SHUKRI Yahaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
SHUKRI Yahaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelakon Shukri Yahaya, 36, menyifatkan tiada sebab untuk dia bersikap curang terhadap isteri tercinta, Tya Adnan hanya kerana sering berpasangan dengan rakan pelakon wanita cantik dalam drama dibintangi.

Shukri berkata, dia hanya melakonkan watak-watak itu di set penggambaran saja, termasuk menjaga batas pergaulan dan tidak sama sekali terbawa-bawa setiap karakter berkenaan hingga balik ke rumah.

"Konsep saya senang, selesai berlakon dan terus habis. Tak ada nak terbawa-bawa watak dalam drama itu hingga balik ke rumah. Sebab, saya hanya melakonkannya (watak) di lokasi saja.

"Saya dan isteri juga sudah kenal lama serta kami pun dah dikurniakan dua anak. Jadi, saya tak pernah terfikir nak buat benda-benda macam itu (curang). Lagi pula, kerja saya memang berlakon," katanya.

Menurut Shukri dia juga selesa apabila kebanyakan peminatnya sentiasa mendoakan yang baik-baik terhadap rumah tangga dan keluarganya agar terus menjalani kehidupan bahagia tanpa berdepan sebarang gangguan.

"Di media sosial juga ada netizen yang menulis komen, 'jangan usik Shukri Yahaya' dan ia baguslah kerana ada mereka (netizen) yang mengingatkan," katanya.

Shukri yang mula dikenali menerusi drama Asam Pedas Untuk Dia di TV3 hingga kini sudah membintangi pelbagai drama dan digandingkan berlakon dengan ramai pelakon wanita cantik dan popular.

Terdahulu, Shukri yang melakonkan watak utama, Azim Hasibullah hadir pada tayangan episod akhir drama Layang Layang Perkahwinan arahan Eyra Rahman di sebuah hotel di Bangi, baru-baru-baru ini.

Menerusi drama Layang Layang Perkahwinan itu juga, Shukri terkait kontroversi membabitkan babak lakonannya yang didakwa berunsur lucah atau 'soft porn' bersama pelakon Alya Iman hingga dikecam hebat netizen.

Untuk rekod, Shukri bertemu jodoh dengan Tya yang juga pelakon filem Ular pada November 2015 dan hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan sepasang cahaya mata, Aaira Ameena, 8 dan Maleeq Miqayl, 4.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 12:03 PM