JOE Flizzow ceritakan pengalaman suka-duka sebagai pejuang muzik hip-hop dalam industri tempatan  .
JOE Flizzow ceritakan pengalaman suka-duka sebagai pejuang muzik hip-hop dalam industri tempatan .
Najiy Jefri


Di sebalik kemegahan nama Joe Flizzow yang berjaya mencipta nama di dalam dan luar negara, tersimpan kisah penuh berliku yang ditempuhnya.

Selama dua dekad memperjuangkan genre muzik hip hop, Joe tidak pernah berhenti berjuang dalam memastikan karya-karya yang diperkenalkan mendapat tempat di hati peminat.

Apatah lagi, apabila penyanyi lagu Satu Malam Di Temasek ini yang sebelumnya adalah anggota kumpulan Too Phat yang bergerak solo pada 2017 selepas rakan duonya, Malique menghilangkan diri kerana lebih selesa untuk bergerak sendirian di belakang tabir walaupun populariti mereka ketika itu di puncak populariti.

Bagaimanapun, kecintaan Joe atau nama sebenarnya Johan Ishak terhadap dunia hip-hop tidak pernah luntur sebaliknya dia terus menyusun strategi menyemarakkan lagi genre berkenaan dan akhirnya satu demi satu kejayaan dilakarnya.

Buktinya, lagu Apa Khabar dendangan Joe bersama SonaOne diangkat sebagai juara Anugerah Juara Lagu Ke-29 (AJL29) pada 2014 selain memenangi anugerah Penghibur Terbaik Asia Tenggara pada Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 (MTV EMA 2018).

Tidak hanya itu, bintang legenda hip hop ini juga pernah bekerjasama dengan bintang rap dunia, Snoop Dogg pada 2021.

Di sebalik pahit manis perjalanan seni yang dilalui, anak kelahiran Johor Bahru ini akhirnya mengabadikan kisah kehidupannya filem dokumentari autobiografi berjudul This Is Johan yang membawa penonton menyaksikan perjalanannya sejak kecil hingga menceburi bidang seni.

Berdurasi dua jam, dokumentari itu menyingkap pelbagai perspektif termasuk keluarga dan kenalan rapat alam persekolahan sebelum popular turut mempamerkan detik jatuh bangun Joe dalam industri muzik yang boleh dijadikan sumber inspirasi kepada peminat serta mereka yang ingin mengikuti jejaknya.

"Dokumentari ini bukan sekadar kisah kerjaya saya, tetapi boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada bakal artis supaya terus bersemangat dan meraih kejayaan masing-masing.

"Bagi saya, kisah yang dipaparkan ini adalah proses 'menang atau belajar, tiada istilah kalah, tetapi membentuk kita untuk belajar sesuatu. Saya ingin penonton melihat pengalaman manis dan pahit saya supaya bersemangat untuk mencapai impian mereka walau apapun cabaran yang mereka akan hadapi.

"Percayalah, itulah yang akan membentuk anda untuk menjadi seorang legenda nanti. Dokumentari ini menawarkan pandangan unik dalam kehidupan seseorang artis yang berjuang untuk memperoleh tempat dalam industri muzik ini," katanya.

Bercerita mengenai proses penggambaran dokumentari itu, Joe berkata, syarikat produksi Mojo Films mengambil masa kira-kira dua tahun enam bulan untuk menyiapkan filem dokumentari autobiografi yang menarik dengan bahagian filem yang tersusun.

"Sepatutnya proses penggambaran dokumentari ini enam bulan, tapi ada ketika kru produksi terpaksa ke Singapura dan Bangkok, Thailand semata-mata untuk mendapatkan 'footage' reaksi daripada artis-artis di sana untuk bercerita mengenai saya.

"Dokumentari ini dihasilkan dengan begitu tersusun dan kami tidak tergesa-gesa untuk menyiapkannya kerana mahu ia dilihat naskhah terbaik dan memastikan jalan cerita itu betul," katanya.

Ditanya apakah yang membuatkan dia terbuka hati untuk menghasilkan dokumentari This Is Johan, Joe berkata, dia ingin menyaksikan perjalanan hidupnya ketika zaman kecil sehingga sekarang ketika dia masih hidup.

"Saya nak 20 tahun dari sekarang saya dapat saksikan perjalanan karier saya dalam bidang seni. Saya tak nak lagi 30 atau 50 tahun akan datang baru nak buat dokumentari pasal saya. Saya tak nak nanti bila dah tak relevan orang cakap saya syok sendiri.

"Penghasilan dokumentari ini adalah sebahagian daripada kerja dan perjalanan hidup saya yang keluar daripada mulut saya sendiri.

"Jadi naratif itu saya yang tentukan. Kadang-kadang bila kita baca mengenai kisah seseorang ia diceritakan oleh pihak ketiga, tapi dokumentari ini saya sendiri yang hasilkannya," katanya.

Dokumentari This Is Johan bahagian satu dan dua sudah ditayangkan dan boleh ditonton di platform penstriman Viu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Mac 2024 @ 6:25 AM