menyebabkan penyanyi lagu Cindai itu memuatnaik satu hantaran di Instagram Story, meminta agar dirinya tidak terus dikaitkan dengan sebarang perkara yang berpotensi mengundang reaksi kurang senang orang ramai.

Mengulas pula program pendidikan disertainya bersama UM, Siti berkata pihaknya diundang bagi berkongsi kisah perjalanan sebagai anak seni dan kepayahan dilalui untuk bergelar usahawan, termasuk pencapaian dan kegagalan sepanjang berkecimpung dalam industri hiburan.

Sehubungan itu, antara yang dikongsikan Siti adalah pengalamannya ketika mahu menganjurkan konsert pertama yang dapat direaliasikan ketika berusia 20 tahun dengan menggunakan kewangan sendiri.

"Pada usia awal 20-an masa itu, saya dapat adakan konsert pertama di Stadium Putra, Bukit Jalil dan ia dibuat menggunakan wang saya sendiri kerana tiada pengalaman yang banyak lagi untuk tarik penaja.

"Tapi, disebabkan keinginan dan kesungguhan yang sangat tinggi, saya berusaha serta cuba melakukan dengan terbaik. Ditambah, saya pula dididik oleh guru-guru yang hebat seperti Allahyarham Pak Ngah yang memberi peluang saya belajar main perkusi, menari dan sebagainya.

"Alhamdulillah, saya tak sangka sambutan diterima untuk konsert itu sangat luar biasa. Saya akui pada permulaannya memang sukar nak dapat kepercayaan orang kerana kita kena jadi lebih baik dulu untuk tunjukkan kemampuan diri," katanya.

Pada program yang berlangsung kira-kira empat jam itu, difahamkan merangkumi lima modul yang bermula daripada kisah perjalanan karier seni Siti sehinggalah cabaran dihadapinya selama bergelar seorang anak seni.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 2:57 PM