Najiy Jefri


Ramadan tahun ini memberi erti berbeza buat pelakon, Mimi Lana apabila bakal menjadi tahun terakhir menyambut sebagai wanita bujang sebelum melangkah ke fasa bahagia sebagai isteri kepada pelakon, Syafiq Kyle yang dijangka berlangsung tahun ini.

Lebih istimewa, Ramadan kali ini juga memberi peluang kepada wanita berusia 28 tahun itu untuk berehat panjang selepas sibuk dengan urusan kerja.

Kata Mimi, selama beberapa tahun kebelakangan ini dia jarang dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta untuk menyambut Ramadan.

"Tahun ini saya dapat luangkan masa sambut Ramadan bersama ahli keluarga. Jadi, dapat saya berehat dan menjalankan ibadah pada bulan yang cukup indah ini.

"Sebelum ini saya selalu bercakap pada diri untuk tidak bekerja pada bulan puasa, tapi apabila sampai waktu ada saja kerja yang perlu diselesaikan.

"Jadi, kesempatan yang Allah berikan pada tahun ini saya nak manfaatkan sebaik mungkin.

"Kalau boleh saya nak realisasikan segala keinginan mereka untuk menyambut Ramadan dan Syawal pada tahun ini," katanya.

Bakal menjadi tahun terakhir bergelar 'anak dara', Mimi yang ditemui pada majlis sidang media Kempen Ramadan Raya 2023 anjuran Media Prima Berhad (MPB) di Studio 3, Glenmarie, Shah Alam bagi mempromosikan filem Seindah Kasih The Movie, baru-baru ini, bagaimanapun kelihatan malu untuk membuka mulut soal itu.

Namun, Mimi hanya memohon doa orang ramai supaya segala urusan menuju hari bahagia yang dijangka berlangsung selepas Aidilfitri berjalan lancar.

TERUJA membintangi filem Seindah Kasih The Movie yang  ditayangkan di Tonton bermula 12 April depan.
TERUJA membintangi filem Seindah Kasih The Movie yang ditayangkan di Tonton bermula 12 April depan.

"Insya-Allah doa-doakan. Saya tak berani nak cakap lebih, takut," katanya.

Ditanya mengenai persiapan menuju hari pernikahannya, Mimi mengaku dia dan Syafiq tidak cerewet dan saling berbincang.

"Persiapan setakat ini berjalan lancar. Kalau nak bercakap mengenai hal perkahwinan, rasanya ia sama seperti pasangan lain yang nak berkahwin.

"Cuma syukur kerana kami sudah lama kenal, jadi proses itu menjadi lebih mudah. Semuanya mengikut apa yang dirancangkan, masing-masing juga sudah tahu peranan.

"Malah, ahli keluarga kami pun sangat menyokong. Alhamdulillah setakat ini lebih 50 peratus persiapan sudah dilakukan, sudah separuh jalan" katanya.

Menurut pemilik nama sebenar Mimi Rozaiana Zainal Abidin ini, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

"Saya dan Syafiq sudah berkawan lama. Tipu kalau tiada rasa berdebar kerana saya bakal melangkah ke satu fasa lebih serius dalam hidup.

MIMI sudah bersedia bergelar isteri kepada Syafiq.
MIMI sudah bersedia bergelar isteri kepada Syafiq.

"Tapi, tidak rasa gemuruh yang keterlaluan, mungkin momen itu belum sampai lagi. Untuk waktu ini, saya banyak berdoa supaya kami berdua dapat laluinya dengan baik, tiada masalah. Itu sahaja yang saya harapkan.

"Seperti apa yang Syafiq kongsikan kepada media sebelum ini, begitulah. Tiada ada yang boleh saya ulas lanjut mengenainya.

"Saya risau juga kalau asyik berkongsi, peminat pun naik bosan sebab hal yang sama. Tapi, itu hakikatnya, insya-Allah dalam tahun ini juga (berkahwin)," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mimi turut berkongsi filem terbaharu lakonannya yang ditayangkan sempena Ramadan di platform penstriman Tonton berjudul Seindah Kasih The Movie.

Memegang watak sebagai wartawan digital, Mimi cuba menjayakan watak terbabit dengan sebaik mungkin.

Selain Mimi, filem terbabit turut dibintangi Luqman Hafidz, Syafiq Kyle, Siti Saleha dan Anas Ridzuan.

Filem Seindah Kasih The Movie yang ditayangkan pada 12 April depan mengisahkan gelagat enam warga kerja dan peminat industri hiburan tempatan. Kesibukan kerja di industri hiburan menjadikan tugasan harian mereka lebih mencabar pada Ramadan dan Syawal.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mac 2023 @ 6:00 AM