MIMI Lana pastikan balik beraya bersama keluarga di Taiping setiap tahun.
MIMI Lana pastikan balik beraya bersama keluarga di Taiping setiap tahun.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Tiada apa yang lebih bermakna dan indah bagi pelakon, Mimi Lana, 29, dalam meraikan Aidilfitri setiap tahun bersama dengan ibu bapa dan keluarganya di Taiping, Perak.

Mimi berkata, dia juga sentiasa memastikan segala keperluan untuk keluarganya disediakan mengikut apa yang diinginkan dan sudah dirancang seperti baju raya, kuih-muih dan sebagainya.

"Saya selalunya akan memberi wang kepada ibu untuk dia membuat segala persediaan. Ini kerana dengan kesibukan bekerja di lokasi penggambaran, saya memang tiada masa nak fikir banyak benda.

"Jadi, ibu dan keluarga saya di kampung yang buat semuanya. Namun, meraikan Aidilfitri bersama keluarga adalah memori terindah buat saya yang jarang ada masa pulang ke kampung kerana komitmen kerja," katanya.

Ditanya sama ada dia masuk ke dapur memasak, Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Roziana Zainal Abidin berkata, dia selalunya sibuk di dapur pada hari raya kedua kerana keluarganya mengadakan rumah terbuka.

"Biasanya pada hari raya pertama, saya akan tampil bergaya cantik untuk beraya ke rumah sanak saudara. Tapi, di hari raya kedua, saya lebih banyak habiskan masa di dapur membantu ibu.

"Apapun, saya suka bersederhana dan tidak berlebihan dalam segala hal. Malah, saya okay saja dengan semua persediaan dibuat ibu kerana dia amat memahami kesukaan kami sekeluarga," katanya.

Mengulas kariernya, Mimi berkata, dia bersyukur rezeki lakonan tidak putus diterima dan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kerana enggan mensia-siakan setiap peluang kerja diterima.

"Saya dalam urusan kerja memang komited kerana bidang seni adalah punca rezeki dan pendapatan saya. Ditambah, persaingan yang ramai dan saya perlu memberi terbaik dalam hasil kerja kerana itulah tanggungjawab sebagai pelakon.

"Setakat ini, saya mendapat projek lakonan dengan watak yang bagus dan boleh dikatakan banyak bermain dengan watak berat. Apapun, saya terbuka dengan apa saja watak termasuk komedi," katanya.

Terbaru, Mimi muncul membintangi drama First Wives sebanyak lapan episod terbitan Astro Shaw yang membariskan pelakon seperti Malek McCrone, Melissa Chambell, Charles Roberts, Carmen Soo dan Andy Teh.

Tidak hanya drama, dia juga akan tampil dengan filem The Experts yang bergenre aksi arahan bersama oleh Andre Chiew dan Nazim Shah yang dbakal ditayangkan pawagam pada 23 Mei depan.

Selain Mimi, barisan pelakon hebat lain membintangi filem ini ialah Datuk Aaron Aziz, Remy Ishak, Syafiq Kyle dan Ray yang mengisahkan sekumpulan adik-beradik mempunyai kepakaran masing-masing dalam kegiatan merompak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 12:45 PM