JOE sudah lebih dua dekad merintis muzik hip hop. - FOTO Hazreen Mohamad
JOE sudah lebih dua dekad merintis muzik hip hop. - FOTO Hazreen Mohamad
Ramlah Zainal


KONSERT solo, Joe Flizzow-This is Johan Live In Concert yang julung kali dianjurkan ternyata berjaya menarik 1,500 peminat muzik hip hop.

Kebanyakan peminat yang hadir pada malam itu juga puas dan terhibur dengan rangkaian 36 lagu popular dan baharu disampaikan Joe pada malam itu.

Lebih bermakna, ia konsert solo pertama Joe Flizzow selepas 10 tahun penyanyi rap terkenal ini bergerak secara solo dan ia dibawakan JioBuddy dengan kerjasama Altus ProHouse.

Menurut Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak, 43, yang sudah lebih dua dekad merintis muzik hip hop, konsert itu juga menampilkan kelainan kerana dia menyampaikan rangkaian lagu daripada album terbaharu berjudul Johan secara langsung buat kali pertama.

"Saya harap konsert solo ini meninggalkan memori buat peminat yang sudah lama menantikannya," kata bekas anggota duo popular Too Phat ini.

Seperti dijanjikan, penyanyi yang terkenal dengan jolokan 'The President' ini menampilkan kelainan kerana dia bukan sekadar menyanyi di pentas sebaliknya berinteraksi serta bercerita mengenai perjalanan karier seninya pada peminat.

Turut dipaparkan audio ucapan terakhir dari 'The President' dalam segmen pada konsert malam itu.

Joe juga menyampaikan rangkaian lagu baharu dari bingkisan album baharunya berjudul Johan yang dilancarkan bulan ini.

Album baharu itu memuatkan 18 atau 19 lagu baharu khusus buat peminat setia sejak dulu.

SONAONE (kanan) antara artis yang turut tampil membuat persembahan dalam konsert solo Joe. - FOTO Hazreen Mohamad
SONAONE (kanan) antara artis yang turut tampil membuat persembahan dalam konsert solo Joe. - FOTO Hazreen Mohamad

KONSERT solo, Joe Flizzow-This is Johan Live In Concert yang julung kali dianjurkan. - FOTO Hazreen Mohamad
KONSERT solo, Joe Flizzow-This is Johan Live In Concert yang julung kali dianjurkan. - FOTO Hazreen Mohamad

Konsert solo Joe turut dihangatkan lagi dengan penampilan barisan artis popular yang pernah berkolaborasi dengannya iaitu SonaOne (lagu Satu Malam Di Temasik, Apa Khabar, Havoc), Alyph (Sampai Jadi), MK K-Clique (Ciao) Adeep (Apa Benar dan Lu Lari), Azlan Typewriter (Kuasa) dan Gard (Berlian).

Manakala lagu popular Sang Saka Biru pula menampilkan gandingan Joe bersama SonaOne dan Alyph turut mendapat sorakan penonton.

Tidak ketinggalan, Joe turut menampilkan gandingan bersama penyanyi Zamaera (lagu Aku Tak Kenalmu) dan Ila Damia (Untukmu).

Selain itu, rangkaian lagu yang disampaikan Joe dalam konsert dua jam itu antaranya, Negaraku, Anak Ayam, Ala Canggung, Baek, Single baru Sunyi, Drop, 501, Kongsi, Satu Kali, Dua Dunia, Snap, Just A Lil'Bit, iller-iller, Bergerak, All Around My World, Island Girl, Running, Do It, Duit, Too Phat Baby, Just A Friend dan Jezzabel.

Seramai 19 barisan pemuzik orkestra mengiringi persembahan Joe yang diketuai pengarah muzik, Marques Young.

Mengimbas latarnya, sepanjang lebih 10 tahun bergerak solo, Joe pernah muncul dengan dua album iaitu The President yang dilancarkan pada 2008 dan Havoc (2013).

Pada Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-29, Joe bersama SonaOne menerusi lagu Aku Tanya Apa Khabar dinobatkan sebagai juara, manakala tahun lalu (AJL30) mereka muncul naib juara menerusi lagu Satu Malam Di Temasik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 6:49 AM