JOE mahu jadi yang terbaik di Asia Tenggara. FOTO - Arkib NSTP.
JOE mahu jadi yang terbaik di Asia Tenggara. FOTO - Arkib NSTP.
Georgie Joseph


PENYANYI hip hop popular, Joe Flizzow mengharapkan sokongan penuh daripada semua untuk mengundinya selepas dicalonkan dalam kategori Artis Terbaik Asia Tenggara untuk Anugerah Muzik Eropah MTV 2018 yang akan berlangsung pada 4 November ini di Bizkaia Arena, Barakaldo, Basque Country, Sepanyol.

Joe, 39, berkata, dia menaruh harapan tinggi untuk menjadi artis pertama dari Malaysia memenangi trofi berkenaan dan berharap dapat mengharumkan nama negara.

“Pencalonan itu sangat besar maknanya dalam kerjaya saya dan perjuangan muzik hip hop di Malaysia. Pencapaian itu juga membuktikan bahawa muzik hip hop kita akhirnya diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Harapan saya memang tinggi untuk membawa balik trofi itu. Kemenangan itu nanti bukan untuk saya saja tetapi saya mahu hadiahkannya kepada industri muzik tempatan.

“Memandangkan belum ada artis Malaysia pernah memenangi trofi berkenaan, saya berharap akan menjadi yang pertama,” katanya.

JOE harap sokongan ramai. FOTO : IG/Joe Flizzow
JOE harap sokongan ramai. FOTO : IG/Joe Flizzow

Joe yang bakal ke Sepanyol untuk menghadiri acara berkenaan bagaimanapun berserah kepada takdir mengenai kemenangan itu.

“Apapun, ini semua bergantung kepada rezeki. Saya cuma harapkan orang ramai akan bersatu-padu untuk menyokong dan mengundi saya.

“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang tidak henti-henti menyokong karier seni saya selama lebih 20 tahun,” katanya.

Dalam kategori berkenaan, Joe bersaing dengan Afgan dari Indonesia, IV of Spades (Filipina), Min Hang (Vietnam), Slot Machine (Thailand), The Sam Willows (Singapura) dan Twopee Southside (Thailand).

Pada tahun ini, penyanyi dari Amerika Syarikat (AS) iaitu Camila Cabello mendominasi pencalonan menerusi enam kategori, diikuti Ariana Grande dan Post Malone dengan lima kategori.

Undian untuk anugerah berkenaan boleh dibuat di laman web www.mtvema.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Oktober 2018 @ 6:00 PM