MIMI akui seronok berlakon watak komedi dalam First Wives.
MIMI akui seronok berlakon watak komedi dalam First Wives.
Norhayati Nordin

TEMPOH lebih sedekad bergelar pelakon iaitu sejak 2013 membuatkan Mimi Lana berjaya memacu nama dan bakat ke tahap dikenali.

Populariti Mimi tidak dapat disangkal lagi selepas sentiasa menjadi pilihan pengarah serta produksi untuk bekerjasama.

Sama ada produk lakonannya untuk siaran stesen televisyen ataupun platform OTT, wanita berusia 29 tahun ini mengakui dia cuma mahu memberikan yang terbaik dalam setiap naskhah dibintangi itu.

Bertemunya di lokasi penggambaran drama First Wives di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini, Mimi berkata, dia teruja kerana dapat melakonkan watak komedi buat kali pertama.

"Menerusi drama First Wives ini, saya melakonkan watak Diyana yang berhadapan situasi dicurangi suaminya. Namun menariknya apabila pembawaan karakter Diyana itu lebih kepada komedi.

"Sejujurnya saya amat gementar dengan watak ini (komedi) kerana rasa 'insecure' jika tak dapat menjadikannya kelakar, terutama membuat orang lain juga boleh ketawa.

"Apatah lagi, sebelum ini saya banyak berlakon drama yang bergenre berat, bermain emosi dan air mata. Tapi, kali ini saya kena tampil dengan genre komedi yang perlu buat orang ketawa untuk watak itu.

"Memang rasa tak mudah sebab tahu saya bukan orang yang kelakar. Namun ketika di set penggambaran tak sangka pula saya boleh melakonkan watak Diyana secara komedi dengan baik dan jadi yakin pada diri," katanya.

Ditanya apakah dia lebih terbuka menerima watak komedi selepas ini, Mimi berkata, dia akan pertimbangkan untuk terima lebih banyak watak genre komedi pada masa depan.

Menurut pemilik nama sebenar Mimi Roziana Zainal Abidin ini, dia amat seronok berlakon komedi kerana lebih tenang dan santai, namun tetap perlu komited serta tidak boleh sambil lewa.

Selain Mimi, drama First Wives terbitan Astro Shaw itu turut dibintangi pelakon lain seperti Malek McCrone, Melissa Chambell, Charles Roberts, Carmen Soo dan Andy Teh.

Mengulas produk lain lakonannya, Mimi berkata, dia akan muncul dengan filem The Experts arahan Andre Chiew dan Nazim Shah yang menemui penonton di pawagam tanah air pada 23 Mei depan.

Ditanya juga dirinya yang didapati tidak terikat dengan sesuatu watak, Mimi berkata, dia agak peka dengan karakter lakonannya dan memastikan tiada persamaan pada setiap kemunculan.

"Saya selalunya akan cuba buat perubahan dari segi penampilan diri, intonasi suara dalam lontaran dialog dan sebagainya yang sesuai supaya dapat menyuntik kelainan. Saya tidak mahu nampak 'stereotaip'.

"Jadi, penting untuk saya nampakkan kelainan dalam watak dibawa itu kerana enggan terlihat mendatar. Syukur Alhamdulillah, apa yang saya buat selama ini membuahkan hasil," katanya.

Sahabat baik Syafiq

Meskipun pernah berdepan episod duka tak jadi kahwin dengan pelakon Syafiq Kyle pada 18 Ogos tahun lalu, ia tidak menggugat hubungan mereka menjadi teman baik dan rapat seperti dulu.

Mimi berkata, hubungan baik dan profesional dalam kerjaya yang dikekalkan itu membawa rezeki pada dia dan Syafiq terus bergandingan dalam beberapa tawaran kerja serta pelbagai kempen iklan.

"Saya dan Syafiq, kami matang dalam menangani masalah yang berlaku kerana sudah kenal lama, sembilan tahun. Malah, ini semua (tak jadi kahwin) sudah pun tertulis.

"Namun, Alhamdulillah syukur saya dapat atasi apa yang berlaku itu dengan baik. Mungkin Allah mahu berikan yang lebih baik untuk saya pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Mimi yang difahamkan sudah dirisik oleh Syafiq sebelum itu sepatutnya disatukan sebagai suami isteri dalam sebuah majlis pernikahan yang dirancang berlangsung di Janda Baik, Pahang.

Bagaimanapun, jemputan majlis itu dibatalkan pada 11 Ogos tahun lalu menerusi kiriman mesej WhatsApp dikirim pengurus Mimi iaitu Iman Tang kepada wakil media.

Mimi dan Syafiq juga mengambil pendekatan berdiam diri, namun mereka pernah tular di media sosial apabila tersebar video keluar makan bersama sebagai sahabat pada November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 6:00 AM